hover animation preload

Hedonisma-Ceracak besi yang mencengkam umat Melayu
by Hazim Azhar in

(Artikel ini telah saya tulis untuk salah satu aktiviti Biro Pembangunan Insan(BPI) Persatuan PERUBATAN, namun telah diedit untuk kesesuaian bacaan umum para pembaca; semoga dapat mengambil pengajaran)


H.E.D.O.N.I.S.M.A. Kalimah ini cukup menggambarkan kehancuran dan kebejatan budaya yang berdasarkan keseronokan duniawi semata-mata. Hedonisma berasal dari Bahasa Greek; Hedon yang bermaksud kemanisan, keseronokan dan suka ria. Istilah ini bukanlah satu yang kuno dan asing lagi bagi kita, bahkan ia telahpun diungkapkan kembali oleh tokoh Renaissance, Erasmus(1466-1536) suatu masa dahulu. Hedonisma adalah budaya dan amalan yang berlandaskan keduniaan, keseronokan dan berpesta sakan yang melampau sehingga melupakan akhirat.

Sekiranya kita selak-selak dan belek-belek kembali lembaran akhbar berita yang lalu, pasti kita akan dapati bahawa masyarakat kita di Malaysia khususnya kaum Melayu sedang dimamah kehancuran yang mengunyahnya sedikit demi sedikit. Melayu yang semakin layu. Kita sedih, duka dengan senario yang berlaku. Umat ini menangis dan raungannya sayup-sayup kedengaran oleh hati kita yang masih disirami dengan embun keimanan. Kita lantas menyedari penderitaan umat yang kian parah. Namun, malangnya kita seolah-olah tidak dapat berbuat apa selain meratap dan turut bersedih dengan masyarakat kita di sana.


Ceracak besi yang menghujam


Budaya Hedonisma yang telah berkarat di celah-celah masyarakat kita amat tepat diibaratkan sebagai ceracak besi yang menusuk tajam dan menghujam menembus kebudayaan sopan Melayu dan akhirnya budaya suci itu semakin sirna. Budaya ‘cinta monyet’ amatlah dipandang ringan oleh masyarakat kita. Menurut kajian yang telah dibuat di sekolah-sekolah dan institusi pengajian tinggi menunjukkan majority pelajar-pelajar kini mempunyai pasangannya, atau bahasa mudahnya girlfriend/boyfriend. Berkepit-kepit ke sana ke sini adalah pemandangan yang biasa di kompleks-kompleks beli belah, dan yang lebih biadabnya, di masjid pun jadi ‘port’. Yang peliknya mereka ini tidak langsung berasa malu dengan orang ramai yang melihatnya. “Biarlah… dunia ini kita punya”.

Sekiranya kita jeling pula pada skop yang lain, remaja kita sekarang terlalu banyak menghabiskan masa dengan hiburan. Ribut taufan movie-movie datang menghujani setiap rumah-rumah kita melalui corong-corong televisyen. Sehingga kita yang berada jauh di Mesir ini pun terkena tempias ribut yang melanda Negara Malaysia, lantas ramai dari kita ‘ketagih’ menonton cerita-cerita Barat sehingga sanggup menguis-nguis di rumah-rumah kawan; mencari movies baru. Tidak kurang juga budaya muzik yang menghentam jiwa-jiwa kita. Kumpulan-kumpulan muzik seperti ‘Cradle of Filth’, ‘Sum 41’, ‘My Chemical Romance’, ‘Sliptknot’ (dll) biasa menusuk telinga kita. Melodi dan irama yang berat, digabungkan dengan lirik-lirik yang tidak berfaedah mengeraskan hati lantas membina kekasaran dan kebiadaban.

