hover animation preload
Showing posts with label Cerita Pengajaran. Show all posts
Showing posts with label Cerita Pengajaran. Show all posts

Perlu.Konsisten.
by Hazim Azhar in , ,



Konsisten atau dalam bahasa arabnya 'istiqamah' adalah resepi terbaik dalam kita berjaya. Biarpun adakalanya kita tidak sehebat orang lain, namun berterusan dalam sesuatu perkara akan membawa kita ke puncak kejayaan. Ibaratnya, pejalan kaki yang berterusan akan tiba jua di destinasi berbanding dengan pelari pecut yang akan keletihan separuh jalan lantas berpatah balik, ataupun singgah di kedai Pak Yop untuk minum cendol.

Konsisten amat berkait rapat dengan kefahaman dan keazaman. Kerana kefahaman "mengapa perlu aku melakukan perkara ini" adalah asas untuk istiqamah. Ada orang, yang sangat bersemangat pada mulanya untuk melakukan sesuatu. "Israel, jahanam kau!! aku akan boikot kau habis-habisan!". Namun tiba-tiba cuaca panas, nampak air pepsi di kedai, dibeli juga setin. Dan lebih lagi kalau dia sendiri ajak kawan-kawan yang lain makan Mc Donald dan sepupu-sepapatnya, dengan alasan : Aku lapar.



Tanpa kefahaman, kita tak mampu untuk istiqamah. Dan selepas kefahaman dibentuk, ia perlu diadunkan dengan keazaman yang tinggi untuk melakukannya. Inilah antara punca ada antara aktivis-aktivis dakwah tidak berterusan dalam amal. Kerana, tidak faham mengapa perlu ia beramal dan tidak ada keinginan untuk terus berkorban. Oleh itu, sebelum kita melakukan sesuatu perkara, kita perlu faham.. kita buat semua ini untuk apa? Allah? nama? harta? kedudukan dan kemasyhuran?

Dan satu lagi...

Jangan hanya ikut-ikut, nanti tersangkut. Ada juga orang yang melakukan sesuatu hanya kerana 'member' pun buat. Ini tidak ada pendirian namanya. Dan tanpa mengetahui dengan jelas matlamat ia melakukan sesuatu perkara membuatkan ia tak mampu konsisten. Apatah lagi, jika ia hanya ikut-ikut kawan. Kawan beli camera, dia pun nak beli camera. Kawan beli iphone, dia pun nak sebijik. Akhirnya, camera mahal-mahal tersimpan dalam almari kerana tak tahu guna.

"Hangat-hangat tahi ayam"

Mungkin ayam itu tidak menyedari bagaimana dan sehingga bila hangat tahinya. Tapi kita manusia seharusnya lebih peka dengan semangat dan iman kita yang adakalanya pasang surut, naik turun.

Kita perlu konsisten, Jangan jadi ayam.




Comments (1)

Akhirnya Kutemui (short movie)
by Hazim Azhar in , , ,




Part 1








Part 2




Ini adalah short movie pertama saya. Segala komen yang membina amat dialu-alukan. Moga produk-produk selepas ini lebih berkualiti.

Untuk pengetahuan para pembaca sekalian. Saya sedang merancang untuk menubuhkan sebuah team media yang akan menghasilkan video2, walpaper2, gambar2 islamik dan bermesej. Bukanlah team yang terlalu besar, hanya 4 atau 5 orang sahaja. Insyaallah, team ini akan menjalankan projek2 media yang bermesej dan bermanfaat. Moga kami akan dapat menghasilkan produk2 yang kreatif, berkualiti dan mantap.

Sebarang cadangan boleh diberitahu kepada saya melalui emel, facebook, ym dan apa2 cara sekalipun.

