hover animation preload

Kesatuan yang kita laung-laungkan.
by Hazim Azhar in

Kesatuan adalah perkara asas yang kita inginkan dalam mana-mana persatuan pun, sama ada kita laungkan sekuat-kuatnya ataupun memendamkannya sahaja di hati. Ia adalah keinginan naluri, asas yang berdiri di atasnya segala gerakan. Bersatu teguh, bercerai roboh, begitulah peribahasa melayu mengungkap kata.

Keberadaan saya di Mesir ini selama beberapa tahun memberi satu pengalaman baru, menghadapi satu situasi yang lain berbanding di Malaysia. Pemikiran arus perdana yang lain dari kefahaman dan keyakinan, serba sedikit memberi impak dalam hidup saya. Dan kali ini saya ingin kongsikan satu tulisan tentang kesatuan yang kita laung-laungkan.

Bentuk kesatuan yang kita inginkan.

Banyak kali kita mendengar idea tentang kesatuan dengan definisi yang tersendiri, sama ada dengan dalil dan hujah ataupun dengan sentimen perasaan. Apapun, telah banyak bentuk kesatuan yang pernah saya jumpa. Dan yang menjadi arus perdana di Mesir ini adalah kesatuan jemaah/persatuan di bawah satu induk sahaja. Ini adalah idea majoriti dan kefahaman hampir seluruh pelajar di sini.

Dengan membawa dalil dan hujah hadith serta kalam ulama' tentang perpecahan, kita diterapkan dengan kefahaman kepelbagaian jemaah adalah haram. Dan ini telah saya dengar sendiri dan rasai sejak 4 tahun lalu ketika baru sampai di Mesir. Sebentar lagi saya akan sebutkan beberapa dalil tersebut. 

Dengan kefahaman menolak persatuan yang lain dengan pelbagai alasan; merugikan islam, memecah belahkan kesatuan pelajar, tenaga tidak dapat digunakan sebaiknya, pertindihan program dan sebagainya, kita lantas menghukum sahabat-sahabat kita yang berlainan jemaah dengan sindiran, kata-kata tajam malah ada yang sampai diugut. Maka sebelum itu marilah kita sama-sama berfikir tentang sebab kita berpesatuan dan berjemaah.

Dalam kitab Fiqh Dakwah, Syeikh Mustafa Masyhur telah menyebut; ghayah (tujuan tertinggi) dalam jemaah Ikhwan Muslimin adalah Allah dan muhimmah (kepentingan) kita adalah menguasai dunia dan membawa insan kesemuanya kepada islam. Maka sepatutnya kita sebagai orang islam seharusnya meraikan dan menyokong mana-mana usaha yang menuju ke arahnya. Kita perlu terima hakikat yang semakin ramai yang ingin memperjuangkan islam, semakin banyak memberi manfaat kepada masyarakat kita, dan dalam konteks kita di Mesir ini, mahasiswa mahasiswi kita. 

Jemaah kita mungkin menggunakan kaedah tertentu dan fokus terhadapnya, dan jemaah lain pula ada kaedah dan cara yang tersendiri. Bukankah perkara ini akan memberikan kebaikan?

Maka kita dengan emosi tetap mempertahankan kewujudan jemaah lain adalah perpecahan. Kalau dikatakan berpecah di sudut bernaung di bawah jemaah yang berbeza, apakah ia merupakan perpecahan? Kalau dikatakan berpecah kerana tenaga tidak dapat dikumpulkan pada satu jemaah, apakah ia benar-benar satu perpecahan. Sebelum itu saya ingin bertanya, apakah definisi kesatuan yang kamu faham.

Jika maksud kesatuan itu adalah dengan berkumpulnya seluruh pelajar di bawah satu jemaah semata-mata, maka ini adalah kefahaman yang sempit. Kita menolak naluri dan realiti bahawa manusia itu berbeza-beza, ada yang faham cara ini dan ada juga yang faham cara itu. Kita tak mampu menyuruh manusia bekerja dengan memaksanya mengikut cara kita. Kita ambil konteks malaysia, bagaimana nak aplikasikan idea ini ketika pulang kelak? Masih menjadi tanda tanya.

Pasti ada yang mengaitkannya dengan konteks "khalifah" yang seluruh umat islam bernaung di bawahnya. Ya memang benar, andai ada khalifah kita semua wajib bernaung di bawahnya. Tapi zaman sekarang tiada khalifah, dan kita semua sedang bekerja mengembalikan khalifah. Maka jalannya berbeza-beza ikut kefahaman. Dan jika kita tak henti-henti menolak orang lain, sibuk mempertikaikan kaedah dan cara malah kewujudan orang lain, ia akan merugikan kita. Masa terbazir di situ saja, tanpa ada agenda pembangunan insan untuk mengasaskan batu-bata pembinaan khalifah. Alangkah baiknya jika kita semua berkerja dan fokus terhadap tujuan yang utama iaitu mengembalikan khalifah.

Saya berpegang dengan kefahaman Ikhwan Muslimin terhadap konteks kepelbagaian jemaah yang diterangkan dengan kata-kata imam Hassan Al-Banna yang bermaksud;

"Kita bersepakat di atas perkara yang kita sama-sama setuju, dan berlapang dada di atas perkara-perkara yang kita perselisihkan"

Saya terkenang satu kisah yang berlaku di Mesir dulu, ketika orang bertengkar tentang bilangan rakaat solat tarawih, kemudian mereka merujuk kepada Imam Hassan Al-Banna dan syeikh berkata; "Kamu tak perlu solat tarawih kerana ia adalah perkara sunat, sedangkan kesatuan umat adalah wajib". (jika salah sila betulkan). Isinya ialah kesatuan hati, kesediaan menerima orang lain adalah asas kepada kesatuan. Jika dengan berbilang jemaah pun kita tak mampu terima, apakah benar kita memperjuangkan kesatuan, ataupun kita sendiri menyebarkan kefahaman kebencian dan perpecahan?


Dalil yang digunakan bukan pada tempatnya.

Antara dalil yang sering saya dengar adalah;
" تحصيل الحاصل باطل "
Yang bermaksud, jika kita dah mendapat satu hasil, maka perbuatan melakukannya sekali lagi adalah batil. Contoh yang ringkas, kita menuang air di dalam gelas, jika telah mencapai hasil yang kita inginkan iaitu gelas dipenuhi dengan air, maka perbuatan kita menuang air lagi adalah batil kerana ia akan tumpah dari gelas dan membazir.

