hover animation preload

Karnival Sukan ISMA Mesir
by Hazim Azhar in



Masa : 8.00 am - 5.00 pm

Tentatif Program:

8.00 am : Pendaftaran, majlis pembukaan dan pertandingan bermula
1.00 pm : Rehat (makan + solat Zohor)
2.00 pm : Pertandingan bersambung kembali
4.00 pm : Tamat pertandingan
4.30 pm : Majlis penutup dan penyampaian hadiah
5.00 pm : Bersurai




Peta ke Nadi Syabab;

Sila klik pada peta untuk lebih jelas


Terbuka kepada semua
Dijemput semua sertai!
Comments (0)

Belajar Untuk Disakiti
by Hazim Azhar in ,


Cuba perhatikan manusia di sekeliling kita, berapa banyak kes-kes pergaduhan berlaku di kalangan mereka yang bersaudara, juga yang bersahabat baik. Ataupun yang lebih teruk lagi, suami isteri bertengkar sehingga kadang-kadang pinggang mangkuk yang tidak bersalah terbang ke sana sini. Bagi mereka yang tinggal di rumah teres, adakalanya mempunyai pengalaman menyaksikan pergaduhan sebegini, kerana rumah kita dan jiran hanya dipisahkan oleh sekeping dinding batu yang tidak sampai semeter pun.

Ataupun kadang-kadang kita sendiri yang bertengkar. Tak kisahlah dengan sesiapapun, dengan sahabat-sahabat, kawan-kawan, rakan sekuliah, adik-beradik atau dengan ahli keluarga sendiri. Namun buat mereka yang mempunyai tahap kesabaran yang tinggi, mampu menjauhkan isu-isu sebegini. Mereka tak meluahkan perasaan marahnya, namun jauh di hati - hanya allah yang tahu keperitan tersebut. Sama ada diluahkan atau tidak, perasaan marah tetap tidak dapat kita jauhi.

Inilah yang dinamakan konflik.

Konflik berlaku di kalangan manusia-manusia yang saling bergaul antara satu dengan yang lain. Puncanya -wallahu'alam- terlalu banyak. Bermula dengan perasaan tidak puas hati dengan seseorang, perasaan marah mula dipendam, sehinggalah suatu masa nanti ia terlepas melahirkan kata-kata penuh emosi yang tajam menusuk kalbu dan menyakiti fizikalnya. Hanya untuk memuaskan hatinya.

Perasaan benci, marah adalah sifat negatif yang tidak dapat dielakkan oleh setiap insan. Setiap dari kita pernah merasainya. Sekiranya seseorang marah, kita akan dapat rasakan walaupun ia cuba sedaya upaya menyorokkan isi hatinya. Kadang-kadang sehingga dapat kita rasakan 'aura'nya apabila berada dekat dengannya. Perasaan marah banyak membawa keburukan walaupun dalam aspek yang lain ia mempunyai kebaikan. Ia membuatkan hati tidak tenang, jiwa resah gelisah.

Ada manusia yang sering menyalahkan orang lain sekiranya berlaku masalah. Ataupun menyalahkan keadaan sekelilingnya. Hasilnnya, ia sentiasa memberi alasan demi alasan bagi mengelakkan dirinya dipersalahkan. Serta menyorokkan kelemahan dirinya dengan mendedahkan kesalahan orang lain. Dalam jangka masa yang singkat, ia gembira kerana 'terlepas' daripada dipersalahkan. Namun dalam masa yang sama, ia membina tembok kesombongan dan keegoan daripada melihat kelemahan diri sendiri, malah ia sentiasa berasakan diri sempurna. Tidak pernah melakukan kesalahan.Manusia sebegini susah untuk meminta maaf. Walaupun kesalahan itu berpunca darinya.

Semua sifat-sifat ini adalah barah dalam perhubungan jangka masa panjang.

Berdasarkan pengalaman saya berhadapan dengan konflik, serta mendengar masalah orang lain - satu perkara yang telah saya pelajari, kita harus belajar untuk disakiti. Formula ini merupakan kaedah untuk kita mengelakkan konflik yang akan membawa pertengkaran, dan juga ramuan terbaik untuk kita mengekalkan sesuatu perhubungan.