Sebarkanlah Kebaikan
Comments (12)

Alahai artis Melayu~
by Hazim Azhar in , ,

Petang tadi sedang jalan-jalan raya ke rumah kenalan keluarga, saya terlihat satu iklan dalam televisyen; "memori idola", satu rancangan khas menampilkan artis-artis yang berjasa besar dalam arena seni di persada nasional. Saya hanya melihat, tiada respon dan membuang pandangan saya ke luar jendela.

Terkenang "Malaysian Idol". Dan dalam masa beberapa detik itu lakaran memori lalu menyerbu benak fikiranku. Tiba-tiba hati kecilku berbisik, "mengapa artis seringkali dijadikan idola?"

Puas saya berfikir, di mana nilainya seorang artis yang terkinja-kinja di atas pentas. Di mana baiknya artis yang kehidupannya berkiblatkan Barat. Mempromosikan pakaian mendedahkan aurat, akhlak murahan yang gedik tidak bertempat, kisah-kisah cinta jalanan yang tidak layak disandarkan kepada cinta yang suci.

Memang meluat melihat adengan-adengan filem Melayu(khususnya) yang tiada nilai di sisi agama. Apakah tidak ada lagi rasa malu dalam hati, sehingga sanggup bergurau senda, bertepuk bahu, bersentuh tangan dengan lelaki dan perempuan yang bukan muhrim? Kononnya hanya berlakon atas tiket kebebasan asasi dan kemajuan, tetapi inilah sebenarnya yang dikatakan dengan kehancuran. Entah di mana hilangnya maruah, sehingga sanggup melelongkan harga diri di televisyen-televisyen, akhbar-akhbar dan majalah-majalah.

Sekadar gambar hiasan

Setelah bosan menonton TV, saya ambil pula sebuah akhbar tempatan di bawah meja tetamu. Saya selak satu per satu mukasurat, satu per satu gambar-gambar artis Melayu terpampang di laman kertas tersebut. Seorang lelaki dengan rambut berwarna perang, panjang mencecah bahu menunjukkan gaya 'otai' sambil memakai baju melayu bersongket. Di sebelahnya ada seorang perempuan turut sama bergaya. Dalam mukasurat lain pula, kelihatan manusia-manusia gedik bersalaman lelaki dan perempuan sambil mengucapkan ucapan hari raya dan kemaafan.

"Inilah gaya hidup yang ingin diterapkan dalam masyarakat aku", saya bermonolog sendirian. Terfikir, sedangkan isu-isu kebejatan akhlak semakin membinasa merosak institusi kemasyarakatan, dan pelbagai usaha telah dilakukan oleh banyak pihak termasuk pemimpin negara dalam ucapan-ucapannya. Dalam masa yang sama racun terus dihidang kepada pesakit-pesakit kronik.

Bukan ingin mengangkat martabat diri, mengatakan akulah yang paling soleh dan baik. Bukan juga ingin mengatakan diri ini sempurna dan tidak ada cacat cela. Namun jiwa ini sedih melihat masyarakat melayu tercinta hidup dipimpin Barat yang binasa dan membinasakan. Apa dikata putih, maka putihlah ia, biarpun pada hakikatnya ia hitam legam. Semakin buta daripada melihat keindahan islam.

Sekiranya idola itu bermaksud 'berhala' semata-mata, maka saya setuju artis ialah idola. Dan sebagai seorang muslim, kita hidup tidak menjadikan berhala sebagai ikutan dan contoh tauladan. Qudwah hasanah atau contoh yang baik letaknya pada orang beriman, khususnya lelaki pemimpin sekalian umat - rasulullah SAW. Akhlaknya sempurna, peribadinya menawan hati, bersifat halus, sensitif, berani, gagah, tegas, berhikmah dan segala sifat baik. Inilah yang harus kita jadikan contoh ikutan, bukan manusia-manusia duta Barat yang mempromosikan gaya hidup kotor dan hina.

