hover animation preload

Kesatuan yang kita laung-laungkan.
by Hazim Azhar in

Kesatuan adalah perkara asas yang kita inginkan dalam mana-mana persatuan pun, sama ada kita laungkan sekuat-kuatnya ataupun memendamkannya sahaja di hati. Ia adalah keinginan naluri, asas yang berdiri di atasnya segala gerakan. Bersatu teguh, bercerai roboh, begitulah peribahasa melayu mengungkap kata.

Keberadaan saya di Mesir ini selama beberapa tahun memberi satu pengalaman baru, menghadapi satu situasi yang lain berbanding di Malaysia. Pemikiran arus perdana yang lain dari kefahaman dan keyakinan, serba sedikit memberi impak dalam hidup saya. Dan kali ini saya ingin kongsikan satu tulisan tentang kesatuan yang kita laung-laungkan.

Bentuk kesatuan yang kita inginkan.

Banyak kali kita mendengar idea tentang kesatuan dengan definisi yang tersendiri, sama ada dengan dalil dan hujah ataupun dengan sentimen perasaan. Apapun, telah banyak bentuk kesatuan yang pernah saya jumpa. Dan yang menjadi arus perdana di Mesir ini adalah kesatuan jemaah/persatuan di bawah satu induk sahaja. Ini adalah idea majoriti dan kefahaman hampir seluruh pelajar di sini.

Dengan membawa dalil dan hujah hadith serta kalam ulama' tentang perpecahan, kita diterapkan dengan kefahaman kepelbagaian jemaah adalah haram. Dan ini telah saya dengar sendiri dan rasai sejak 4 tahun lalu ketika baru sampai di Mesir. Sebentar lagi saya akan sebutkan beberapa dalil tersebut. 

Dengan kefahaman menolak persatuan yang lain dengan pelbagai alasan; merugikan islam, memecah belahkan kesatuan pelajar, tenaga tidak dapat digunakan sebaiknya, pertindihan program dan sebagainya, kita lantas menghukum sahabat-sahabat kita yang berlainan jemaah dengan sindiran, kata-kata tajam malah ada yang sampai diugut. Maka sebelum itu marilah kita sama-sama berfikir tentang sebab kita berpesatuan dan berjemaah.

Dalam kitab Fiqh Dakwah, Syeikh Mustafa Masyhur telah menyebut; ghayah (tujuan tertinggi) dalam jemaah Ikhwan Muslimin adalah Allah dan muhimmah (kepentingan) kita adalah menguasai dunia dan membawa insan kesemuanya kepada islam. Maka sepatutnya kita sebagai orang islam seharusnya meraikan dan menyokong mana-mana usaha yang menuju ke arahnya. Kita perlu terima hakikat yang semakin ramai yang ingin memperjuangkan islam, semakin banyak memberi manfaat kepada masyarakat kita, dan dalam konteks kita di Mesir ini, mahasiswa mahasiswi kita. 

Jemaah kita mungkin menggunakan kaedah tertentu dan fokus terhadapnya, dan jemaah lain pula ada kaedah dan cara yang tersendiri. Bukankah perkara ini akan memberikan kebaikan?

Maka kita dengan emosi tetap mempertahankan kewujudan jemaah lain adalah perpecahan. Kalau dikatakan berpecah di sudut bernaung di bawah jemaah yang berbeza, apakah ia merupakan perpecahan? Kalau dikatakan berpecah kerana tenaga tidak dapat dikumpulkan pada satu jemaah, apakah ia benar-benar satu perpecahan. Sebelum itu saya ingin bertanya, apakah definisi kesatuan yang kamu faham.

Jika maksud kesatuan itu adalah dengan berkumpulnya seluruh pelajar di bawah satu jemaah semata-mata, maka ini adalah kefahaman yang sempit. Kita menolak naluri dan realiti bahawa manusia itu berbeza-beza, ada yang faham cara ini dan ada juga yang faham cara itu. Kita tak mampu menyuruh manusia bekerja dengan memaksanya mengikut cara kita. Kita ambil konteks malaysia, bagaimana nak aplikasikan idea ini ketika pulang kelak? Masih menjadi tanda tanya.