Belajar untuk disakiti bermakna, kita berhenti daripada menyalahkan orang lain, dan melihat dari dalam diri sendiri, "Mengapa aku harus marah? Mengapa aku tidak dapat menerima kekurangan dirinya?" Dalam kita bergaul sesama manusia, kita harus bersedia menerima kekurangan orang lain. Dan dalam masa yang sama, cuba menegur kesalahan seseorang.

Untuk mengubah diri sendiri adalah lebih mudah daripada kita mengubah diri orang lain. Oleh itu, belajarlah untuk disakiti. Kerana hakikatnya manusia itu tidak pernah sempurna. Sekiranya kita seorang yang tersusun, pembersih dan berdisiplin, kita harus terima hakikat bahawa bukan semua manusia seperti kita. Oleh itu, daripada kita memarahi orang lain kerana 'kurang bersih', lebih baik kita cuba menerima kelemahannya dan dalam masa yang sama cuba memperbaiki sifat negatif itu.

Belajar untuk disakiti adalah jalan keluar kepada konflik dalam perhubungan sahabat dengan sahabat, adik dengan abang, ibu bapa dengan anak-anak, dan suami dan isteri. Jangan terlalu cepat sangat melenting, nanti orang akan terasa. Lebih baik diam, bertenang dan berbincang dengan baik. Ada orang berkata, "aku ni jenis yang terus-terang." Tapi ingat kawan, berterus terang tidak bermakna kita harus menyakiti hati manusia sekeliling kita. Ataupun tidak mengawal kata-kata kita.

Belajarlah untuk disakiti, kerana mungkin kita sentiasa menyakiti hati manusia sekeliling tanpa kita sedari...


Comments (4)

Apabila Diri Terasa 'Down'
by Hazim Azhar in ,

Terasa lama benar saya tidak meng'update ' blog. Sekiranya sebulan yang lalu sibuk kerana peperiksaan, cuti musim sejuk selama 2 minggu ini pula kerana banyaknya komitmen dalam program-program. Apabila masa semakin sempit, barulah terasa begitu sukar untuk komitmen dalam sesuatu amal. "Ya, Allah, bantulah hambaMu ini agar sentiasa istiqomah..



Kadang-kadang dalam kesibukan kita dalam kehidupan seharian membuatkan kita semakin cepat dalam solat berjemaah, semakin kurang quran dibuka, semakin sedikit masjid dijejaki. Oleh itu, semakin lama, kesibukan kita membuatkan kita terasa 'kering'. Dalam pencapaian kita menjadi orang-orang penting dalam sesuatu program, namun jauh di sudut hati, kita merasa ada sesuatu yang tidak kena. Sesuatu yang menggusarkan hati, yang menghilangkan ketenangan abadi.

Kadang-kadang apabila kita dalam keadaan 'down' menjadikan kita sering mudah melenting, sikit punya hal pun nak marah. Muka masam selalu. Situasi ini adalah normal bagi kita seorang manusia yang tidak pernah sempurna. Saya dan kamu; sama sahaja, pernah mengalami situasi sebegini. Oleh kerana keadaan ini tidak dapat dielakkan, lari daripada segala amanah bukanlah satu penyelesaiaan terbaik.

Persoalan utamanya ialah; bagaimana kita mengahadapinya.

Pertamanya, saya ingin mengingatkan diri sendiri yang terlalu lemah dan kemudian ingin menasihatkan para pembaca sekalian. Bahawa apabila diri terasa 'down', apabila mood semakin tak baik, itulah petandanya kita semakin mengabaikan amal ibadat seharian kita. Mungkin ketika peperiksaan, solat 5 waktu sehari semalam di masjid, quran seringkali dibaca, solat sunat tak pernah tinggal, qiamullail semakin kerap.. Tapi bila cuti, masa rileks-rileks, semua itu semakin berkurangan.