Namun penerangan yang saya seringkali dengar dari mulut para ustaz di Mesir ialah jika sudah ada jemaah, maka perbuatan kita membuat jemaah baru adalah batil. Benarkah begini yang dimaksudkan? Adakah benar-benar kita telah mencapai "Hasil" yang disebutkan. Apakah hasil yang ingin kita peroleh dalam berdakwah? Hasil yang kita inginkan ialah mengembalikan manusia kepada Islam, sepertimana yang telah saya tulis di atas. Bukannya hasilnya ialah berjemaah. Dalil ini telah digunakan bukan pada tempatnya.

Selain itu, dalil kisah pembinaan Masjid Dirar oleh orang munafiq menjadi hujah. Rasulullah mengharamkan solat di sana malah telah tercatat dalam surah Attaubah, ayat 107;

Dan (di antara orang-orang munafik juga ialah) orang-orang yang membina masjid dengan tujuan membahayakan (keselamatan orang-orang Islam), dan (menguatkan) keingkaran (mereka sendiri) serta memecah-belahkan perpaduan orang-orang yang beriman, dan juga untuk (dijadikan tempat) intipan bagi orang yang telah memerangi Allah dan RasulNya sebelum itu. Dan (apabila tujuan mereka yang buruk itu ketara), mereka akan bersumpah dengan berkata:" Tidaklah yang kami kehendaki (dengan mendirikan masjid ini) melainkan untuk kebaikan semata-mata ". Padahal Allah menyaksikan, bahawa sesungguhnya mereka adalah berdusta
Dikatakan pembinaan jemaah baru adalah sama dengan pembinaan Masjid Dirar kerana memecah belahkan kesatuan umat. Pertamanya, marilah kita teliti kisah Masjid Dirar ini. Orang munafiq yang membinanya memang bertujuan semata-mata memecah belahkan umat islam. Apakah ia sama dengan pembinaan jemaah islam yang bertujuan untuk berdakwah oleh orang-orang yang berpegang dengan kefahaman islam yang sahih. Sudah tentu ia jauh daripada rasional. Siapakah kita yang ingin menghukum munafiq, dan siapakah kita yang ingin mempertikaikan niat murni berdakwah serta menjalankan agenda pembinaan umat islam. Tepuk dada tanya iman.

Ada juga hadith-hadith yang menyebut tentang "Jemaah Islam", siapa yang keluar (man faraka) dia akan mati dalam jahiliyyah dan sebagainya. Namun para ulama' telah menafsirkan "Jemaah Islam" yang dimaksudkan hadith bukanlah jemaah-jemaah tertentu sekarang ini, tapi ia adalah khalifah. Ada beza antara "jamaatul Muslimin" dan "Jamaah min al-muslimin"

Jamaatul Muslimin adalah khalifah. Maka siapa-siapa yang keluar daripadanya ia adalah terkeluar dari islam, dan mati dalam jahiliyyah. Tapi sekarang tiada khalifah, yang ada hanyalah "jamaah min al-muslimin" iaitu jemaah daripada orang-orang islam. Dan tiada mana-mana jemaah pun berhak claim dan mengatakan mereka adalah "Jamaatul Muslimin". 

Ada juga dalil aqli yang digunakan berbentuk perumpaan membuat rumah baru. Jika ada kerosakan di rumah lama kenapa perlu kita membuat rumah baru? Mengapa kita tidak sama-sama memperbaiki kerosakan yang sedia ada. Dalam konteks ini bagi saya ia amat jauh daripada realiti yang berlaku.

Penubuhan jemaah baru bukanlah disebabkan jemaah lama kurang tarbiyah atau telah rosak dan sebagainya. Tapi pembinaannya adalah bertujuan menjalankan projek pembinaan ummah berdasarkan manhaj perubahan yang diyakini, iaitu fikrah Ikhwan Muslimin. Tidak ada kena mengena langsung dengan kecewa terhadap kekurangan jemaah yang sedia ada. 

Dan banyak lagi dalil yang pernah saya dengar sepanjang 5 tahun berada di sini, ada yang terlalu jauh daripada realiti dan hakikat. Ada yang penuh dengan emosi, ada juga yang disalah gunakan pada tempatnya. Apabila ada usaha membetulkannya, namun ia langsung tidak dilayan. Kesalahan tetap dipegang dan disebarkan, lalu kita terus percaya dan membenci sesama muslim.


Mana mungkin ustaz itu salah!

"Kita tak belajar agama, diam-diam sudahlah"

"Siapa kau yang nak pertikaikan ustaz yang mengaji Azhar"

"Hei, ulama' tu, siapa kau nak berbeza pendapat dengannya!"

Kata-kata sebegini menjadi benteng terakhir bagi kebanyakan dari kita apabila hujah kita dipatahkan atau apabila mendengar pendapat yang berbeza daripada apa yang kita fahami. Seolah-olah kita tidak berhak langsung berlainan pendapat, mendengar pendapat ustaz lain, yang betul hanyalah ustaz yang kita yakin dengannya.

Saya nak taipkan kata-kata Syeikh Hassan Al-Banna dalam usul 20; Seseorang boleh diterima dan ditolak melainkan Rasulullah yang maksum. Realiti yang berlaku membuatkan saya terfikir, apakah sebegitu maksum  mereka sehingga pendapat mereka tidak boleh ditolak oleh ustaz lain. Sedangkan para sahabat dalam kisah selepas perang Khandak, Rasulullah telah menyuruh para sahabat pergi ke perkampungan Bani Khuraizah dan solat di asar di sana. Namun perjalanannya jauh dan waktu solat asar akan habis (sampai sana isya') jika ingin mematuhi kata-kata rasulullah. Kemudian, beberapa sahabat berpendapat harus solat asar dahulu dalam perjalanan kerana waktu asar akan habis, ada juga yang berpendapat solat asar perlu di perkampungan Bani Khuraizah kerana ia adalah arahan Rasulullah. Maka para sahabat pun terbahagilah kepada 2 kumpulan, ada yang solat asar dahulu dan ada yang solat kemudian. Setelah pulang, mereka bertanya kepada rasulullah, yang manakah betul. Rasulullah kata kedua-duanya betul.

