hover animation preload

Andai Rama-Rama Boleh Berbicara
by Hazim Azhar in ,


Seekor rama-rama terbang bebas di taman bunga. Hatinya sangat gembira, angin pagi itu sepoi-sepoi bertiup. Kicauan burung menyapa kehadiran mentari pagi indah yang datang bertamu di alam raya. Lalu cahaya matahari menyebar, memancar ke segenap pelusuk bumi dan setiap celah ruang kehidupan. Dalam ketenangan dan kedamaian desa itu, kita sedang sibuk menguruskan kehidupan sehingga damai itu sirna dari hati kita. Dek kerana masalah-masalah yang melanda, kita tidak lagi merasakan ketenangan sebagaimana tenangnya sang rama-rama terbang sendirian.

******

Sejak akhir-akhir ini banyak isu timbul di kalangan kita. Di Malaysia, Gerakan Mansuhkan PPSMI (GMP) telah mengadakan satu perarakan atau demonstrasi pada 7 Mac yang lalu. Kemudian, dihadiahkan dengan semburan air dan tembakan gas pemedih mata oleh pihak berkuasa. Tidak kurang juga desas desus berkaitan politik yang semakin haru-biru. Di sekolah-sekolah jua budaya gengsterisme tumbuh bagai kulat menyebar setelah hujan. Kes kebejatan sosial di kalangan muda-mudi, pembunuhan, dan jenayah sehingga tergambar dek fikiran. Keadaan semakin kacau bilau, masyarakat semakin pening kepala dan kita juga semakin kebingungan.

Manakala di Mesir ini lain pula senarionya. Isu kecil dibesar-besarkan, perkara remeh temeh difikir-fikirkan. Lalu dalam menghadapi isu ini kita terbahagi kepada beberapa kumpulan. Ada yang tidak ambil peduli. Ada yang hanya mendengar dan menutup bicara. Ada juga yang menjadi reaktif, lalu gunung berapi meletup, mengeluarkan ledakan api yang panas yang menyakitkan hati semua manusia dan gerombolan asap-asap tebal menyesakkan ukhuwwah. Maka di sana kita dapat melihat berbagai reaksi manusia.

Saya tidak berminat untuk mengulas isu ini dengan lebih panjang lebar. Cukuplah kita yang sudah matang ini meletakkan pemikiran kita pada landasan kewarasan akal dan kebenaran, kemudian kita menilai mengikut neraca islam. Namun, saya kecewa dengan sikap segelintir masyarakat di kalangan kita; sanggup mencarik-carik dan menggadaikan nilai akhlak seorang muslim hanya untuk melepaskan geram terhadap perkara yang tidak dipersetujuinya.

Ini bukan soal politik dan gerakan

Ini bukan soal emosi dan kemarahan

Ini soal ADAB DAN AKHLAK ISLAM

Adab kita sebagai seorang yang telah mengucap dua kalimah syahadah, mengaku seorang muslim. Manusia memang dilahirkan berbeza-beza, maka perbezaan itu adakalanya menyebabkan kita tidak berfikir pada fikrah yang satu dan tidak duduk satu bangku. Namun jika kita perhatikan terdapat satu titik yang sentiasa bertindih di antara kita; satu titik yang mempertemukan kita dalam ruang perbezaan tersebut. Iaitu islam. Kita bertemu dalam agama yang sama, dalam solat pada waktu yang sama, pada kitab bacaan quran yang sama dan pada sujud kepada tuhan yang sama. Maka oleh itu, kita tetap bersama dan perlu memelihara adab-adab; lantaran kita ibarat tubuh yang satu.

Marilah sama-sama kita menyoroti lakaran-lakaran indah sirah ketika rasulullah di Madinah. Tatkala berbondong-bondong manusia menyertai islam, di sana berputik jiwa-jiwa munafiq yang berselindung di sebalik kata yang manis, bersembunyi di sebalik topeng keimanan yang rapuh. Maka nama seperti Abdullah bin Ubai bin Sahlul terkenal dengan sifat kemunafikannya yang sering menyalakan api perpecahan di kalangan muslimin.

Kaum munafiq semakin melampau tatkala menuduh Saidatina A’isyah RA berzina dengan Safwan bin Mua’ttal. Kisah ini terlakar sebagai ‘Hadis Ifk’.Kebiadapan munafiqin terserlah sehingga melenyapkan sebuah kesabaran insani. Namun apa yang menariknya, rasulullah tidak pernah sekalipun menghina, mengata, apatah lagi mencaci maki kaum munafikin sedangkan mereka terang-terang telah mengkhianati agama. Allah sahaja yang menemplak munafiqin dengan menyebutnya di dalam al-quran bahawa kaum munafiq ini akan menjadi bahan api dalam neraka dan akan dicampakkan ke dasar neraka.

Namun kita hari ini dalam menghadapi berbagai-bagai isu yang berlegar di sekitar kita, pantas sahaja lidah melafazkan kata tajam menusuk jiwa. Ringan sahaja jari jemari mencaci maki sesama muslim. Apalah sangat dosa yang dilakukan oleh insan tersebut, sehingga layak kita hina dan mengatakan yang bukan-bukan. Bukankah kita telah mengetahui bahawa ada hadith yang menyebut, “seseorang muslim kepada seseorang muslim haram nyawanya, hartanya dan maruahnya”.

Sungguh pakaian ketaqwaan itulah sebaik-baik pakaian. Selendang akhlak adalah sebaik-baik perhiasan. Oleh itu rasulullah telah menunjukkan contoh yang amat ideal sehinga termaktub dalam surah Al-Qalam,ayat 4 “Sesungguhnya engkau(Rasulullah) mempunyai budi pekerti yang luhur”. Sedikit pun Nabi tidak pernah mengeluarkan kata-kata yang kurang sopan hatta kepada orang kafir yang memerangi islam.Adakah layak kita mengata saudara semuslim walaupun dengan cara tersembunyi?

******

Seluruh alam kaget melihat reaksi manusia. Rama-rama tadi pun merasa pelik dan kebingungan, ia melihat manusia di ambang perpecahan. Resah jiwanya. Lalu ia terus terbang, terbang dengan ketenangan meninggalkan alam keresahan. Andai rama-rama itu boleh berbicara, tentu kita semua terkilan kerana katanya.

2 comments:

Farah Imani said...

salam..

entry yg sgt menarik dan betul2 buat saya berfikir panjang..

syukran..moga mampu lebih memberi manfaat kpd insan lain insyaAllah..

Hazim Azhar said...

Salam..

Syukran. Insyaallah..

Post a Comment

Search anything

Search in the Quran
Search in the Quran:
in
Download Islamic Softwares FREE | Free Code/td>
www.SearchTruth.com