hover animation preload

Begini kehidupan mengajar kita
by Hazim Azhar in ,


Sekiranya diminta untuk berbicara tentang islam, penulis sedar bahawa dirinya bukanlah orang yang paling layak berkata tentangnya. Lantaran mengenangkan ilmu setakat mana dan amal juga tidaklah seperti mereka-mereka yang telah terbukti iman dan lisan. Namun setelah mengenangkan Firman Allah dalam surah Ali-imran,ayat 104, maka penulis cuba mencoretkan sesuatu yang telah lama terpasak dalam jiwa; untuk dikongsi bersama dengan pembaca, agar kebaikan ini dapat amalkan bersama antara kita.

Suatu ketika dahulu, seorang bayi menangis tatkala dilahirkan oleh ibunya. Lalu dalam tangisan bayi comel itu, terciptalah kebahagiaan yang menaungi kehidupan ayah dan ibunya. Dengan penuh cermat, si bapa meng’azan’kan di telinganya. Lalu dalam dakapan bapa itu bayi tersebut semakin selesa.Ia tertidur. Ibu pula yang masih dalam kesakitan selepas melahirkan seorang insan terlupa akan keperitan tersebut lantaran kebahagiaan menyelubungi jiwa. Itulah bayi yang amat beruntung. Itulah kita.

Firman Allah swt,
“Wahai manusia! Bertaqwalah kepada tuhanmu yang telah menciptakan kamu dari diri yang satu(Adam), kemudian menciptakan pasangannya(hawa) dari dirinya, dan dari keduanya Allah memperkembang biakkan lelaki dan perempuan yang banyak..” (An-nisa’,1)

“katakanlah, Dialah yang menciptakan kamu dan menjadikan pendengaran, penglihatan dan hati nurani bagi kamu. Tetapi, sedikit sekali di kalangan kamu yang bersyukur” (Al-Mulk,23)


Bayi yang comel itu ialah kita. Sempurna sifatnya. Lalu kita semakin hari semakin mengenal erti kehidupan, semakin lama semakin matang. Dahulunya kita tidak mampu berkata, hanya menangis apabila meminta makanan atau minuman. Namun kini, kita mampu melakukan segala pekerjaan. Kita telah menjadi kuat. Kemudian, kita berfikir tentang arah tuju hidup yang sebenar. Menuju kearah kejayaan, kekeluargaan dan kehidupan.

Adakalanya dalam kita mencari-cari identiti dalam usia yang sebegini, kita tersilap langkah. Tersadung kaki terbelit dengan ikatan-ikatan duniawi yang dihiasi dengan keindahan hawa nafsu. Kita terjatuh, dan terbaring. Namun ada di kalangan kita yang tiba-tiba berasa selesa dengan keadaan itu, lalu ia terus jua berbaring tanpa ada keinginan untuk bangkit semula. Hatinya telah dicengkam oleh jeriji syahwat yang membinasakan.


Adakah ia lupa bahawa kita semua sedang dalam perjalanan menuju perjumpaan dengan Tuhan?

“Wahai manusia! Sesungguhnya kamu sedang berkerja keras untuk menuju kepada tuhanmu, maka kamu akan menemuiNya”(Al-Insyiqaq,6)


Apabila hati telah gelap

Apabila mata telah buta

Apabila telinga telah pekak

Maka kehendak hati dituruti

Pahala atau dosa tidak dipeduli


Ada juga di kalangan kita apabila telah terjatuh tersungkur, ia cepat berpaut kembali ke dahan Taqwa dan Iman. Ia cepat-cepat mengingati tuhannya, dengan penuh harap ia mengangkat tangan ke langit, matanya dipejam, mulutnya terkumat-kamit melafazkan kalimah istighfar agar dosa yang dilakukan diampun Penciptanya.

“Dan orang-orang yang apabila mengerjakan perbuatan keji atau menzalimi diri sendiri, ia segera mengingati Allah, lalu memohon ampun atas dosa-dosanya. Dan siapa lagi yang dapat mengampunkan dosa selain Allah? Juga mereka tidak meneruskan perbuatan dosa itu sedangkan mereka mengetahui”(Ali Imran,135)

Ya.. inilah orang yang diredai Allah. Inilah insan yang dicintai penciptanya. Kita ini tidak pernah sempurna selama-lamanya. Oleh itu, terkadang dosa dilakukan oleh tangan, kaki, mata dan hati. Namun cepat-cepat kita mengingati Allah. Mata apabila terpandang maksiat, segera dipejam dan hati menyebut “Astaghfirullah..Astaghfirullah”. Alangkah beruntung apabila ini diamalkan dalam kehidupan. Pasti kebahagiaan hakiki itu milik kita.

Kita adalah Muslim. Mengakui Allah tuhan dan Nabi Muhammad pesuruh Allah. Kita adalah umat yang amat beruntung. Namun, keuntungan itu tidak bernilai andai dari jauh dari ucapan syahadatain, tidak bermakna islam tanpa amal melalui seluruh anggota badan. Iman itu bukanlah diukur dengan kata-kata, tetapi ia adalah buah daripada pohon iman yang hidup mekar dalam jiwa.