Manusia beriman harus dijadikan ikutan

Apabila ini tidak jelas, alhasil dilihatnya muda mudi tersalah tafsir erti cinta yang sebenar. Cinta murahan tidak berharga. Sekadar bertemu ketika menunggu bas, berkenalan, saling behubung, sering keluar bersama, makan bersama, pegang tangan, jalan sama-sama,"Rindu awak, love you", datang orang ketiga terjadi cinta tiga segi, dan akhirnya berkahwin. Hasilnya, pergaduhan, tidak sefahaman, cintanya luput dihakis dosa-dosa silam yang masih digalas hingga kini. Kesian.. kesian.

Ha.. inilah 'kemajuan' yang dilaung-laung oleh Barat. Nak ikut?


*******

Suatu petang, seorang nenek yang rabun bertanya kepada cucunya, "Cu, siapa dalam TV yang menyanyi-nyanyi, terlompat-lompat, 'tak pakai' baju tu?", sambil jarinya terketar-ketar menuding ke arah televisyen. Cucunya dengan tenang menjawab...

"Oh.. itulah artis nek"
Comments (5)

Antara Ijazah dan Risalah
by Hazim Azhar in ,

Seorang lelaki mencari erti sebuah kehidupan. Kisahnya dalam memahami matlamat hidup di bawah lembayung kasih sayang Allah. Jalan yang ia tempuh, adalah jalan kebahagiaan di dunia dan akhirat. Inilah cerita pengajaran, kisah Hidup Hadi; Antara Ijazah Dan Risalah..


Hidupnya sama seperti kita; seorang pelajar yang mencari kecemerlangan dalam akademik.. namun dia telah menemui satu matlamat akhir hidupnya yang membawa kecemerlangan bukan sahaja di dunia, namun di akhirat.

Adakah Ijazah yang kita kejar?

Atau Risalah yang kita bawa?

Atau kedua-duanya sekali?

Semoga persoalan itu telah terjawab dalam jiwa anda..
Comments (0)

Andai Rama-Rama Boleh Berbicara
by Hazim Azhar in ,


Seekor rama-rama terbang bebas di taman bunga. Hatinya sangat gembira, angin pagi itu sepoi-sepoi bertiup. Kicauan burung menyapa kehadiran mentari pagi indah yang datang bertamu di alam raya. Lalu cahaya matahari menyebar, memancar ke segenap pelusuk bumi dan setiap celah ruang kehidupan. Dalam ketenangan dan kedamaian desa itu, kita sedang sibuk menguruskan kehidupan sehingga damai itu sirna dari hati kita. Dek kerana masalah-masalah yang melanda, kita tidak lagi merasakan ketenangan sebagaimana tenangnya sang rama-rama terbang sendirian.

******

Sejak akhir-akhir ini banyak isu timbul di kalangan kita. Di Malaysia, Gerakan Mansuhkan PPSMI (GMP) telah mengadakan satu perarakan atau demonstrasi pada 7 Mac yang lalu. Kemudian, dihadiahkan dengan semburan air dan tembakan gas pemedih mata oleh pihak berkuasa. Tidak kurang juga desas desus berkaitan politik yang semakin haru-biru. Di sekolah-sekolah jua budaya gengsterisme tumbuh bagai kulat menyebar setelah hujan. Kes kebejatan sosial di kalangan muda-mudi, pembunuhan, dan jenayah sehingga tergambar dek fikiran. Keadaan semakin kacau bilau, masyarakat semakin pening kepala dan kita juga semakin kebingungan.

Manakala di Mesir ini lain pula senarionya. Isu kecil dibesar-besarkan, perkara remeh temeh difikir-fikirkan. Lalu dalam menghadapi isu ini kita terbahagi kepada beberapa kumpulan. Ada yang tidak ambil peduli. Ada yang hanya mendengar dan menutup bicara. Ada juga yang menjadi reaktif, lalu gunung berapi meletup, mengeluarkan ledakan api yang panas yang menyakitkan hati semua manusia dan gerombolan asap-asap tebal menyesakkan ukhuwwah. Maka di sana kita dapat melihat berbagai reaksi manusia.