Melihat kepada skop yang lebih luas, Hedonisma menghentam Budaya Islam kita di seluruh dunia. Akhlak islamiyyah semakin dicemari dan diracuni budaya kuning ini. Penutupan aurat dianggap kolot, merendah diri dianggap lemah dan malu dianggap tidak ‘sporting’. Pengalaman hidup di asrama, PLKN dan matrikulasi membuktikan bahawa sedikit demi sedikit budaya islam semakin dipiggirkan dan dipandang sinis. Apa yang membimbangkan ialah adik-adik kita atau generasi yang seterusnya yang akan melalui zaman yang sama; takut-takut dijangkiti penyakit berbisa itu. Penerapan yang dicorakkan oleh kebanyakan sistem Negara Islam mencalarkan budaya islam. Bahkan di Negara Mesir inipun kita dapat lihat betapa menutup aurat amat sukar dijalankan dengan sempurna. Setelah dihimpit dan ditekan oleh sistem manusia, Budaya indah islam retak menanti belah.


Ubat yang mujarab


Sesungguhnya kita telah lama menyedari hakikat yang menyerang pemikiran masyarakat kita ini; hedonisma. Tetapi ramai di kalangan kita masih memekakkan telinga dan membutakan mata daripada mengambil berat masalah dan membantu untuk menyembuhkannya. Dalam kesempitan budaya hitam tersebut, banyak pihak cuba mengambil inisiatif untuk mencari rawatan yang terbaik.

Sekiranya kita lihat di sekolah-sekolah asrama, semakin rancak diadakan program-program bersifat ‘islamic’. Tidak kurang juga terdapat cadangan daripada organisasi-organisasi bukan kerajaan(NGO) yang mencadangkan agar ditukar pakaian pelajar perempuan yang berwarna putih dan lazimnya dibuat dari kain nipis kepada warna lain; agar bi’ah di sekolah lebih memelihara iman. Jika kita lihat pula di institusi pengajian tinggi banyak diadakan kempen-kempen seperti; kempen Bi’ah solehah, kempen menutup aurat, kempen membaca al-quran dan kempen sifar ikhtilat. Semua usaha-usaha ini menjurus kearah mewujudkan budaya islam secara syumul dalam kehidupan.

Namun sungguh, telah termaktub di dalam Al-quran sejak 1400 kurun yang lalu segala ubat bagi penyakit kronik ini.
“Dijadikan indah dalam pandangan manusia cinta terhadap apa yang diinginkan seperti perempuan-perempuan, anak-anak, harta benda yang bertampuk seperti emas dan perak, kuda pilihan, haiwan ternakan dan sawah ladang. Itulah kesenangan hidup di dunia, dan di sisi Allah tempat kembali yang baik…. Mahukah aku khabarkan kepadamu apa yang lebih baik dari semua itu? Untuk orang bertaqwa tersedia di sisi tuhan mereka syurga-syurga yang mengalir di bawahnya sungai-sungai, mereka kekal di dalamnya, dan pasangan-pasangan yang suci serta mendapat reda Allah. Allah maha melihat hamba-hambanya” (Ali Imran, 14-15)

“Dan adapun orang-orang yang takut kepada tuhannya akan menahan diri daripada keinginan hawa nafsunya” (An-Naziat, 40)
Hedonisma puncanya ialah mengikut hawa nafsu. Maka berpandukan firman Allah di atas, ubatnya ialah taqwa dan takut kepada Allah. Maka, seharusnya kita merangka segala usaha kita mengikut panduan yang telah digariskan oleh quran. Jika tidak, segala usaha kita hanyalah ibarat mencangkul angin.


Sebagai Pelajar Perubatan yang belajar di Timur Tengah, kita seharusnya lebih menjadi lebih sensitif dan mengambil inisiatif atas badai yang melanda masyarakat Melayu kita. Sekaranglah masanya untuk kita memasakkan sedalam mungkin ketaqwaan dan takut kepada Allah, agar ketika pulang ke Malaysia nanti kita dapat menjadi agen perubah dan sinar harapan kepada masyarakat kita. Percayalah, wajah-wajah ummat di sana sedang berseri-seri mengharapkan kepulangan kita yang bukan sahaja memberi ubat jasmaninya, namun menyembuhkan penyakit hati yang jauh lebih meyakitkan malah menghapuskan kebahagiaan.