Para sahabat walaupun berselisih pendapat tentang memahami kata-kata Rasulullah tidak pula saling menyalah sesama mereka, malah mereka tetap bekerja menjalankan misi dengan baik. Sahabat meraikan pendapat sesama sendiri. Inikan pula kita, tiada arahan rasulullah tentang memilih mana-mana jemaah dan tiada dalil yang qati' menyebut hukumnya, kemudian kita bersikap menolak pendapat lain sekeras-kerasnya sehingga menguhukum haram dan batil. 

Adakalanya kita lupa yang ulama' juga terdapat dalam jemaah selain jemaah kita. Dan pendapat-pendapat mereka juga berdasarkan dalil dan hujah yang tersendiri. Namun kita tidak dapat menerima hakikat ini, seolah-olah ulama' daripada kumpulan lain sentiasa tidak benar dan tidah layak. 

Mentaliti sebegini adalah didikan sempit yang kita terima daripada kaedah lama turun-temurun. Saya menyaksikan bagaimana ia diterapkan kepada generasi-generasi baru di sini dalam program-program yang sepatutnya diisi dengan kefahaman islam yang sahih, namun dihidangkan dengan kefahaman dan dalil-dalil yang disalah ertikan. Sedikit demi sedikit pemikiran menjadi sempit kemudian kita reda dan berpegang kuat dengannya.


Solusi cadangan saya.

Kesatuan bermula dari dalam hati untuk menerima orang lain, meraikan pendapat dan perbezaan dan kesediaan berlapang dada. Walaupun kita berada dalam satu jemaah, namun jika hati kita saling membenci sesama sendiri, apakah ia satu perpaduan? 

Ia bermula daripada hati, dan jika kita mampu bersikap berlapang dada dan menerima orang lain. Di situlah titik asas perpaduan. Dengan kefahaman islam bahawa kesatuan adalah wajib, kita raikan semua orang yang ingin menyumbang dalam agama kita dalam apa jua bentuk sekalipun. Tidak kira melalui nama apa pun, kita saling menghulur tangan. Selagi mana persatuan tersebut berpegang kepada al-quran dan as-sunnah, kita saling bekerjasama dalam menegakkan islam.

Kedua, sikap taqlid buta dan percaya tanpa kefahaman. Sebagai mahasiswa yang akan menentukan masa depan negara, seharusnya kita lebih terbuka dan mendengar dari semua pihak. Sikap taqlid buta atau mengikut membabi buta menjadikan kita manusia yang tidak rasional, tak mampu berkembang dan tak mampu survive sendirian. 

Sebagai penutup, saya ingin berpesan kepada diri sendiri dan para pembaca agar menjadikan islam sebagai mizan (timbangan) penilaian kita. Apabila politik/jemaah kita menjadi timbangan, pasti kita akan sentiasa menyalahkan orang yang berbeza pendapat dengan kita. Ya, saya hanyalah seorang pelajar perubatan yang cuba menyumbang sesuatu dalam hidupnya dengan bakat dan kekuatan yang ia ada. Saya bukan ustaz apatah lagi ulama', tapi saya yakin dengan sumber kefahaman saya tidak sesat. Terima atau tidak, terpulang. Tetapi saya di sini, menghulurkan tangan sambil tersenyum kepada sesiapapun untuk bersahabat. Saya tidak bermusuh dengan orang islam. 

"Jangan kita menjadi orang yang melaungkan kesatuan dalam masa yang sama menabur benih kebencian dan perpecahan."


Hazim Azhar.
Malek El-Saleh,
Cairo.









Comments (2)

30 Soal Jawab Melayu Sepakat Islam Berdaulat
by Hazim Azhar in ,

Ini adalah soft copy daripada buku; 30 soal jawab Melayu Sepakat Islam Berdaulat. Saya tertarik dengan idea ISMA dalam kemelut yang melanda masyarakat melayu islam kita kini, dan saya ingin kongsikan kepada semua para pembaca.

Untuk download PDF, boleh download di sini : (link)

*******

Soalan 1

S (Pengerusi Majlis) : (Selawat) Salam, salam sejahtera , Alhamdulillah bersyukur kita terhadap Allah s.w.t pada pagi ini kita dapat bersama dalam satu sesi wawancara bersama dengan Ust. Abdullah Zaik Abd Rahman yang merupakan Presiden Ikatan Muslimin Malayusia (ISMA). Pada pagi ini, insyaAllah bersama saya adalah beberapa orang individu yang akan bersama-sama dalam wawancara ini yang akan membicarakan suatu perkara yang hendak dibawa oleh Ikatan Muslimin Malaysia berkaitan dengan slogan Melayu Sepakat Islam Berdaulat.

Selamat datang Y. Bhg ustaz.

Saya difahamkan bahawa slogan Melayu Sepakat Islam Berdaulat ini akan dijadikan suatu slogan dalam memperjuangkan atau dalam gerak kerja (ISMA) pada masa akan datang. Bagaimana saudara Presiden nampak perkara ini akan memberi kesan terutama dalam membawa masej Islam kepada masyarakat.

J : Di awal perbincangan ini, suka saya menegaskan bahawa perjuangan dan fikrah ISMA ialah Islam sebagaimana yang dibawa oleh Rasulullah s.a.w dalam bentuknya yang mudah, Islam yang mudah dan simple tanpa ditambah ataupun dikurangkan. ISMA tidak mengideologikan Islam itu. Kita menerima Islam sebagaimana yang dibawa oleh Rasulullah S.A.W., sebagaimana wahyu itu diturunkan kepada Nabi Muhammad S.A.W. dan dibawa oleh baginda kepada para sahabat dan seterusnya sampai kepada generasi kita sekarang, itulah Islam yang dibawa oleh ISMA. Kita tiada ideologi lain selain daripada Islam.