Saya tidak berminat untuk mengulas isu ini dengan lebih panjang lebar. Cukuplah kita yang sudah matang ini meletakkan pemikiran kita pada landasan kewarasan akal dan kebenaran, kemudian kita menilai mengikut neraca islam. Namun, saya kecewa dengan sikap segelintir masyarakat di kalangan kita; sanggup mencarik-carik dan menggadaikan nilai akhlak seorang muslim hanya untuk melepaskan geram terhadap perkara yang tidak dipersetujuinya.

Ini bukan soal politik dan gerakan

Ini bukan soal emosi dan kemarahan

Ini soal ADAB DAN AKHLAK ISLAM

Adab kita sebagai seorang yang telah mengucap dua kalimah syahadah, mengaku seorang muslim. Manusia memang dilahirkan berbeza-beza, maka perbezaan itu adakalanya menyebabkan kita tidak berfikir pada fikrah yang satu dan tidak duduk satu bangku. Namun jika kita perhatikan terdapat satu titik yang sentiasa bertindih di antara kita; satu titik yang mempertemukan kita dalam ruang perbezaan tersebut. Iaitu islam. Kita bertemu dalam agama yang sama, dalam solat pada waktu yang sama, pada kitab bacaan quran yang sama dan pada sujud kepada tuhan yang sama. Maka oleh itu, kita tetap bersama dan perlu memelihara adab-adab; lantaran kita ibarat tubuh yang satu.

Marilah sama-sama kita menyoroti lakaran-lakaran indah sirah ketika rasulullah di Madinah. Tatkala berbondong-bondong manusia menyertai islam, di sana berputik jiwa-jiwa munafiq yang berselindung di sebalik kata yang manis, bersembunyi di sebalik topeng keimanan yang rapuh. Maka nama seperti Abdullah bin Ubai bin Sahlul terkenal dengan sifat kemunafikannya yang sering menyalakan api perpecahan di kalangan muslimin.

Kaum munafiq semakin melampau tatkala menuduh Saidatina A’isyah RA berzina dengan Safwan bin Mua’ttal. Kisah ini terlakar sebagai ‘Hadis Ifk’.Kebiadapan munafiqin terserlah sehingga melenyapkan sebuah kesabaran insani. Namun apa yang menariknya, rasulullah tidak pernah sekalipun menghina, mengata, apatah lagi mencaci maki kaum munafikin sedangkan mereka terang-terang telah mengkhianati agama. Allah sahaja yang menemplak munafiqin dengan menyebutnya di dalam al-quran bahawa kaum munafiq ini akan menjadi bahan api dalam neraka dan akan dicampakkan ke dasar neraka.

Namun kita hari ini dalam menghadapi berbagai-bagai isu yang berlegar di sekitar kita, pantas sahaja lidah melafazkan kata tajam menusuk jiwa. Ringan sahaja jari jemari mencaci maki sesama muslim. Apalah sangat dosa yang dilakukan oleh insan tersebut, sehingga layak kita hina dan mengatakan yang bukan-bukan. Bukankah kita telah mengetahui bahawa ada hadith yang menyebut, “seseorang muslim kepada seseorang muslim haram nyawanya, hartanya dan maruahnya”.

Sungguh pakaian ketaqwaan itulah sebaik-baik pakaian. Selendang akhlak adalah sebaik-baik perhiasan. Oleh itu rasulullah telah menunjukkan contoh yang amat ideal sehinga termaktub dalam surah Al-Qalam,ayat 4 “Sesungguhnya engkau(Rasulullah) mempunyai budi pekerti yang luhur”. Sedikit pun Nabi tidak pernah mengeluarkan kata-kata yang kurang sopan hatta kepada orang kafir yang memerangi islam.Adakah layak kita mengata saudara semuslim walaupun dengan cara tersembunyi?

