hover animation preload

Kekuatan Seorang Muslim
by Hazim Azhar in ,

Sebelum saya menulis entry kali ini, ingin saya menerangkan serba sedikit tentang blog ini.

Entah mengapa sejak akhir-akhir ini, saya selalu terbayangkan kamu semua akan tertanya-tanya tentang blog ini. Apa tujuan sebenarnya saya menulis? Ke mana hala tuju blog saya? Mengapa ada cerita-cerita yang nampak seperti tidak serius sedangkan mesejnya islamik?

Baiklah pembaca yang saya hormati.

Dalam menaip sesuatu, saya cuba sedaya upaya meraikan semua pembaca. Saya sedar bahawa tulisan tidak semestinya sentiasa serius, mahupun sentiasa berjenaka. Oleh itu saya mengambil jalan pertengahan. Jika isu yang saya kupas berbentuk isu semasa yang perlu ditekankan, maka saya akan menulis secara terus dan serius. Bahasa juga tidak berbunga-bunga.

Tetapi jika topik yang saya bincangkan berbentuk pandangan peribadi, motivasi dan cerita pengajaran, maka saya akan menggunakan gaya penulisan bersahaja. Mungkin terdapat penggunaan kata "Aku", "amek kau" dan sebagainya.. Mungkin juga penulisan saya sengaja taipkan dengan berbentuk retorik atau terlalu berseni. Inilah cara saya menulis dan menaipkan sesuatu agar meraikan semua tetamu saya, tentunya kamu semua adalah tetamu terhormat saya.

Apa-apapun.. saya menulis untuk islam.

Moga penulisan ini bermanfaat.


*********************



Berbalik kepada entry saya pada kali ini.



Seorang muslim adalah manusia yang paling hebat jika dia benar-benar muslim. Muslim dalam kerangka dia mempunyai akidah yang benar dan menghayati islam sepenuh jiwa dan raga. Kerana apa? kerana akidah islam akan menghilangkan sefat pengecut dan menjadikan jiwanya mutlak kerana Allah. Tiada Lain. Allah semata-mata.

Seorang muslim adalah manusia yang paling berbangga dengan keislamannya dan mempunyai 'izzah' atau kehebatan yang tiada tara bandingnya di kalangan makhluk bergelar insan. Semua ini adalah kerana kita berhubung terus dengan Allah, tuhan seluruh manusia. Jika Allah bertakhta di hati, maka sifat penghambaan sesama manusia terhapus terkikis dari hati lantas menjadikannya singa yang mengaum kuat menentang kezaliman.

Firman Allah S.A.W,

"Barang siapa yang mengkehendaki kemuliaan, maka ketahuilah bahawa kemuliaan itu semuanya milik Allah" (Faathir, 10)

Ya, kita mulia dengan islam yang kita anuti. Kita berbangga dengan agama ini. Marilah kita menyelak kembali lembaran-lembaran kuning sejarah keagungan islam yang pernah menggegar dunia suatu ketika dahulu, pasti kita akan dapati bahawa tokoh-tokoh pembangkit islam adalah mereka yang bangga dengan agama ini. Maka lihatlah kisah Ibn Taimiyyah ketika dipenjara hanya kerana kelantangannya menentang ahli bid'ah dan orang zalim. Ia meringkuk di dalam penjara. Di sebalik jeriji besi itu, suatu hari ia berkata;

"Orang yang dipenjara ialah orang terpenjara hatinya dari Rabbnya, orang yang ditawan ialah orang yang tertawan oleh hawa nafsunya"

Diceritakan keberadaannya di dalam penjara mengubah penjara menjadi kelas-kelas ilmu agama dan melahirkan ramai faqih agamawan yang terdiri daripada banduan-banduan. Sehingga ada banduan yang enggan dibebaskan hanya kerana ingin bersama dengan Imam Ibn Taimiyyah.

Jeriji penjara tidak menjadikannya lemah, lantas termenung sendirian melayan hati yang duka lara. Jeriji besi tidak memenjarakannya daripada memiliki kemuliaan sebagai seorang muslim. Ia proaktif, ia tekad dengan kalimah syahadahnya. Penjara sempit juga tidak menghalangnya daripada berhenti menulis kitab-kitab dan mendidik jiwa-jiwa agar kembali kepada fitrah yang suci, islam.

Inilah contoh muslim yang i'zzah dengan keislamannya.

Kehebatan muslim juga tidak terletak pada labuhnya jubah, besarnya lilitan serban atau betimbun-timbunnya kitab para ulama' di rak buku. Tidak juga pada kepetahan kata-kata, mahupun pada banyaknya mesyuarat-mesyuarat besar. Tetapi kehebatan muslim itu terletak pada madrasah malamnya. Iaitu pada solat malamnya (qiamullail). Kerana ini adalah jana kuasa iman yang paling utama.


"Sungguh, waktu malam itu lebih kuat (mengisi jiwa) dan (bacaan waktu itu) lebih berkesan" (Al-Muzammil, 6)


Waktu malam adalah amat berharga, maka janganlah mengisinya dengan perkara sia-sia. Bangunlah hai jiwa yang suci tatkala mata-mata terlelap lena. Pasti kamu akan temui satu alunan irama ketenangan mengalir di setiap pembuluh darahmu dan menyelit antara tulang dan dagingmu. Pasti kamu akan rasai kekuatan sebagai seorang muslim.

Qiamullail berkait rapat dengan iman yang mendalam. Dan ketahuilah wahai sahabatku, persoalan keimanan adalah persoalan pokok dalam kehidupan muslim. Iman ibarat kehidupan bagi seorang muslim. Maka barang siapa meremehkan persoalan keimanan, bererti dia meremehkan kehidupannya. Tidak ada makna hidup tanpa iman.

Iman juga adalah asas yang meneguhkan kaki kita dalam jalan dakwah. Tiadalah maknanya pergerakan islam yang sibuk merangka program besar-besaran yang mengumpul seluruh umat islam, namun hati penggerak-penggeraknya kering dari merasai kemanisan iman. Aduhai, alangkah malangnya apabila ini terjadi. Oleh itu marilah kita menjadikan peningkatan iman adalah agenda utama kita dalam kehidupan seharian. Itulah kekuatan yang sering dilalaikan, Iman yang mendalam.


"Jangan fikir hendak mengangkat pedang di medan perang, jika tidak mampu mengangkat kelopak mata di waktu malam"


-Wallahu'alam-

2 comments:

fuad tanta said...

syukran,akhi...entry enta membasahkan jiwa ana..jazakallah..

thaaqhib said...

uh..waktu malam!

Post a Comment

Search anything

Search in the Quran
Search in the Quran:
in
Download Islamic Softwares FREE | Free Code/td>
www.SearchTruth.com