Jika ditanya apa fikrah isma? Maka jawapannya ialah Islam itu sendiri sebagaimana yang dibawa oleh Rasulullah s.a.w. Saya sebutkan perkara ini kerana, banyak sekali kita lihat hari ini timbul kecenderungan dalam kalangan sesetengah pihak untuk mencampur-baurkan fikrah islam dengan ideologi-ideologi lain dan menyebabkan kekeliruan berlaku dalam masyarakat umum. Ini mungkin akibat tekanan dan perkembangan-perkembangan ideologi yang berlaku. Jad, di atas asas fikrah simple dan mudah ini jugalah kita menetapkan pendirian-pendirian terhadap sesuatu perkara, terhadap badan-badan lain, terhadap isu-isu, terhadap segala apa yang berlaku di sekitar kita pada masa ini. Apa sahaja cabaran yang dihadapi oleh umat Islam hari ini kita melihat daripada aspek Islam yang asli, murni dan tulen, termasuklah apa yang disebutkan oleh saudara (En Mohd Rosli bin Ramli) tadi dalam persoalan mengenai slogan Melayu Sepakat Islam Berdaulat.

Sebenarnya inti kepada perjuangan Isma ialah untuk membina, membangun dan mempertahankan keperibadian dan jati diri orang Islam khususnya masyarakat Melayu ataupun bangsa Melayu di rantau ini, khususnya di Malaysia. Oleh kerana orang Melayu pada dasar sejarahnya telah bercampur darahnya dengan Islam, rohnya dengan roh Islam dan telah menjadi sebahagian daripada umat Islam dan tidak ada sesiapa pun boleh menafikannya, walaupun apa yang berlaku sepanjang sejarah penjajahan dan sebagainya. Agenda-agenda asing cuba untuk menghakis jati diri keperibadian Islam ini daripada orang Melayu sehingga mereka tidak mempunyai agenda dan pegangan. Bagaimanapun kita masih menganggap bahawa segala muqawimat (kekuatan) Islam itu masih wujud pada diri orang Mlayu sebagai suatu ummah, sebagai suatu bangsa yang berdiri tegak di atas asas-asas rukun agama Islam.

Jadi, agenda utama ISMA ialah membina, membangun dan mempertahankan keperibadian dan jati diri umat Islam sehingga menjadi bangsa yang memperjuangkan Islam, yang membela Islam dan menjadi kepimpinan Islam pada masa akan datang. Oleh kerana sekarang kita lihat masyarakat Melayu, khususnya di Malaysia yang merupakan kaum majoriti di kalangan orang Islam, berhadapan dengan berbagai-bagai ancaman, berhadapan dengan ancaman daripada berbagai-bagai agenda yang datang daripada luar dan juga daripada dalam negeri, jadi di sana terdapat percaturan di peringkat antarabangsa dan asas percaturan di peringkat dalam negeri.

Jadi, soalnya bagaimana orang Melayu dan masyarakat Islam boleh keluar daripada kemelut ancaman ini? Inilah jawapan kita. Kita lancarkan slogan Melayu Sepakat Islam Berdaulat. Pada pandangan kita, dengan kembalinya orang Melayu kepada Islam, dengan kita kukuhkan semula keperibadian Melayu kepada jati diri keislaman, mereka bersatu padu menjadi umat yang mempunyai risalah, menjadi umat yang mempunyai agenda, maka mereka akan dapat keluar dengan selamat dari situasi yang mereka hadapi sekarang.


Soalan 2

S (Pengerusi Majlis) : Tapi ustaz, bila kita menyebut Melayu, kerap kali masyarakat mengaitkannya dengan istilah ketuanan Melayu, hak istimewa orang Melayu. Jadi, apabila ISMA meletakkan slogan ini sebagai gerak kerja dan agenda utama, Seolah-olah menafikan hak orang lain dalam masyarakat Malaysia di negara kita ini.

Pertama sekali saya hendak sebut di sini tentang istilah ketuanan Melayu itu sendiri. Istilah ini sebenarnya tidak mempunyai satu rujukan yang disepakati, berkaitan takrif dan definisinya, sehingga perbahasan dan pandangan mengenainya bercanggah-canggah antara satu pihak dengan pihak yang lain disebabkan definisi yang berbeza-beza. Bagi pihak ISMA, kita melihat isu ketuanan Melayu ini dari aspek yang tertentu.

Pertama sekali, isu ketuanan Melayu pada takrifan kita ialah berdasarkan fakta sejarah yang mana orang Melayu merupakan penduduk asal di tanahair ini. Orang Melayu adalah pemilik tanah ini. Orang Melayu adalah pewaris secara turun temurun daripada zaman sebelum Islam, sehingga selepas kebangkitan Rasulullah S.A.W. dan zaman Islam. Orang Melayulah merupakan penduduk asal di negara ini dan merekalah tuan yang berhak memiliki, memerintah, menentukan masa depan dan halatuju negara ini, secara fakta dan sejarah.

Melihat kepada aspek itu, maka maksud ketuanan di sini ialah siyadah, yang mempunyai hak untuk memimpin, menentukan arah tuju dan masa depan. Adapun sesetengah orang mentakrifkan ketuanan Melayu dengan makna bangsa yang mulia dari segi zuriat dan keturunan, ataupun darah dan warna kulit, itu bagi saya bukan yang kita fahami. Kefahaman sebegitu mungkin berlaku di Barat atau sejarah Arab lama.

Pada zaman silam ada orang bangga dengan bangsa. Contohnya zaman Nazi. Orang Yahudi bangga dengan darah dan keturunannya. Tetapi dalam sejarah Melayu, tidak timbul istilah ini. Tidak pernah berlaku dalam sejarah Melayu, dalam transkrip Melayu mengatakan bahawa darah Melayu ini daripada keturunan yang mulia, beraja dan menjadikan ia bangsa yang lebih mulia daripada bangsa yang lain. Itu tidak berlaku dalam sejarah Melayu.

Jadi, menghukum ketuanan Melayu dengan kefahaman begitu adalah silap, tidak merujuk kepada fakta dan sejarah. Tetapi yang menjadi sejarah dan fakta sebenarnya adalah orang Melayu merupakan pemimpin, pemilik tanah ini secara turun temurun yang telah memimpin rantau ini dengan Islam beratus tahun. Ini adalah fakta. Fakta sejarah juga menunjukkan kaum-kaum lain yang datang ke sini adalah kaum pendatang. Dalam konteks sejarah dan negara, kita dianggap sebagai masyarakat majmuk bermula pada tahun 1940. Itu merupakan tempoh yang sangat baru dalam sejarah.