******

Seluruh alam kaget melihat reaksi manusia. Rama-rama tadi pun merasa pelik dan kebingungan, ia melihat manusia di ambang perpecahan. Resah jiwanya. Lalu ia terus terbang, terbang dengan ketenangan meninggalkan alam keresahan. Andai rama-rama itu boleh berbicara, tentu kita semua terkilan kerana katanya.
Comments (2)

Insan dan pohon
by Hazim Azhar in

Cuba tarik nafas...

hembus..

Tarik semula...

hembus..

Apa yang kamu semua rasa? Segar bukan? (lainlah kalau kau tak mandi pagi lagi).. Sedar atau tidak itulah nikmat Allah yang amat besar kepada kita; bernafas dengan udara. Kalaulah diciptanya kita bernafas dengan air.. kan menggelabah kita nak pegi kuliah bawak air, nak pegi masjid bawak air, nak pegi jalan-jalan bawak air. Air, air, air.

Tapi dengan kuasa Allah, kasih sayang Allah, kita diciptakan dengan sebaik2 rupa bentuk dan fungsi. Sekiranya kita pandang2 cermin, lihat wajah kita. Mata yang diciptakan cantik. Hidung mancung(kadang2 tak). Bibir yang sempurna. Terdetik di hati; "Subhanallah". Maha suci Allah yang menjadikan kita dan menyempurnakan kejadian kita.

Sekiranya kita lihat pohon2 yang melambai2 di jalanan, hutan belantara atau depan rumah kita. Dari makhluk itulah kita dapat memastikan kesinambungan kehidupan. Sebatang pokok; yang nampaknya tidaklah begitu penting malah kadang2 menghalang jalan, amat berbakti kepada manusia dan seluruh alam di dunia. Malah telah menggambarkan betapa hebat ciptaan tuhan yang esa, lantas mengetuk hati2 manusia yang sering lalai.


Sebatang pohon berdiri. Bertasbih memuji Tuhan pencipta alam. Membekalkan oksigen, membersihkan udara, menjadi sumber makanan, tempat berteduh ketika panas terik dan menjadi pasak gunung-ganang dan bukit-bukau. Juga membawa naik air yang terserap ke tanah untuk menyegarkan udara sekeliling. Keindahan dan fungsi yang terlalu penting dalam kehidupan manusia tidak dapat dipertikaikan lagi. Lantas mengetuk-ngetuk hati kita, memukul2 jiwa yang seringkali lalai akan.."Inilah kesempurnaan ilahi yang menciptakannya"

Sesungguhnya itulah ayat, bukti Allah maha berkuasa mencipta dan mentakdirkan sesuatu. Hidayah Allah setiap hari hinggap di tangkai hati, namun apakan daya jiwa yang gelap tidak mungkin merasakan manisnya cahaya ilahi. Adakalanya tatkala kita merenung ciptaan ilahi yang indah, terpacul pada bibir kita "Subhanallah" Maha sucimu Ya Allah, tidaklah engkau menjadikan ini dengan sia2..

Itulah fungsi hakiki sebatang pohon, sebagai 'ayat' allah. Kita taajub dengan kejadiannya, lantaran pohon menjalankan tugasnya yang sebenar.(seperti yang disebutkan di atas). Oleh itu sahabatku sekalian, kita seharusnya menjadi seperti pohon. Sungguh, apabila kita menjalankan tugas dan tanggungjawab kita yang sebenar, manusia akan ta'jub dengan kita lantas bertasbih kepada Allah. "subhanallah"

Manusia yang terbaik ialah apabila kita melihatnya, kita teringat akan Allah. Manusia yang menjalankan tanggungjawabnya, yang telah diamanahkan kepadanya oleh tuhan pencipta sekalian alam.

Apa peranan kita?

1) Mengabdikan diri kepada Allah

Tidaklah Allah menciptakan manusia dan jin melainkan untuk mengabdikan diri kepada Allah. Maka harusnya, setiap detik2 yang berlalu dalam hari, setiap nafas yang menghembus mendekatkan diri kita kepada Allah. Ingatlah Allah, bukankah dengan mengingati Allah jiwa akan menjadi tenang?