Marilah kita tanyakan kepada diri masing-masing, adakah hubungan kita dengan Allah semakin baik ketika musim cuti jika dibandingkan ketika musim peperiksaan? Sekiranya semakin baik, tahniah. Sekiranya semakin buruk, marilah kita sama-sama beristighfar dan kembali kepada Allah. Sesunggunnya fitrah manusia yang lemah pasti kembali kepada penciptanya, ketika mana mereka berada dalam keadaan tersempit. Dan apabila keadaan semakin baik, mereka melupakan penciptanya.

"Dan apabila manusia ditimpa bahaya, dia segera berdoa kepada Tuhannya dengan keadaan kembali bertaubat kepadaNya; kemudian apabila Allah memberikannya sesuatu nikmat (sebagai kurnia) daripadaNya, lupalah dia akan segala bahaya yang menyebabkannya merayu kepada Allah sebelum itu dan dia pula menjadikan sekutu-sekutu bagi Allah..." (Az-Zumar, 8)

Apabila diri terasa 'down', bukalah quran, bacalah ia dengan penuh penghayatan, satu per satu perkataan dengan memahami setiap maknanya. Pasti akan ketemui jalan keluar, hati yang tenang, jiwa yang lapang dan pemikiran yang matang. Bacalah ia ketika kamu bersendirian mahupun ketika bersama kawan.



Apabila diri terasa 'down', berwuduklah dengan air segar, kemudian solat sunat bersujud menghadap pencipta yang Esa. Mohonlah kepadaNya yang mencipta segalanya, yang lebih memahami setiap masalah kita. Lamakanlah sujud itu, air mata itu biarkan ia mengalir perlahan. Tanda kita masih setia kepada tuhan.

Apabila diri terasa 'down', keluarlah berjalan di kawasan-kawasan yang tenang, di tepi-tepi sungai, tasik-tasik. Ataupun keluar makan bersama kawan, sembang-sembang, gelak ketawa sebentar. Ambillah masa sendirian untuk muhasabah kembali, dapatkan mood yang baik agar kita tidak lupa siapa diri kita. Bertenanglah, jangan paksa diri dengan sentiasa berkerja dan bertugas, kerana hakikatnya kita bukan robot. Tetapi hanya manusia yang ada 'limit'nya.

Apabila diri terasa 'down', come on bro.. rilekslah~ hehe
Comments (6)

Aku Bukan Malaikat.
by Hazim Azhar in ,

Entri kali ini ditulis khas untuk mereka yang merasakan diri mereka teruk. Seolah tiada harapan untuk kembali ke pangkal jalan. Aku taipkan khas melalui kisah-kisah pengalaman silam peribadi dan juga memetik pengalaman orang lain. Sama ada yang kudengari melalui telinga, melihatnya melalui mata, atau merasainya sendiri melalui hati - akan cuba aku terjemahkannya melalui perkataan demi perkataan.



*****

Mengenang pengalaman silam yang penuh dengan warna-warni kehidupan membuatkan aku tidak memandang hitam sebagai jahat, mahupun terus menilai putih sebagai baik. Walaupun logik akal sering memandang kesalahan itu sebagai dosa yang perlu dipandang hina. Namun bagi aku, kita semua sama. Tidak pernah sempurna.

Mendengar panggilan "ustaz" yang diberikan kepadaku oleh sesetengah daripada mereka yang mengenalku, membuatkan aku seringkali menilai kembali diri sendiri. Adakah aku layak dipanggil sebegitu? Ataupun mereka-mereka yang memandangku sebagai manusia sempurna. Aku tidak melarang, ataupun mengarah, namun hakikatnya manusia hanya mentafsir luaran. Luaran yang baik menggambarkan hati yang suci. Luaran yang buruk menggambarkan hati yang kotor.

Benarkah begitu?

Mungkin ya, mungkin juga tidak.