Istilah ketuanan Melayu merujuk kepada fakta sejarah ini. Pertama, ketuanan Melayu dengan mafhum ini tidak bercanggah dengan Islam. Kedua, aspek hak asasi dan hak istimewa. Hak asasi dan hak istimewa ini adalah satu jaminan perlembagaan berasaskan kepada yang dipanggil affirmative action. Dalam konteks ketuanan Melayu, yang dikehendaki sebenarnya adalah lebih daripada itu lagi, iaitu kedudukan Melayu dan Islam dikembalikan lebih daripada apa yang ada pada hari ini. Bukan setakat mempertahankan saki baki apa yang ada, malah kita mahu memperjuangkan lebih daripada itu, iaitu memartabatkan lagi kedudukan Islam dan maruah umat Islam di negara ini.

Berbalik kepada soalan, adakah slogan ini mengancam hak orang lain? Tidak pernah berlaku dalam sejarah, kefahaman, ideologi, budaya, pemikiran, adab-adab orang Melayu dan ajaran Islam sebarang penindasan ataupun memandang rendah dan hina bangsa lain, sebagaimana ia tidak melihat keturunannya lebih mulia berbanding bangsa lain. Jadi tidak berlaku penindasan dengan mafhum itu atau dengan pandangan ideologi seperti itu.

Jadi, apabila kita menyebut ketuanan Melayu ataupun dalam istilah kita Melayu Sepakat Islam Berdaulat, kita tidak bermaksud untuk menafikan hak orang lain, bahkan menurut ajaran Islam, orang bukan Islam mempunyai hak kewarganegaraan yang sama dengan orang Islam. Mereka boleh hidup aman, mencari rezeki, boleh maju dan mendapat kejayaan. Sejarah membuktikan sampai hari ini pun, orang yang lebih kaya di Malaysia bukan orang Melayu. Orang yang lebih berjaya di Malaysia bukan orang Melayu. Jadi tiada dalam pemikiran orang Melayu untuk mengetepikan bangsa lain, memandang rendah ataupun menidakkan hak-hak orang lain. Jadi, itu semua adalah dakwaan yang tidak berasas dan tidak mempunyai bukti.

Soalan 3

S (Panel 1) : Mungkin maksud ketuanan Melayu, di situ ada bermaksud bahawa kekuasaan, pemerintahan mesti dipelihara oleh bangsa yang duduk di tanah tersebut, bagaimana pandangan ustaz ?

J: Bagi kita orang Islam, menganggap diri kita lebih berhak, lebih layak memimpin di bumi Malaysia ini, itu adalah pendirian yang sejajar dengan pandangan Islam. Islam diturunkan untuk menjadikan kita umat yang mengatasi umat lain dari segi kepimpinan. Kita memimpin bangsa lain kerana hidayah, rahmat dan Islam yang kita bawa.

Sebenarnya akidah dan pemahaman Islam menjadikan orang Islam merasa diri mulia, dilantik oleh Allah S.W.T. untuk menjadi pendakwah, pemimpin bangsa lain dan umat lain.

Jadi dalam konteks ini, menganggap diri kita sebagai orang Melayu yang beragama Islam sebagai pemimpin, peneraju dan bertanggungjawab membawa hidayah kepada bangsa-bangsa lain adalah suatu yang bertepatan dengan Islam. Ia merupakan satu matlamat, satu tujuan, satu pemikiran yang sangat mulia dan tidak bercanggah dengan mana-mana nilai ajaran ataupun konsep dalam Islam sendiri.


Soalan 4

S (Panel 1) : Adakah di sana hujah-hujah syarak yang menceritakan tentang dakwah ataupun usaha-usaha untuk menyatukan bangsa, dan pada masa yang sama perjuangan bangsa ini menunjukkan asabiyah yang dilarang oleh agama Islam, bagaimana pandangan ustaz ?

J: Sebelum itu, saya ingin menjelaskan di sini bahawa ISMA tidak meletakkan bangsa sebagai dasar perjuangan, sebalik ia adalah satu strategi dan pendekatan. Pendapat yang mengatakan bahawa bangsa sebagai dasar perjuangan adalah tidak tepat dengan konsep yang terkandung dalam “Melayu Sepakat Islam Berdaulat”. Dasar perjuangan kita adalah Islam, kita nak tegakkan dan daulatkan Islam.

Dalam sejarah Islam, bangsa tidak pernah dihapuskan, bahkan setiap bangsa memainkan peranan mereka untuk menegakkan Islam. Ini berlaku sejak zaman Rasulullah S.A.W. Pada zaman Rasulullah S.A.W., apabila baginda membawa risalah Islam, baginda tidak pernah menghapuskan bangsa. Dalam peristiwa Baiatul Aqabah, 12 naqib itu adalah mewakili setiap kumpulan bangsa mereka; sama ada daripada Aus ataupun Khazraj. Begitu juga peristiwa yang berlaku sewaktu pembukaan Kota Mekah. Apabila Rasulullah S.A.W. masuk ke Mekah, baginda meletakkan Abu Sufyan di pintu masuk Mekah dan tentera-tentera Islam yang bersama Rasulullah S.A.W. ini disusun mengikut kabilah masing-masing. Setiap tentera masuk ke Mekah mengikut kabilah masing-masing. Setiap kali satu pasukan tentera masuk, mereka lalu di hadapan Abu Sufyan, setiap kali itulah sahabat memberitahu kepada Abu Sufyan bahawa ini tentera daripada kabilah fulan bin fulan.

