*****
Mengenang pengalaman silam yang penuh dengan warna-warni kehidupan membuatkan aku tidak memandang hitam sebagai jahat, mahupun terus menilai putih sebagai baik. Walaupun logik akal sering memandang kesalahan itu sebagai dosa yang perlu dipandang hina. Namun bagi aku, kita semua sama. Tidak pernah sempurna.
Mendengar panggilan "ustaz" yang diberikan kepadaku oleh sesetengah daripada mereka yang mengenalku, membuatkan aku seringkali menilai kembali diri sendiri. Adakah aku layak dipanggil sebegitu? Ataupun mereka-mereka yang memandangku sebagai manusia sempurna. Aku tidak melarang, ataupun mengarah, namun hakikatnya manusia hanya mentafsir luaran. Luaran yang baik menggambarkan hati yang suci. Luaran yang buruk menggambarkan hati yang kotor.
Benarkah begitu?
Mungkin ya, mungkin juga tidak.
Ketika di PLKN dulu, saya pernah berkawan dengan seorang yang pernah melakukan semua 'perkara'. Petang itu kami berborak-borak. Tenang. Dan dia meluahkan segala isi hatinya kepadaku. Dia menceritakan kisah-kisah silamnya yang amat 'dasyat' bagiku. Setiap petang selepas balik dari sekolah dia akan minum arak bersama kawan-kawan di kebun getah. Dia juga pernah 'bersama' dengan perempuan bukan sekali dua. Bergaduh adalah rutin mingguan memandangkan dia adalah antara 'otai' geng taiko. Mukanya berparut, tangannya menunjukkan kesan bahawa bergaduh adalah kebiasaan baginya. Dia juga bercerita bahawa selalu merempit dan melumba motor. Selain itu, mencuri dan membuli adalah kebiasaan baginya.
Bukan aku terlalu mudah mempercayai cerita-cerita yang kudengari. Tapi, segala masalah dan pergaduhan yang pernah berlaku di kem itu membuktikan bahawa kisah itu adalah realiti. Bukan rekaan. Kerana dia hampir-hampir 'digantung' kem latihan kerana kesalahannya.
Petang itu kami berborak. Lama. Setelah tamat berkongsi kisah peribadinya, dia berkata kepadaku. "Ustaz, kadang-kadang aku rasa hidup aku sempit. Semua yang aku lakukan membuatkan aku rasa tak tenang.."
Aku terdiam.
Dalam benakku terfikir, "Ya Allah, manusia yang pernah melakukan semua dosa ini masih ada kebaikan dalam dirinya dirinya". Selama ini, aku yang memandang buruk terhadap kesalahan, membuatkan terbuka pemikiranku. Kita perlu bersama mereka, menggunakan identiti yang boleh diterima semua untuk memahami mereka. Aku tersentak. Membuatkan aku bersimpati dengan kawan tersebut. Oleh itu, Aku cuba mengingatkannya tentang tuhan. Moga Allah memberikannya hidayah sehingga kini.
Sahabat, bagaimana jahat sekalipun kita, walau bagaimana besar pun dosa yang pernah kita lakukan.. Kita masih manusia. Dan manusia itu fitrahnya inginkan kebaikan. Kembali kepada tuhan. Sekiranya engkau merasakan agama ini terlalu sempit lantas meninggalkan segala suruhan tuhan, engkau pasti akan menghadapi kehidupan yang lebih sempit dari sebelumnya. Semakin jauh kita melarikan diri daripada Allah, semakin sempit dada kita, sesak nafas kita.
“Katakanlah kepada hamba2ku yang melampau terhadap dirinya sendiri(dengan dosa), Jangan berputus asa dengan rahmat Allah, sesungguhnya Allah akan mengampunkan seluruh dosanya..”(Quran)
Seandainya kita pernah melakukan kesilapan, percayalah bahawa cahaya itu masih bersinar. Jangan kita tutup pintu taubat dengan mengatakan "tuhan tak sayang aku". Mungkin kerana kecewa dengan ketentuan ilahi, kita merasakan Allah telah menzalimi kita, meninggalkan kita dalam kegelapan dosa. Lalu kita menyalahkan Allah, kita mengatakan yang bukan-bukan terhadap Allah. Mungkin tidak dilafazkan melalui lidah, tapi hati tegar mengatakan tak perlu kepada tuhan. Aku nak hidup dalam dunia keseronokan.
Percayalah sahabat, aku pernah merasai apa yang engkau rasai. Pernah melalui zaman yang pernah engkau lalui. Aku bukan sempurna, apatah lagi kita adalah sama. Oleh itu, ingin aku nasihatkan agar jangan berputus asa dengan Allah. Walau bagaimana besar dosa yang pernah kita lakukan. Dan jangan pula berterusan melakukannya. Percayalah, kita adalah manusia yang fitrahnya inginkan kebaikan. Inginkan ketenangan. Inginkan tuhan.
Aku nasihatkan buat dirimu dan diriku sendiri, kerana aku tahu; aku bukan malaikat.
5 comments:
PLKN buat orang2 mcm kita, yang selalu diselubungi biah solehah kenal realiti sebenar kehidupan. Yang banyak kelabu dari hitam dan putih.
hey, nice touch! enjoy reading it!keep it up my friend. bdw, since when anda dipanggil ustaz? heee...^.^
To Farid:
Yep, agree.
To Fedit:
hehe, kat PLKN n kat tempat2 lain.
awak xleh masuk plkn. sebab awak kurang tinggi!
what!??
daie perlu melihat realiti masyarakat yang sebenar.
kita kadang2 'terkejut' dgn medan sendiri bila berdepan dgn msyarakat y jauh beza dari biah solehah yang kita duduk di dalamnya...
mari rajin2 dekati mereka~
Post a Comment
Post a Comment