Pasti ada yang mengaitkannya dengan konteks "khalifah" yang seluruh umat islam bernaung di bawahnya. Ya memang benar, andai ada khalifah kita semua wajib bernaung di bawahnya. Tapi zaman sekarang tiada khalifah, dan kita semua sedang bekerja mengembalikan khalifah. Maka jalannya berbeza-beza ikut kefahaman. Dan jika kita tak henti-henti menolak orang lain, sibuk mempertikaikan kaedah dan cara malah kewujudan orang lain, ia akan merugikan kita. Masa terbazir di situ saja, tanpa ada agenda pembangunan insan untuk mengasaskan batu-bata pembinaan khalifah. Alangkah baiknya jika kita semua berkerja dan fokus terhadap tujuan yang utama iaitu mengembalikan khalifah.

Saya berpegang dengan kefahaman Ikhwan Muslimin terhadap konteks kepelbagaian jemaah yang diterangkan dengan kata-kata imam Hassan Al-Banna yang bermaksud;

"Kita bersepakat di atas perkara yang kita sama-sama setuju, dan berlapang dada di atas perkara-perkara yang kita perselisihkan"

Saya terkenang satu kisah yang berlaku di Mesir dulu, ketika orang bertengkar tentang bilangan rakaat solat tarawih, kemudian mereka merujuk kepada Imam Hassan Al-Banna dan syeikh berkata; "Kamu tak perlu solat tarawih kerana ia adalah perkara sunat, sedangkan kesatuan umat adalah wajib". (jika salah sila betulkan). Isinya ialah kesatuan hati, kesediaan menerima orang lain adalah asas kepada kesatuan. Jika dengan berbilang jemaah pun kita tak mampu terima, apakah benar kita memperjuangkan kesatuan, ataupun kita sendiri menyebarkan kefahaman kebencian dan perpecahan?


Dalil yang digunakan bukan pada tempatnya.

Antara dalil yang sering saya dengar adalah;
" تحصيل الحاصل باطل "
Yang bermaksud, jika kita dah mendapat satu hasil, maka perbuatan melakukannya sekali lagi adalah batil. Contoh yang ringkas, kita menuang air di dalam gelas, jika telah mencapai hasil yang kita inginkan iaitu gelas dipenuhi dengan air, maka perbuatan kita menuang air lagi adalah batil kerana ia akan tumpah dari gelas dan membazir.

Namun penerangan yang saya seringkali dengar dari mulut para ustaz di Mesir ialah jika sudah ada jemaah, maka perbuatan kita membuat jemaah baru adalah batil. Benarkah begini yang dimaksudkan? Adakah benar-benar kita telah mencapai "Hasil" yang disebutkan. Apakah hasil yang ingin kita peroleh dalam berdakwah? Hasil yang kita inginkan ialah mengembalikan manusia kepada Islam, sepertimana yang telah saya tulis di atas. Bukannya hasilnya ialah berjemaah. Dalil ini telah digunakan bukan pada tempatnya.

Selain itu, dalil kisah pembinaan Masjid Dirar oleh orang munafiq menjadi hujah. Rasulullah mengharamkan solat di sana malah telah tercatat dalam surah Attaubah, ayat 107;

Dan (di antara orang-orang munafik juga ialah) orang-orang yang membina masjid dengan tujuan membahayakan (keselamatan orang-orang Islam), dan (menguatkan) keingkaran (mereka sendiri) serta memecah-belahkan perpaduan orang-orang yang beriman, dan juga untuk (dijadikan tempat) intipan bagi orang yang telah memerangi Allah dan RasulNya sebelum itu. Dan (apabila tujuan mereka yang buruk itu ketara), mereka akan bersumpah dengan berkata:" Tidaklah yang kami kehendaki (dengan mendirikan masjid ini) melainkan untuk kebaikan semata-mata ". Padahal Allah menyaksikan, bahawa sesungguhnya mereka adalah berdusta
Dikatakan pembinaan jemaah baru adalah sama dengan pembinaan Masjid Dirar kerana memecah belahkan kesatuan umat. Pertamanya, marilah kita teliti kisah Masjid Dirar ini. Orang munafiq yang membinanya memang bertujuan semata-mata memecah belahkan umat islam. Apakah ia sama dengan pembinaan jemaah islam yang bertujuan untuk berdakwah oleh orang-orang yang berpegang dengan kefahaman islam yang sahih. Sudah tentu ia jauh daripada rasional. Siapakah kita yang ingin menghukum munafiq, dan siapakah kita yang ingin mempertikaikan niat murni berdakwah serta menjalankan agenda pembinaan umat islam. Tepuk dada tanya iman.