Banyak peristiwa yang berlaku dalam sejarah menunjukkan bahawa Islam tidak pernah menghapuskan bangsa, bahkan Allah S.W.T. menyebut dalam al-Quran:


"Kemudian Kami jadikan kamu berbangsa-bangsa dan bersuku-suku agar kamu saling mengenal"

(Surah al-Hujurat : ayat 13)

Ini ciptaan Allah S.W.T., tidak munasabah Allah akan menghapuskan bangsa. Apabila Allah mencipta bangsa, kaum atau kabilah, sudah tentu ada peranannya. Hubungan semulajadi sesama kaum itu sendiri merupakan satu kekuatan sepanjang sejarah politik Islam. Kalau kita baca sejarah politik Islam sebagaimana yang diterangkan oleh Ibnu Khaldun dalam kajiannya, beliau mengatakan bahawa asobiyahlah yang menjadi sumber kekuatan. Mana-mana kuasa politik yang muncul dalam sejarah adalah bermula dengan wujudnya asobiyah itu. Sebab itu Ibnu Khaldun, apabila dia menghurai syarat-syarat imamah, syarat-syarat seseorang yang ingin menjadi khalifah, disebut imam ini mesti daripada kalangan Quraisy (الأئمة من قريش )

Ibnu Khaldun menghurai hadith ini. Apa maksud hadith ini? Adakah Rasulullah S.A.W. kata begitu supaya kita ambil berkat? Oleh kerana dia keturunan nabi, keturunan orang mulia dan sebagainya, maka imam pun kena daripada Quraisy kerana berkatnya! Bukan! Bukan itu! Sebab itu Ibnu Khaldun membuat analisis dalam istilah usul. Saya hendak menyebut di sini sebab, mungkin orang kata Ibnu Khaldun ini mungkin betul dan mungkin tidak tentang istilah yang beliau pakai dan cara beliau mengeluarkan hukum. Kalau kita membaca dan selidik bagaimana Ibnu Khaldun menghurai hadith ini, dia menggunakan kaedah usul yang muktamad yang dipakai oleh semua ulamak untuk mencari sebab, apa rahsia Rasulullah S.A.W. menyebut (الأئمة من قريش )

Setelah melakukan kajian dan pemeriksaan, beliau dapati sebab yang paling munasabah sekali ialah kerana kuasa (syaukah), kerana dokongan yang wujud, yang memberikan kekuatan kepada mana-mana pemimpin untuk menjadi pemerintah, yang boleh memaksa sehingga kuasa pemenrintahannya itu ditaati oleh orang lain. Mana-mana pemerintah yang datang dan tidak ada kekuatan sokongan, maka arahannya tidak akan ditaati. Selain itu Ibnu Khaldun mengemukakan kajian sejarah. Kalau kita lihat dari muka surat pertama hingga ke muka surat 202 kitab “Mukaddimah Ibnu Khaldun”, beliau menghuraikan kedudukan asobiyah itu di dalam konteks pendekatan satu-satu kuasa.

Sebagaimana pemerintahan biasa perlu pada asobiyah, begitu juga pemerintahan Islam, sehingga Ibnu Khaldun menganggap asobiyah itu adalah sesuatu yang daruri dan tiada pilihan lain. Ia adalah sesuatu yang semula jadi. Ibnu Khaldun menjawab persoalan-persoalan yang ditimbulkan hadith-hadith yang lain yang mengatakan asobiyah itu sebagai jahiliyah, bercanggah dengan Islam dan sebagainya. Ibnu Khaldun menghuraikan hadith-hadith ini dan mencari penyelesaiannya. Beliau menserasikan antara hadith-hadith itu dengan begitu cantik sekali. Kesimpulannya ialah sebenarnya bila kita kumpul semua hadith-hadith dan nas-nas berkaitan dengan perkara tersebut, maka kita dapat faham bahawa hadith-hadith ataupun ayat-ayat yang melarang ataupun mengharamkan asobiyah itu tertumpu pada isu tujuan-tujuan asobiyah yang tidak baik, iaitu ke arah menegakkan kezaliman ataupun kebatilan, merampas hak orang lain ataupun berpegang kepada suatu puak, satu benda, satu perkara, satu pendapat dengan cara yang membabi buta.

Jadi, bila kita jelas konsep hadith tersebut, kita dapat menserasikan antara hadith-hadith dan ayat-ayat dan kita dapati kesimpulannya adalah bahawa asobiyah ini sesuatu yang tidak boleh ditolak dalam kerangka kita untuk menegakkan agama Allah S.W.T. Jadi, dalam konteks Malaysia, kalau kita hendak tegakkan agama, hendak tegakkan Islam, daulah Islam, ia mestilah disokong oleh satu bangsa yang kuat supaya bila kita mengisytiharkan bahawa kita hendak melaksanakan Islam dan sebagainya, pengisytiharan itu tidak boleh dicabar oleh orang lain, oleh sesiapapun. Jadi itu adalah sesuatu yang diperlukan dan menepati kehendak-kehendak syariah dan dalil-dalil yang wujud dalam nas-nas, transkrip-transkrip yang wujud dalam khazanah fikh Islam itu sendiri.


Soalan 5

S (Panel 1) : Slogan Ikatan Muslimin yang mendahulukan bangsa. Kenapa didahulukan bangsa? Sedangkan kita muslimin melihat pada namanya “Ikatan Muslimin” mendahulukan Islam. Bukankah itu akan menyebabkan kekeliruan sepatutnya bagi masyarakat umum. “Melayu Sepakat Islam Berdaulat”, atau sepatutnya mungkin “Muslim Sepakat,Melayu Berdaulat”.

J: Sebenarnya slogan itu berkait dengan realiti setempat Malaysia, slogan itu khusus di Malaysia kerana kita bercakap tentang negara kita, bercakap tentang situasi di Malaysia.

Kalau kita sebut di Malaysia ini, Muslim Sepakat, muslim itu boleh dirujuk kepada Arab, boleh dirujuk kepada Turki, boleh dirujuk kepada Iran, boleh dirujuk kepada sesiapa sahaja. Jadi kita bukan khayal, kita bercakap daripada realiti, idea kita daripada realiti, yang perlu sepakat di Malaysia ini ialah orang Melayu kerana orang Melayulah tonggak kuasa Islam di sini di sepanjang sejarah, semenjak dahulu kala.

Jadi, tidak timbul kita nak sebut Islam Sepakat. Kita hendak merujuk kepada siapa? Bilangan India yang muslim pun tidak besar dan bilangan Cina yang muslim pun tidak besar dan tidak boleh menjadi tonggak dalam soal atau perkiraan menegakkan risalah Islam dan sebagainya.