“Padahal mereka hanya diperintah menyembah Allah,dengan ikhlas mentaatinya semata-mata kerana menegakkan agama, dan juga melaksanakan solat dan menunaikan zakat, dan yang demikian itu agama yang benar” (Al-Bayyinah,5)


Suatu ketika dahulu Nabi Muhammad apabila berkata tentang Taqwa kemudian menunjukkan dadanya “Taqwa itu di sini”. Sungguh, iman yang sebenar bukanlah hanya meniti indah di bibir-bibir insan. Namun ia adalah permata berharga yang amat indah bersinar-sinar di hati, dan cahayanya memancar memenuhi segenap tubuh muslim lalu terzahir melalui akhlaknya. Indah tutur bicaranya, manis riak mukanya, tenang dalam langkahnya, bahagia mata yang melihatnya. Inilah muslim yang hakiki. Apabila Iman itu diterjemahkan melalui akhlak dan perlakuan, maka dia adalah insan yang terbaik. Dia adalah insan yang paling menarik.

Hakikat kehidupan ini mengajar kita erti penghambaan kepada Allah Yang Esa. Kesetiaan yang tiada tara bandingnya. Ketaatan yang tiada sempadannya. Kepatuhan yang mutlak hakiki, sejati tiada bertepi. Itulah apa yang Allah inginkan dari kita, hambanya.

“Dan Orang-orang yang beriman dan mengerjakan kebaikan, mereka itu penghuni syurga. Mereka itu kekal di dalamya” (Al-Baqarah, 82)

Hari ini kita menghirup udara yang segar, mata kita jelas melihat, telinga kita mendengar dengan baik dan kulit kita masih cantik. Lihatlah wajahmu di cermin lalu tanyakan kepada diri anda..”Adakah aku akan terus cantik sebegini?” lalu lihatlah kedua tapak tangan anda dan berfikir, adakah ia milik kita. Bagaimana keadaannya nanti tiba-tiba tangan kita terputus dalam kemalangan. Wajah ayu kita tercalar di jalanan dan meninggalkan parut luka yang selamanya.

Dan.. bagaimana nanti jika mata, telinga dan kulit gebu kita menjadi saksi ke atas apa yang kita laksanakan di dunia?

“Dan pada hari ketika musuh-musuh Allah digiring ke neraka lalu mereka dipisah-pisahkan… Sehingga apabila sampai ke neraka; pendengaran, penglihatan dan kulit mereka menjadi saksi terhadap apa yang telah mereka lakukan. Dan mereka bertanya kepada kulit mereka, “mengapa kamu menjadi saksi terhadap kami?”, kulit mereka menjawab, “yang menjadikan kami dapat berbicara adalah Allah, yang juga menjadikan segala sesuatu dapat berbicara, dan dialah yang menciptakan kamu pertama kali dan hanya kepadaNya kamu dikembalikan”. Dan kamu tidak dapat bersembunyi dari kesaksian pendengaran, penglihatan dan kulitnu terhadapmu, bahkan kamu menyangka Allah tidak mengetahui apa yang kamu lakukan” (Fussilat,19-22)

Hati tergoncang membaca ayat ini. Dada menjadi sesak, nafas tersekat-sekat lalu air mata mengalir perlahan. “Ampunkan aku ya Allah…”. Mata, telinga dan kulit ini pasti akan menjadi saksi suatu hari nanti, sedangkan terlalu banyak maksiat dilakukan.


Allah…

Allah…

Allah…

Kami memohon keampunanmu..

Allah..

Allah….

Kami akan kembali kepadamu..

Allah..

Langit biru menaungi bumi. Angin bertiup tenang menghadirkan kekusyukan hati kepada ilahi. Pohon-pohon turut melambai-lambai ditiup angin. Sambil berzikir, sang unggas berterbangan di langit cuba mengajar manusia erti zikir yang sempurna. Ikan-ikan berenang di lautan mengingati kalimah tuhan. Metari pagi memancar terik di ufuk barat, menerangi seluruh alam. Membawa alamat bahawa ia ciptaan tuhan.

Seandainya kita memerhari dan memikirkan semua kalam di atas dengan neraca penghambaan, pasti akan terdetik dalam kalbu kita; “Begini sebenarnya kehidupan mengajar kita”





P/S: Kepada rakan-rakan para pembaca blog ini.. ini adalah tulisan yang terakhir sebelum saya berhenti seketika untuk Peperiksaan Akhir sehingga 28.6 nanti. Doakan saya ya! =)

4 comments:

abuhamzah said...

Bittaufiq wan najah fil Imtihan...

Salam Ziarah..

Hazim Azhar said...

Syukran akhi..

Sudi ziarah ana.. terharu.. =)

alfaqir_ilAllah said...

b'taufiq w njah fil imtihan f dnia w akhirah. jzkk. amzb.

Hazim Azhar said...

syukran..

Post a Comment

Search anything

Search in the Quran
Search in the Quran:
in
Download Islamic Softwares FREE | Free Code/td>
www.SearchTruth.com