Ketika di PLKN dulu, saya pernah berkawan dengan seorang yang pernah melakukan semua 'perkara'. Petang itu kami berborak-borak. Tenang. Dan dia meluahkan segala isi hatinya kepadaku. Dia menceritakan kisah-kisah silamnya yang amat 'dasyat' bagiku. Setiap petang selepas balik dari sekolah dia akan minum arak bersama kawan-kawan di kebun getah. Dia juga pernah 'bersama' dengan perempuan bukan sekali dua. Bergaduh adalah rutin mingguan memandangkan dia adalah antara 'otai' geng taiko. Mukanya berparut, tangannya menunjukkan kesan bahawa bergaduh adalah kebiasaan baginya. Dia juga bercerita bahawa selalu merempit dan melumba motor. Selain itu, mencuri dan membuli adalah kebiasaan baginya.

Bukan aku terlalu mudah mempercayai cerita-cerita yang kudengari. Tapi, segala masalah dan pergaduhan yang pernah berlaku di kem itu membuktikan bahawa kisah itu adalah realiti. Bukan rekaan. Kerana dia hampir-hampir 'digantung' kem latihan kerana kesalahannya.
Petang itu kami berborak. Lama. Setelah tamat berkongsi kisah peribadinya, dia berkata kepadaku. "Ustaz, kadang-kadang aku rasa hidup aku sempit. Semua yang aku lakukan membuatkan aku rasa tak tenang.."

Aku terdiam.

Dalam benakku terfikir, "Ya Allah, manusia yang pernah melakukan semua dosa ini masih ada kebaikan dalam dirinya dirinya". Selama ini, aku yang memandang buruk terhadap kesalahan, membuatkan terbuka pemikiranku. Kita perlu bersama mereka, menggunakan identiti yang boleh diterima semua untuk memahami mereka. Aku tersentak. Membuatkan aku bersimpati dengan kawan tersebut. Oleh itu, Aku cuba mengingatkannya tentang tuhan. Moga Allah memberikannya hidayah sehingga kini.

Sahabat, bagaimana jahat sekalipun kita, walau bagaimana besar pun dosa yang pernah kita lakukan.. Kita masih manusia. Dan manusia itu fitrahnya inginkan kebaikan. Kembali kepada tuhan. Sekiranya engkau merasakan agama ini terlalu sempit lantas meninggalkan segala suruhan tuhan, engkau pasti akan menghadapi kehidupan yang lebih sempit dari sebelumnya. Semakin jauh kita melarikan diri daripada Allah, semakin sempit dada kita, sesak nafas kita.

“Katakanlah kepada hamba2ku yang melampau terhadap dirinya sendiri(dengan dosa), Jangan berputus asa dengan rahmat Allah, sesungguhnya Allah akan mengampunkan seluruh dosanya..”(Quran)

Seandainya kita pernah melakukan kesilapan, percayalah bahawa cahaya itu masih bersinar. Jangan kita tutup pintu taubat dengan mengatakan "tuhan tak sayang aku". Mungkin kerana kecewa dengan ketentuan ilahi, kita merasakan Allah telah menzalimi kita, meninggalkan kita dalam kegelapan dosa. Lalu kita menyalahkan Allah, kita mengatakan yang bukan-bukan terhadap Allah. Mungkin tidak dilafazkan melalui lidah, tapi hati tegar mengatakan tak perlu kepada tuhan. Aku nak hidup dalam dunia keseronokan.

Percayalah sahabat, aku pernah merasai apa yang engkau rasai. Pernah melalui zaman yang pernah engkau lalui. Aku bukan sempurna, apatah lagi kita adalah sama. Oleh itu, ingin aku nasihatkan agar jangan berputus asa dengan Allah. Walau bagaimana besar dosa yang pernah kita lakukan. Dan jangan pula berterusan melakukannya. Percayalah, kita adalah manusia yang fitrahnya inginkan kebaikan. Inginkan ketenangan. Inginkan tuhan.

Aku nasihatkan buat dirimu dan diriku sendiri, kerana aku tahu; aku bukan malaikat.




Comments (5)

Search anything

Search in the Quran
Search in the Quran:
in
Download Islamic Softwares FREE | Free Code/td>
www.SearchTruth.com