Ketika aku menulis surat ini, aku terkenangkan kamu semua. Biarpun aku sentiasa berjauhan dengan kalian, hati ini tidak dapat menafikan perasaan kasih sesama muslim yang masih subur kepada kamu semua. Oleh itu, petang ini aku menggerakkan jari-jemariku menaip bait-bait nasihat buat kalian yang sudi membaca tulisan ini.
Teringat aku tentang kenangan kita selama 5 tahun di sekolah yang sama. Bermula dengan tingkatan satu sehingga menjadi senior tingkatan 5. Terlalu banyak detik-detik indah yang telah terukir di lembaran kehidupan kita, sehingga membuatkan kita menjadi siapa kita. Kini telah 3 tahun kita berpisah dan masing-masing membawa diri, kehidupan yang tersendiri.
Mendengar kisah tentangmu membuatkan aku berasa sedih. Tentang keindahan hidup remaja yang semakin memalapkan semangat juang yang pernah kita bersama nyalakan dulu. Kata-kata tegasmu masih terngiang-ngiang di telinga. Kita pernah bersama berjanji menegakkan kalimah ilahi. Melangkah dalam satu barisan, tangan dipegang erat.
Namun kini..
Aku tidak mengerti apa yang telah berlaku. Adakah aku yang ketinggalan zaman, hidup dalam dunia jumud. Ataupun aku masih seorang budak yang tidak mengerti apa ertinya keseronokan. Aku tak mengerti. Apakah dakwah itu hanya dijalankan ketika ditaklifkan pihak sekolah. Sungguh aku tidak mengetahui apa yang telah berlaku.
Kisah-kisah cintamu terdengar di telingaku, dan dibuktikan dengan gambar-gambar yang megah ditayang. Gambar bersama kekasih tercinta. Melihat sahaja semua ini, air mata terus menitis. Duhai sahabat, apakah semua ini yang dikatakan keseronokan hidup remaja?
Masih teringat aku tentang pakaianmu yang sempurna, peribadimu yang baik dan akhlakmu yang indah. Namun kini semua itu menjadi ilusiku semata-mata. Puas aku berfikir tentang semua ini. Adakah aku yang terlalu mudah membuat kesimpulan tanpa bertanya tentang keadaan imanmu terlebih dahulu. Sekiranya benar ini yang berlaku, maafkan aku.
Jangan rasakan aku mengatakan mereka yang lain, tetapi engkau. Ya, engkau yang sedang membaca tulisan ini. Kamu yang mengenaliku bertahun-tahun di sekolah dulu. Kita pernah mengerti apa maknanya dakwah dan tarbiyah. Juga pernah mendengar tentang islam yang sempurna. Siang dan malam. Hidup dan mati. Islam itu adalah segalanya.
Aku tidak mengharapkan engkau memakai memakai kopiah, tudung labuh, niqab dan sebagainya. Tapi cukuplah dengan engkau menutup auratmu dengan sempurna. Mengamalkan islam dengan sepenuhnya. Cukuplah itu bagiku, harapan seorang sahabat. Juga aku tidak melarang kamu bercinta sekiranya ia tidak salah dalam islam. Aku juga manusia biasa yang mempunyai perasaan. Sama sahaja seperti kalian. Aku benar-benar harapkan janganlah kita calari cinta yang suci dengan maksiat yang kotor. Bukanlah dengan menayangkan gambar-gambar kekasih di dalam blog, facebook itu menggambarkan cinta sejati. Bukan begitu sahabat.
Jangan salahkan dia, jika bukan kita yang melakukannya. Bahkan kamu bersalah kerana tidak menegurnya dan merelakan gambarmu ditayangkan sesuka hati. Bukan begitu untuk membuktikan cinta. Bahkan buktikanlah cinta dengan kembali kepada Allah, mempersiapkan diri untuk berumahtangga, setia dan memelihara diri. Tidak perlu kita berhubung, keluar bersama kekasih hati kerana itu adalah maksiat. Sekiranya benar-benar cinta, setialah kepada dia, peliharalah diri, jadilah matang dan lamarlah dia sebagai pasangan hidup yang melengkapkan kehidupan kita. Agama kita.
Sahabatku, maaf seandainya kata-kataku menghiris hatimu. Atau ayat-ayatku terlalu 'skema' untuk diterima oleh akalmu. Aku tahu siapa diriku, dan aku tetap akan menjadi siapa aku yang dahulu. Tulisan ini adalah untukmu, hanya sebagai peringatan bersama. Sekiranya aku terlupa, maka ingatkanlah. Sungguh, aku masih menganggap engkau sahabatku. Dan aku sayang sahabatku.
Sahabatmu,
-Hazim Azhar-
Kaherah.
Comments (15)