2)Menjadi Khalifah

Surah Al-Baqarah, ayat 30 ada menyebut.. Allah berkata kepada malaikat bahawa Dia ingin menjadikan khalifah di muka bumi. Tetapi malangnya, khalifah itu sendiri yang menumpahkan darah, melakukan maksiat, menghalang perkara kebaikan dan akhirnya bukan gelaran 'khalifah' ia peroleh, malah 'sampah'. Tugas sebagai khalifah sepatutnya memelihara alam dengan sebaiknya, menegakkan agama dan meninggikan kalimah 'la ilaha illa allah, muhammad ar-rasulullah'

Oleh itu sahabatku..

Tidak hairanlah mengapa para sahabat terdahulu menjadi 'figure' dan role model sehingga orang di sekitarnya ta'ajub dengan mereka. Hanya kerana mereka menjalankan tugan dan amanah yang ditaklifkan Allah dengan taat. Sebab itulah, Umar ditakuti dan disegani oleh manusia malan jin.

kalau kita lihat diri kita, belek2, pandang2, teliti2 kembali.. sejauh mana kita pada pandangan manusia jika nak dibandingkan dengan para sahabat dan tokoh2 terdahulu? Takut2 bukan 'subhanallah!' yang diucapkan malah 'astghfirullah!'(sebab pakaian menjolok mata dan menggoda). Malah mungkin juga "masyaallah... teruknya dia". atau boleh juga jadi.. 'la haula wala quwwata illa billah', sebab tengah tahan marah melihat perangai kita.

Di mana kita? muhasabah kembali ye..

Saya betul2 ta'ajub dengan pokok, jika diperhati2 dan berfikir akan ciptaan Allah. Seringkali saya termenung pada waktu petang, hati berbisik; menusia, manusia, manusia.

Alangkah indah menjadi sebatang pohon..
Comments (1)

Cerita Kerang
by Hazim Azhar in


Ini cerita seekor kerang. Cerita pengajaran. Cerita sastera. Cerita kita. Seekor makhluk Allah yang hidup dalam dunianya yang tersendiri. Begitu sukar ditafsir oleh pancaidera manusia. Kehidupannya sama seperti kita; seandainya kita adalah kerang.

Angin taufan yang melanda pantai laut Mediteranean bulan itu amat kuat sehigga meniupkan tiupan angin yang bukan kepalang, lalu angin itu ditafsir menjadi gulungan ombak yang menggila sepanjang pantai. Ia takut, risau dengan keselamatannya. Lantas ia tetap menyorok dalam cangkerangnya. Lama ia begitu, biarpun kelaparan tetap bertahan. Tanpa melihat keluar walau sejenak pun. Adakalnya ia bergolek-golek; dek kerana hempasan ombak setinggi langit(Baginya). Lalu ia berdoa, semoga tetap bertahan. Kembali muhasabah erti sebuah kehidupan.

Terkenang ia akan sebulan yang lalu, pantai itu begitu tenang. Pantai yang terletak di salah sebuah daerah Mesir; Dumyat. Keriangan petang itu bersama rakan2nya yang lain masih terasa hingga kini. Tika itu, seluruh ahli keluarganya berkumpul bersama-sama, makan bersama-sama dan gelak ketawa silih berganti. Alangkah riangnya hati. Semua kerang membuka luas cangkerangnya, begitu banyak makanan yang dapat diperoleh. Dia dapat melihat seluruh dunianya; dunia terumbu karang.


Namun kini..