Oleh itu, amatlah dituntut untuk kita menggarap sedalam mungkin ilmu bukan sahaja ilmu perubatan, malah ilmu islam. Dan perlu dititik beratkan lagi, ilmu sahaja tidak mencukupi jika tidak disertai dengan amal yang ikhlas dan bersungguh-sungguh. Seharusnya semakin berisi semakin tunduk. Semakin berilmu semakin indah akhlak, tutur bicara, amal harian dan perlakuan. Penerapan nilai-nilai islam dan budaya rabbani amat penting bagi melahirkan individu-individu muslim sejati yang akan mencorak masa depan negara. Kitalah yang akan merubah budaya hedonism dengan membawa islam di dalam hati kita. Seperti kata Hassan al-Hudaibi; “Tegakkanlah negara islam dalam hatimu, nescaya akan tertegak di negaramu”


Harapan masih bersinar


Sungguh, kita merasa sempit dengan penerapan budaya hedonisma melalui media-media massa di negara kita. Mata yang melihat lantas mentafsir, neuron-neuron ligat berfungsi dan akhirnya menghasilkan emosi yang kurang menyenangkan lalu ditafsir menjadi kebencian yang menebal dalam hati. Namun, Quran telah menggariskan panduan untuk mengubatinya. Taqwa dan khauf kepada Allah adalah kunci. Semoga motto PERUBATAN(Persatuan Pelajar-Pelajar Perubatan Mesir) ; Taqwa, Syifa’, Rahmah, menjadi realiti lantas menghancurkan dan memadamkan budaya kotor HEDONISMA di kalangan mata-mata yang sedag membaca artikel ini.

2 comments:

Anonymous said...

Artikel yang sangat bernilai dan bermanfaat.

Untuk kita kekang masalah hedonisme mestilah kita faham definisi dari hedonisme itu sendiri.

Dan, hedonisme ini sendiri datang dari ideologi Yahudi & Kristian yang mengubah kitabnya menurut hawa nafsu.

Orang-orang Yahudi dan Nasrani tidak akan senang kepada kamu hingga kamu mengikuti agama mereka. Katakanlah: "Sesungguhnya petunjuk Allah itulah petunjuk (yang benar)". Dan sesungguhnya jika kamu mengikuti kemauan mereka setelah pengetahuan datang kepadamu, maka Allah tidak lagi menjadi pelindung dan penolong bagimu. (Surah Al-Baqarah : 120)

Lantas, perlahan-lahan umat Islam terikut tanpa sedar. Khayal dek nikmatnya dunia baru.

Sesungguhnya, memang segala kenikmatan teknologi hari ini nyata membuaskan nafsu. Nafsu pula semakin lama semakin terdidik dengan budaya hedonisme yang disebut penulis.

Maka, untuk mentarbiyah nafsu pula, tindakannya kita sendiri perlu membuka sifat lawannya. Mengherdik, marah, lawan untuk melemahkannya menjadi nafsu mutmainnah.

SYIFA' bagi nafsu itu ada dalam jiwa masing-masing sama seperti imunisasi badan menentang penyakit.

Hazim Azhar said...

Syukran akhi Akmal atas komentar yang baik dan bermanfaat.

Adakalanya kita lihat, jarum 'mereka' terlalu halus, sehingga kita tidak menyedari racun dan bisa yang disuntik ke dalam movies, games, lagu2 dan majalah2. Sedikit demi sedikit iman kita dimamah dosa2 kecil yang lama kelamaan menggungung tinggi.

Semoga hati kita tetap suci dari semua kekotoran yang membinasakan itu.

Post a Comment

Search anything

Search in the Quran
Search in the Quran:
in
Download Islamic Softwares FREE | Free Code/td>
www.SearchTruth.com