hover animation preload

Sombong dalam Keimanan
by Hazim Azhar in ,

Tulisan saya kali ini adalah kesinambungan daripada post saya yang lalu;

"Antara Self-Esteem dan Ujub" dan "Kita Tidaklah Sehebat Mana", tetapi kali ini saya akan membincangkan tentang sifat sombong dalam keimanan. Mungkin agak lebih khusus bagi para da'ie dan mereka yang mengaku pejuang islam.

Sebelum saya teruskan, ingin diingatkan bahawa tulisan ini tidak ada kena mengena dengan mana-mana organisasi, jemaah, kumpulan mahupun individu. Cuma sekadar pemerhatian saya berdasarkan pengalaman dan secebis ilmu yang ingin saya kongsikan bersama.

Bismillahirrahmanirrahim.

Kelebihan, kejayaan, kekuatan dan kemahiran yang Allah kurniakan adakalanya tidak mendatangkan kebaikan kepada kita. Malah keburukan datang bertandang siang dan malam, lantaran hati semakin alpa, jiwa semakin lupa kepada tugasan utama. Dalam langkah seorang pendakwah yang dihiasi dengan pohon kebaikan, adakalanya masih tidak dapat mengelak daripada duri halus yang menusuk daging; sombong.

Seorang pendakwah adalah insan yang paling mulia kerana menyahut seruan ilahi,

Dan siapakah yang lebih baik perkataannya dari orang yang menyeru kepada Allah dan beramal soleh dan berkata, "Sesungguhnya aku termasuk orang-orang muslim". (Fussilat, 33)

Mulia kerana islam dan iman. Namun kemuliaan itu masih belum menjamin kita menjadi sempurna. Oleh itu kita hanya orang biasa, yang ada silap dan salahnya, ada baik dan buruknya. Maka dengan itu, seorang dai'e perlu sentiasa berwaspada dengan penyakit hati. Kerana hakikatnya kita tiada apa.

Dalam kesibukan ia menyeru kepada keimanan, dan keletihan ia mengajak kepada kebaikan, adakalanya ia terlupa diri sendiri. Tiga hari menganjurkan program islam tanpa sehelai quran dibacanya. Langkah penuh bersemangat sehingga mencucurkan keringat, namun terlupa zikir dan ma'tsurat.

Maka ini semua adalah adalah usaha syaitan untuk melupakan dai'e daripada tugasannya. Sedikit demi sedikit, ia merasakan dirinya hebat dalam berucap. Petah berkata-kata, sehingga semua manusia menjadi baik kerananya. Ataupun dirinya seorang perancang dan ketua yang tiada tara bandingnya, dialah yang paling layak. Kerana jasa dan kehebatannya dalam memimpin, maka tidak ada sesiapa yang boleh menggantikannya.

Adakalanya pula, para dai'e merasakan diri sudah layak digelar murabbi. Melihat jemaahnya yang 'lambat', maka dia segera berdiri dan lantang bersuara. Menggegar pentas amal dan bertanya, "Mengapa kita terlalu lambat? Apakah tiada lagi daya juangmu?". Dan dalam keyakinan ia membawa langkah sendiri, dan mungkin bersama rakan sefikiran. Hebat sungguh gerakannya, jiwa panas muda membakar semangat jihad. Dan berlarilah ia meninggalkan sahabat seperjuangan dulu, terus ke hadapan tanpa menoleh kebelakang.

Tersirat benih-benih kesombongan dalam ayunan bibir dan gerakan jari-jemari, ketika mengatakan ia paling benar, paling banyak pengalaman. Sehingga memandang masalah da'ie lain adalah sesuatu yang kecil, tidak sepatutnya berlaku. Seolah-olah tiada langsung kekurangan, pedih sungguh kata-katanya. Mungkin semua itu tidak disengajakan, atau disorok-sorokkan namun mata yang membaca mampu mentafsir sesuatu, kerana kita memahami perkara yang sama. Terlupa ia tentang hidup ini amat luas. Mungkin ujian itu tidak pernah dihadapinya kini, tetapi ingat, hidup ini tidak sentiasa sama. Ibarat roda, mungkin suatu hari nanti kita pula berada di bawah.

Kehebatan beramal membuahkan hasil yang bukan sedikit. Maka untuk mengekalkan kuantitinya, mereka berbicara perkara yang sepatutnya tidak perlu dikatakan. Tidak perlu disebut untuk mereka yang masih 'hijau'. Namun ia disebut juga, diheboh-hebohkan agar semua insan tahu bahawa itu salah, tidak tepat, jauh dari manhaj, terpisah dari perhubungan rasmi. Entah benar atau tidak perkara yang diketuinya itu, tidak pasti. Namun cerita itu terus dijaja di sana sini.

Sombong dalam konteks para dai'e amat halus, sehingga hanya boleh dirasai oleh mereka yang berpengalaman dan diberi keizinan tuhan. Sombong itu berbeza sifatnya, jika manusia umum sombong menjauhi kebaikan, namun pendakwah boleh jadi sombong dalam keimanan. Oleh itu berhati-hatilah dalam tiap masa dan saat kerana jarum hasutan syaitan bagi mereka yang berkerja untuk islam lebih halus dan berbisa. Sombong dalam keimanan.

"Maka bukan kamu yang membunuh mereka akan tetapi Allah yang membunuh mereka, dan bukan kamu yang melempar, tetapi Allah yang melempar..." (Al-Anfal, 17)


(Tulisan ini tidak ada kena mengena dengan sesiapa, cuma ditulis berdasarkan pengalaman sendiri yang cetek agar pembaca dapat mengambil pengajaran. Sekiranya ada yang terasa, saya minta maaf, tidak ada niat mengata yang bukan-bukan. Hanya sekadar teguran dan peringatan bagi kita semua.)



2 comments:

Anonymous said...

Salam,,
abg hazim,
kaifa haluka??
ni ana firdaus muhammad, ingat lagi x??
junior enta kat smka Pedas,,
lame xbersue dan bersemuke,,
InsyaAllah satu mase nanti kot,,
gud lux !!

Hazim Azhar said...

salam.. firdaus.. ingat lagi. kembar tu kan. Insyaallah, nanti kt brjumpe, jemput la ke mesir.

Post a Comment

Search anything

Search in the Quran
Search in the Quran:
in
Download Islamic Softwares FREE | Free Code/td>
www.SearchTruth.com