Soalan 6

S (Panel 2) : Isma nampaknya meletakkan Melayu sebagai tonggak untuk menegakkan Islam. Tapi kita lihat sekarang ini Melayu dari sudut nilainya, dari sudut mempraktikkan Islam kadang-kadang jauh lebih ketinggalan daripada bangsa yang lain, maksud saya di sini ialah orang Melayu sendiri ada yang korup, ada yang bermasalah sosial dan seumpamanya, sementara bangsa lain yang bukan Melayu mendahului dari sudut cekap, amanah, kurang masalah sosial. Jadi adakah ISMA meletakkan harapan kepada bangsa Melayu untuk menegakkan Islam?. Tapi bezanya, yang bukan Melayu ini dia tidak Islam dari sudut akidah. Jadi mohon pandangan ustaz?

J: Pertama sekali kita kena faham Islam adalah agama akidah, agama ibadah, agama akhlak dan agama hukum. Jadi, apabila kita faham Islam ini dengan maksud yang begitu, kita tidak keliru dengan istilah Islam siyasi, Islam politik. Kadang-kadang apabila orang mengamalkan sesuatu amalan, kita mungkin menemui kesamaan dari segi politik Islam dan bukan Islam dari aspek tertentu, tetapi itu tidak bermakna bukan Islam itu menjadi Islam. Firman Allah:

177. bukanlah perkara kebajikan itu hanya kamu menghadapkan muka ke pihak timur

(Surah al-Baqarah ; ayat 177)

Kita tidak boleh menganggap kalau Cina bersih, maka bersihnya sama dengan Melayu. Ataupun Cina lebih baik daripada Melayu kerana Melayu tidak bersih. Islam adalah agama akidah, agama akhlak, agama ibadah, agama hukum, jadi tidak boleh melihat Islam dari segi hukum ataupun muamalat umum sahaja. Maknanya jika ada orang lain lebih bersih ataupun lebih jujur ataupun sebagainya, maka kita pun menganggapnya lebih Islam berbanding orang Melayu, sedangkan dia tidak mengucap dua kalimah syahadah. Dia tidak sembah Allah S.W.T., dia tidak sembahyang, dia tidak puasa. Mungkin ada sesetengah etika itu wujud kebaikan pada mana-mana bangsa, itu tidak dinafikan. Di Barat pun mungkin ada nilai yang lebih baik lagi, tetapi itu tidak menjadikan Barat itu Islam lalu kita menganggap Barat itu lebih baik daripada orang yang mengucap dua kalimah syahadah. Itu satu poin yang penting kita faham dalam konteks itu.

Yang kedua lebih penting daripada itu, kita tidak boleh putus asa dengan orang Melayu, bangsa kita. Fakta yang kita sebutkan itu rasanya tidak begitu tepat walaupun akhbar mengemukakan banyak cerita tentang keburukan dan sebagainya. Sebenarnya golongan bermasalah ini bukan majoriti, bukan semua, bukan sampai 90 atau 80 peratus orang Melayu jadi begitu. Tetapi dalam konteks peratusan kaum-kaum yang terlibat sudah tentulah orang Melayu yang lebih tinggi kerana bilangan orang Melayu lebih besar secara keseluruhannya yang menyebabkan peratus akan naik lebih tinggi.

Tetapi dalam konteks orang Melayu keseluruhan, adakah orang Melayu keseluruhannya menjadi korup ataupun keseluruhannya mencuri? Sebahagian kecil sahaja daripada orang Melayu itu mencuri dan sebagainya, tapi asas pegangan orang Melayu, pegangan mereka pada agama dan sebagainya, asas agama dalam keperibadian orang Melayu masih kuat. Takkan kita nak mengharap orang Cina yang esok akan masuk Islam untuk dia tegakkan Islam. Kita harapkan, moga-moga dia masuk Islam, moga-moga orang masuk Islam dan dialah akan jadi asas dalam projek Islam kita. Itu tidak munasabah.

Sedangkan orang Melayu dah masuk Islam turun temurun, namanya, bahasanya, sembahyangnya, puasanya, adatnya, akhlaknya, tutur katanya semua dah Islam. Cuma sedikit sebanyak berlaku penyelewengan dalam kehidupan masyarakat, itu benda biasa, tiada atas dunia, tiada satu zaman pun tiada benda itu! Zaman khalifah-khalifah selepas Rasulullah dulu pun ada orang mencuri, ada khurafat, merompak ada macam-macam cerita.

Jadi apa yang diceritakan tidaklah istimewa lebih daripada apa yang berlaku pada zaman dahulu hatta zaman khalifah pun. Berlaku benda yang sama, penyelewengan yang sama, penyelewengan dari segi akhlak, keruntuhan akhlak dan sebagainya. Jadi, ia tidak membayangkan bahawa orang Melayu dah tidak sesuai lagi, tidak layak lagi untuk memikul tanggungjawab itu. Ini semua adalah kehendak musuh.

Ini poin ketiga yang saya hendak sebut di sini, sebenarnya perancangan musuh ialah untuk menghilangkan keyakinan diri dalam kalangan orang Melayu supaya orang Melayu merasa dia sudah tidak sesuai, jadi dengan itu dia tidak mahu lagi ataupun tidak rasa layak lagi untuk memikul tanggungjawab. Jadi dengan itu siapa yang untung? Yang akan untung ialah musuh Allah, bukan orang Islam. Jadi orang Islam, harakah Islamiah, pendakwah Islam tidak sepatutnya memberi saham yang sama ke arah meruntuhkan keyakinan diri dalam kalangan orang Islam.


Soalan 7

S (Panel 2) : Saudara presiden, di mana ISMA meletakkan kedudukan bangsa lain dalam perancangan mereka sebab tadi ustaz sebutkan yang mana tonggaknya Melayu dan bangsa lain tidak diletakkan sebagai rancangan strategi utama, jadi dekat mana bangsa lain, adakah dipinggirkan atau macam mana?

Kita selalu sebut mana-mana bangsa dalam konteks dunia ini tanpa ada kaitan dengan agama, walaupun setelah bangsa itu mengucap dua kalimah syahadah. Tiada dalam sejarah begitu. Oleh itu kita tidak sebut bangsa Islam kepada bangsa Cina atau India. Kecuali Melayu, sebab ia fakta sejarah. Itu bukti!