Segalanya berubah. Ingatkan panas hingga ke petang, namun hujan di tengah-hari(kerang ni agak romantik). Pernah sekali ia cuba melihat keluar dalam ngauman ombak tatkala itu. Astaghfirullah... Segala-galanya hancur, mati dan binasa. matanya terpaku kepada sekujur cangkerang; seolah biasa melihatnya. "Maak!.." Itu sahaja kalimah yang terlafaz pada mulutnya. Dalam linangan air mata ia cuba mendekati tubuh itu. Mati. Tiada apa yang boleh diusahakan. Dia lantas menoleh ke sekelilingnya, segala-galanya hancur! cangkerang siput, kerang dan ketam bergelimpangan di sana-sini. Ia amat takut, trauma melihatnya. Dia lantas pergi dari situ, meninggalkan sekujur tubuh kaku insan tercinta.

Tiba-tiba ia terlihat seekor kerang yang masih teguh cangkerangnya, cantik, indah. Ia cuba mendekati perlahan-lahan; dengan harapan menemukan kerang hidup yang lain. Ombak menghempas lagi. Cepat-cepat ia masuk ke dalam perlindungannya. Setelah reda ia cuba membuka kembali pintu cangkerangnya. "Ya Allah!..." Alangkah terkejutnya ia, kerang tadi yang begitu indah luarannya terbuka luas mulutnya. Hanyir dan busuk. Kelihatan beberapa ekor ulat sedang memamah jasadnya. Ulat itu menggelitik-gelitik. Menggelikan.. Matanya melihat, otaknya mentafsir lalu meghasilkan satu emosi yang kurang menyenangkan. Ia mual dan termuntah di situ.

Kerang itu sedih dan duka. hatiya benar-benar menangis, pilu menganangkan nasib diri. Lalu atas tikar kesedihan itu ia bermunajat kepada ilahi. Biar betapa kuat ombak menghempas, ia tetap bertahan.. Ya tetap bertahan dalam cangkerangnya.


Begitulah juga kehidupan seorang manusia wahai sahabatku..

Kita ini ibarat kerang. Dunia kita ialah pantai. Adakalanya arus laut terlalu tenang, indah, senang dan perlahan. Lantas kita lupa, kita alpa dengan kesenangan yang hanya sementara. Kita juga lupa bahawa kita hanyalah kerang yang lemah, menumpang dalam pentas kehidupan.

Sungguh, zaman remaja zaman kita amatlah hebat ombak cabarannya wahai sahabatku; walaupun kita tidak menyedari hakikat ini. Fenomena-fenomea kebejatan sosial dan kehancuran akhlak adakalanya tidak disedari oleh kita. Jarum-jarum thaghut telah mencucuk hati kita melalui media-media, majalah, surat khabar dan internet. Maka ramai yang hatinya mati.. seperti matinya kerang-kerang, siput-siput dan ketam-ketam dalam kisah di atas.


Hanyalah bahtera iman yang akan melayarkan kita ke destinasi yang abadi. Perkasakanlah iman dengan al-quran dan solat malam. Sentiasa berdamping dengan Quran akan menyalakan semangat perjuangan. manakala solat malam(qiamullail) akan memantapkan hati, meneguhkan jiwa dan melancarkan lidah.

Adakalanya kita perlu beruzlah(mengasingkan diri) dalam cangkerang keimanan kita. Ombak di luar sana amat hebat sahabatku.. berlindunglah dalam cangkerang keimananmu. Semoga hati kita sentiasa bersih dan suci..



Kerang itu masih di situ.. berteleku dalam munajatnya di hadapan wajah tuhan.

Kerang itu teguh dan kuat.. tatkala yang lain kalah, ia dapat bertahan.

Kisah kerang; analogi kehidupan insan. Ada yang kalah dan mati, ada yang hidup dan tetap bertahan. Sekiranya seekor kerang dapat bertahan di pantai ombak ganas yang membinasakan.. mampukah kita bertahan dalam arus dunia keremajaan?
Comments (6)

Search anything

Search in the Quran
Search in the Quran:
in
Download Islamic Softwares FREE | Free Code/td>
www.SearchTruth.com