Ada juga hadith-hadith yang menyebut tentang "Jemaah Islam", siapa yang keluar (man faraka) dia akan mati dalam jahiliyyah dan sebagainya. Namun para ulama' telah menafsirkan "Jemaah Islam" yang dimaksudkan hadith bukanlah jemaah-jemaah tertentu sekarang ini, tapi ia adalah khalifah. Ada beza antara "jamaatul Muslimin" dan "Jamaah min al-muslimin"

Jamaatul Muslimin adalah khalifah. Maka siapa-siapa yang keluar daripadanya ia adalah terkeluar dari islam, dan mati dalam jahiliyyah. Tapi sekarang tiada khalifah, yang ada hanyalah "jamaah min al-muslimin" iaitu jemaah daripada orang-orang islam. Dan tiada mana-mana jemaah pun berhak claim dan mengatakan mereka adalah "Jamaatul Muslimin". 

Ada juga dalil aqli yang digunakan berbentuk perumpaan membuat rumah baru. Jika ada kerosakan di rumah lama kenapa perlu kita membuat rumah baru? Mengapa kita tidak sama-sama memperbaiki kerosakan yang sedia ada. Dalam konteks ini bagi saya ia amat jauh daripada realiti yang berlaku.

Penubuhan jemaah baru bukanlah disebabkan jemaah lama kurang tarbiyah atau telah rosak dan sebagainya. Tapi pembinaannya adalah bertujuan menjalankan projek pembinaan ummah berdasarkan manhaj perubahan yang diyakini, iaitu fikrah Ikhwan Muslimin. Tidak ada kena mengena langsung dengan kecewa terhadap kekurangan jemaah yang sedia ada. 

Dan banyak lagi dalil yang pernah saya dengar sepanjang 5 tahun berada di sini, ada yang terlalu jauh daripada realiti dan hakikat. Ada yang penuh dengan emosi, ada juga yang disalah gunakan pada tempatnya. Apabila ada usaha membetulkannya, namun ia langsung tidak dilayan. Kesalahan tetap dipegang dan disebarkan, lalu kita terus percaya dan membenci sesama muslim.


Mana mungkin ustaz itu salah!

"Kita tak belajar agama, diam-diam sudahlah"

"Siapa kau yang nak pertikaikan ustaz yang mengaji Azhar"

"Hei, ulama' tu, siapa kau nak berbeza pendapat dengannya!"

Kata-kata sebegini menjadi benteng terakhir bagi kebanyakan dari kita apabila hujah kita dipatahkan atau apabila mendengar pendapat yang berbeza daripada apa yang kita fahami. Seolah-olah kita tidak berhak langsung berlainan pendapat, mendengar pendapat ustaz lain, yang betul hanyalah ustaz yang kita yakin dengannya.

Saya nak taipkan kata-kata Syeikh Hassan Al-Banna dalam usul 20; Seseorang boleh diterima dan ditolak melainkan Rasulullah yang maksum. Realiti yang berlaku membuatkan saya terfikir, apakah sebegitu maksum  mereka sehingga pendapat mereka tidak boleh ditolak oleh ustaz lain. Sedangkan para sahabat dalam kisah selepas perang Khandak, Rasulullah telah menyuruh para sahabat pergi ke perkampungan Bani Khuraizah dan solat di asar di sana. Namun perjalanannya jauh dan waktu solat asar akan habis (sampai sana isya') jika ingin mematuhi kata-kata rasulullah. Kemudian, beberapa sahabat berpendapat harus solat asar dahulu dalam perjalanan kerana waktu asar akan habis, ada juga yang berpendapat solat asar perlu di perkampungan Bani Khuraizah kerana ia adalah arahan Rasulullah. Maka para sahabat pun terbahagilah kepada 2 kumpulan, ada yang solat asar dahulu dan ada yang solat kemudian. Setelah pulang, mereka bertanya kepada rasulullah, yang manakah betul. Rasulullah kata kedua-duanya betul.

