hover animation preload

Perintah Dakwah
by Hazim Azhar in

Al-Bukhari telah meriwayatkan dari Jabir bin Abdullah bahawa beliau mendengar Rasulullah berkata;

“Di ketika aku sedang berjalan tiba-tiba aku terdengar satu suara dari langit maka aku pun mengangkat pandanganku ke arah langit, tiba-tiba malaikat yang mendatangiku di gua hira’ dahulu sekali lagi aku lihatnya sedang duduk di atas kerusi antara langit dan bumi, aku terkejut dan tergamam hingga terjatuh ke bumi, kemudian aku segera pulang menemui keluarga dengan meminta; “selimutkan aku.. selimutkan aku.. selimutkan aku..”

Disusuli dengan turunnya ayat,

“Wahai orang yang berselimut! Bangunlah serta berilah peringatan. Dan tuhanmu, maka agungkanlahNya. Dan pakaianmu, maka bersihkanlah. Dan segala kejahatan, maka jauhilah.” (Al-Muddassir, 1-5)

Duhai hati yang tersentuh dengan al-quran, wahai jiwa yang menginginkan kebesaran dan keagungan islam serta mengimpikan kehidupan di bawah lembayung rahmat ilahi, sungguh ayat ini membawa erti yang amat besar. Ia bukan sekadar bacaan yang meniti di bibir, bukan sekadar catatan ayat di dalam quran, tetapi ayat ini membawa makna tarbawi dan perintah yang amat agung sehingga menggetarkan hati untuk melaksanakan perintah agung ini. Dakwah.

Jika kita perhatikan dan hayati uslub penyampaian ayat pelantikan rasul kepada Nabi Muhammad ini berbentuk tegas, jelas, terang dan berhikmah. Setelah rasulullah menggigil ketakutan pulang ke rumah sambil memintanya diselimutkan, agar ia merasa tenang dan tenteram. Kemudian setelah itu turun perintah wahyu; “Wahai orang yang berselimut! Bangunlah dan berilah peringatan..” Masa untuk berehat, tenang tenteram telah berlalu.

Saudaraku, Allah telah mengarahkan kita untuk untuk bangun dari ‘tidur’ yang berpanjangan. Hari-hari yang kita lalui dalam kehidupan, berkerja, berehat, makan dan minum.. namun adakah jiwa kita telah benar-benar bangkit dari lena diulit mimpi-mimpi duniawi? Lihatlah di sekelilingmu, umat ini hakikatnya sedang merintih keperitan dihimpit jahiliyyah yang membinasakan. Maruah umat ini seolah-olah tidak bermakna di mata si kafir, saudara seakidah disiksa dan dihina, mana mungkin hati ini tidak disambar perasaan belas simpati.

Bangunlah dari mimpi enakmu, cukuplah dengan tidur yang terlalu lama. Bangunlah dari insan biasa menjadi tentera ilahi. Engkaulah harapan umat ini. Biar apapun warna benderamu, merah, biru atau hijau, Bangkitlah! Dan jadilah muslim hakiki.

Bersihkanlah pakaian kotormu itu dan gantikanlah dengan pakaian ketaqwaan yang bersih. Sucikanlahlah jasad dan hatimu. Sebagai seorang da’i, imej adalah perkara yang amat penting. Maka seharusnya pendakwah menitik beratkan penjagaan pakaian, imej dan penampilan agar disenangi dan diterima masyarakat. Seorang pendakwah perlu menjadi fleksibel tanpa mengabaikan adab-adab dan etika berpakaian dalam islam. Dan yang lebih utama dari penampilah luaran adalah kesucian hati. Inilah kunci keberkesanan dakwah yang dibawa oleh Rasulullah. Ambillah masa untuk membaca quran, qiamullail dan berzikir. Amalan-amalan fardi adalah kunci untuk seseorang tsabat atas jalan dakwah.

Amanah agung dan berat ini tidak akan mampu dipikul oleh insan yang lemah. Oleh itu, segala unsur-unsur jahiliyyah perlu disingkirkan dari menghuni jiwa kita. Catatan kehidupan rasulullah juga menunjukkan bahawa Nabi Muhammad amat membenci segala unsur syirik, system kehidupan yang tidak tersusun serta elemen-elemen yang melanggari naluri kemanusiaan. Oleh itu jiwanya bersih dan suci. Naluri yang kuat itu mendorongnya untuk beruzlah menjauhi kehidupan masyarakat yang alpa sehinggalah malaikat Jibril mendatangiya.

Oleh yang demikian, pendakwah perlu memelihara hati dari segala unsur jahiliyyah. Agar hati menjadi lebih peka dan sensitive terhadap isu-isu umat serta menjadikan jiwa mencintai ketinggian syurga akhirat yang kekal abadi.

“Dan janganlah engkau memberi untuk memperoleh yang banyak. Dan kerana tuhanmu, bersabarlah.” (Al-Muddassir, 6-7)

Ini adalah sambungan ayat di atas. Frasa ayat quran ini menuntut agar seorang da’i perlu ikhlas dalam beramal. “Dan janganlah engkau memberi untuk memperoleh yang banyak”. Dan janganlah kita berdakwah, beramal semata-mata untuk mendapat habuan dan sanjung atau harta yang melimpah ruah. Kita beramal, kita berletih dan kita berjaga malam bukanlah untuk mendapat apa-apa di sisi manusia. Tetapi mutlak semata-mata kerana Allah. Cukuplah reda Allah untuk kita.

Ayat ke 7 di atas pula memesan kita bahawa jalan dakwah adalah jalan yang dipenuhi dengan tribulasi yang amat hebat. Lakaran-lakaran sejarah ummat terdahulu memberitahu kita bahawa jalan ini bukanlah dipenuhi dengan kerehatan, harta, sanjungan dan rumah mewah. Tetapi jalan yang dilalui penuh dengan kepenatan, penyiksaan, penderitaan bahkan darah. Akan sentiasa terdapat mereka yang membenci keberadaan kita di jalan dakwah, lantas mereka bersungguh-sungguh memadam lakaran peta perjuangan rasulullah, biar dengan apa jua cara sekalipun. Dan kerana tuhanmu, bersabarlah atas segala dugaan itu.

Biarpun ringkas ayat 1 hingga 7 dari surah Al-Muddassir ini dari segi zahirnya, namun ia mengandungi unsur-unsur peringatan dan pelantikan yang amat berat. Setelah nabi Muhammad mendapat seruan ilahi ini, beliau terus bangkit dan bergerak menuju medan amal yang hakiki berhadapan realiti kehidupan manusia selama dua puluh tahun lebih. Itulah hidup dan matinya.

Beliau terus beramal tanpa henti, biar kepenatan terus jua melangkah. Dihina dan ditentang tidak ia peduli, langkahnya pasti. Terus kehadapan, tanpa menjeling ke belakang. Di hadapan sana syurga menanti. Langkah sucinya itu meninggalkan tapak-tapak kaki yang melakar peta jalan dakwah. Ramai yang telah mengikuti tapak itu. Persoalannya kini, adakah kita ingin mengikutinya atau sekadar melihat dan berjalan mengkuti tapak kaki lain.

Wahai orang yang berselimut, bangunlah!


0 comments:

Post a Comment

Search anything

Search in the Quran
Search in the Quran:
in
Download Islamic Softwares FREE | Free Code/td>
www.SearchTruth.com