Para sahabat walaupun berselisih pendapat tentang memahami kata-kata Rasulullah tidak pula saling menyalah sesama mereka, malah mereka tetap bekerja menjalankan misi dengan baik. Sahabat meraikan pendapat sesama sendiri. Inikan pula kita, tiada arahan rasulullah tentang memilih mana-mana jemaah dan tiada dalil yang qati' menyebut hukumnya, kemudian kita bersikap menolak pendapat lain sekeras-kerasnya sehingga menguhukum haram dan batil. 

Adakalanya kita lupa yang ulama' juga terdapat dalam jemaah selain jemaah kita. Dan pendapat-pendapat mereka juga berdasarkan dalil dan hujah yang tersendiri. Namun kita tidak dapat menerima hakikat ini, seolah-olah ulama' daripada kumpulan lain sentiasa tidak benar dan tidah layak. 

Mentaliti sebegini adalah didikan sempit yang kita terima daripada kaedah lama turun-temurun. Saya menyaksikan bagaimana ia diterapkan kepada generasi-generasi baru di sini dalam program-program yang sepatutnya diisi dengan kefahaman islam yang sahih, namun dihidangkan dengan kefahaman dan dalil-dalil yang disalah ertikan. Sedikit demi sedikit pemikiran menjadi sempit kemudian kita reda dan berpegang kuat dengannya.


Solusi cadangan saya.

Kesatuan bermula dari dalam hati untuk menerima orang lain, meraikan pendapat dan perbezaan dan kesediaan berlapang dada. Walaupun kita berada dalam satu jemaah, namun jika hati kita saling membenci sesama sendiri, apakah ia satu perpaduan? 

Ia bermula daripada hati, dan jika kita mampu bersikap berlapang dada dan menerima orang lain. Di situlah titik asas perpaduan. Dengan kefahaman islam bahawa kesatuan adalah wajib, kita raikan semua orang yang ingin menyumbang dalam agama kita dalam apa jua bentuk sekalipun. Tidak kira melalui nama apa pun, kita saling menghulur tangan. Selagi mana persatuan tersebut berpegang kepada al-quran dan as-sunnah, kita saling bekerjasama dalam menegakkan islam.

Kedua, sikap taqlid buta dan percaya tanpa kefahaman. Sebagai mahasiswa yang akan menentukan masa depan negara, seharusnya kita lebih terbuka dan mendengar dari semua pihak. Sikap taqlid buta atau mengikut membabi buta menjadikan kita manusia yang tidak rasional, tak mampu berkembang dan tak mampu survive sendirian. 

Sebagai penutup, saya ingin berpesan kepada diri sendiri dan para pembaca agar menjadikan islam sebagai mizan (timbangan) penilaian kita. Apabila politik/jemaah kita menjadi timbangan, pasti kita akan sentiasa menyalahkan orang yang berbeza pendapat dengan kita. Ya, saya hanyalah seorang pelajar perubatan yang cuba menyumbang sesuatu dalam hidupnya dengan bakat dan kekuatan yang ia ada. Saya bukan ustaz apatah lagi ulama', tapi saya yakin dengan sumber kefahaman saya tidak sesat. Terima atau tidak, terpulang. Tetapi saya di sini, menghulurkan tangan sambil tersenyum kepada sesiapapun untuk bersahabat. Saya tidak bermusuh dengan orang islam. 

"Jangan kita menjadi orang yang melaungkan kesatuan dalam masa yang sama menabur benih kebencian dan perpecahan."


Hazim Azhar.
Malek El-Saleh,
Cairo.









2 comments:

Anonymous said...

Jam'atul muslimin mmg tidak applicable sbb tiada khalifah. Akan tetapi, jam'atul minal muslimin tidak boleh dijadikan alasan utk taadud jemaah, lg2 dlm satu lokaliti (Malaysia). Jam'atul minal muslimin hnya dibolehkan mengikut lokaliti yg berbeza (negara2 berbeza di sluruh dunia).

Wallahua'lam.

Anonymous said...

Penulisan yang terbaik... teruskan menulis... kadang-kadang kebenaran dan hujjah kena selalu dikeluarkan kerana masih ramai yang buta atau kurang jelas tentang kepelbagaiaan jemaah. ana sangat suka oenulisan enta. sekiranya ana perlukan hujah jelas,ana minta izin share post enta ini. semoga terus thabat atas jalan yang dilalui. ameen...

Post a Comment

Search anything

Search in the Quran
Search in the Quran:
in
Download Islamic Softwares FREE | Free Code/td>
www.SearchTruth.com