Jadi sebab itu, kadang-kadang kita sebut bangsa Melayu itu bangsa Islam. Itu tidak boleh dipertikaikan oleh sesiapa. Tetapi yang lain, penduduk-penduduk bangsa lain yang masuk Islam, kita tidak kata bangsa dia bangsa Islam. Tetapi dia menjadi sebahagian daripada umat Islam bila mana-mana bangsa masuk Islam daripada bangsa Cina ke, India ke, dia menjadi sebahagian daripada umat Islam. Kalau dia baik dan dia menerima hak dan kelayakan yang sama, ia boleh menjadi pemimpin dan sebagainya. Tapi dari segi faktanya tidak munasabahlah kalau dia nak jadi pemimpin orang Melayu.

Tidak mungkin orang Cina yang ada 20 ribu ataupun 200 ribu yang memeluk Islam ini akan akhirnya menjadi pemimpin kepada orang Melayu yang bilangannya belasan juta. Jadi itu suatu yang tidak munasabah, tapi mereka sebahagian daripada umat Islam, haknya sama, boleh nikah, boleh kahwin, semua sekali dan boleh berlaku di sana percampuran yang penuh dan hak yang sama di antara orang Melayu dan bukan Melayu.

Jadi tidak timbul soal kita menafikan orang bukan Melayu, orang Islam yang bukan Melayu dalam hal ini, bahkan dalam perlembagaan Malaysia meletakkan orang Melayu itu orang mengucap dua kalimah syahadah, bercakap bahasa Melayu, mengamalkan adat istiadat Melayu dan sebagainya. Jadi, sebenarnya boleh berlaku dalam sejarah transformasi bangsa. Bila orang Melayu berkahwin dengan orang Cina, jadi bangsa apa? Dahulu setiap bangsa merujuk kepada keturunan, tetapi dalam perlembagaan kita sekarang, di samping keturunan, orang Melayu juga boleh dihasilkan dengan cara dia menganut Islam, dia bercakap Melayu, dia mengamalkan adat istiadat Melayu. Maknanya itu fasa baru, maknanya berlaku percampuran orang Melayu dengan cara kahwin dengan India, orang Melayu kahwin dengan Cina dan sebagainya. Ini berlaku macam sesetengah daripada kita ini bukannya asli Melayu pun, ada datuk neneknya Cina, ada datuk neneknya India.

Tapi hari ini semua orang terima Melayu, ada pemimpin kita pun kalau kita susun-susun yang kuat Melayu pun, asal daripada mamak atau daripada mana-mana. Jadi isu Melayu bersatu, bersama dalam satu bangsa, satu masyarakat, satu komuniti itu telah berlaku dalam sejarah dan begitu juga telah berlaku dalam sejarah Malaysia. Jadi perlembagaan Malaysia itu adalah satu bukti yang sangat jelas, nyata bahawa transformasi bangsa ini boleh berlaku dalam konteks negara kita Malaysia.


Soalan 8

S (Panel 3) : Ustaz, berkenaan dengan agenda “Melayu Sepakat Islam Berdaulat” ini bagi saya sendiri sebenarnya sejak dulu lagi saya merasakan agenda ini cukup serasi dengan saya cumanya kenapa baru sekarang dia dibincangkan secara terbuka, mengapa tidak dari dulu lagi sehinggakan kalau dilihatkan sekarang seolah-olah tidak ada tapisan langsung. Minta ustaz jelaskan?

J: Yang pertama sekali, ini ijtihad kita. Kita mengenal pasti bahawa Melayu ini, apabila kita melihat daripada sehari ke sehari, semakin hari semakin hilang haluan ataupun dalam bahasa Arab sebagai musaiyasah, maknanya tunduk kepada perencanaan orang lain, tidak punya agenda sendiri. Perasaan terancam ini dikongsi oleh semua orang Melayu, sama ada dinyata jelas ataupun tidak dinyatakan, dalam mana-mana parti pun, sehinggakan saya pun pernah sebutkan istilahnya berlaku gelombang bawah arus. Kalau kita sembang kedai kopi dan sebagainya, memang wujud rasa terancam daripada suasana ini.

Jadi, slogan Melayu Sepakat Islam berdaulat ini adalah datang daripada hakikat dalaman yang berteras pada jatidiri dan keperibadian Melayu itu sendiri. Maknanya kita bongkar benda ini dari dalam perasaan dalaman hati seorang Melayu muslim yang wujud di Malaysia ini. Jadi perasaan itu sebenarnya bukan benda baru, benda itu benda yang lama, cuma kita munculkan sekarang. Kerana apa? Kerana perasaan terancam itu semakin tinggi, semakin kuat.

Bila perasaan itu semakin kuat, maka benda itu keluar dan kita menyambut perasaan ini, perasaan yang datang daripada seluruh orang Melayu ini, dan kita simpulkan dengan memberi slogan kepadanya, kita yang memberi slogan kepada perasaan itu. Jadi bila kita berkata Melayu Sepakat Islam Berdaulat sekarang, pada hakikatnya dia adalah merupakan kesedaran dalaman yang mungkin terpendam, mungkin malap oleh kerana rasa leka, rasa lalai, rasa selesai dan sebagainya. Tapi apabila keadaan menjadi tidak selesa, keadaan merasa tercabar maka benda itu timbul balik dan diungkapkan. Cuma mungkin banyak pihak tidak tidak dapat memperkatakan apa yang kita kata, walaupun dalaman dia merasai apa yang kita rasa, disebabkan faktor-faktor politik, situasi kumpulan dan persekitaran masing-masing.

Secara dalaman, semua pihak rasa benda yang sama. Tapi dia tidak boleh nak cakap sebab dia terikat dengan perjanjian dengan badan-badan lain, tidak kira mana-mana pihak. Dia tidak boleh nak cakap sebab nanti orang kata dia rasis, orang kata dia tidak betul, jadi semua orang tidak boleh nak cakap. Bukan dia tidak mengiktiraf, dia tidak boleh cakap saja sebab dia terikat dengan dasar-dasar. Oleh kerana ISMA adalah satu NGO yang bebas, yang non-partisan, yang tidak terlibat dengan politik, tidak memihak kepada mana-mana, jadi kita rasa kita mempunyai peluang lebih besar untuk memperkatakan ataupun menerajui isu ini. Jadi itu peluang yang Allah S.W.T. bagi kepada kita (ISMA) dengan reka bentuk kita yang ada ini, dengan dasar kita ini, kita boleh membawa isu ini sesuai dengan cabaran yang kita hadapi sekarang ini.



Soalan 9

S (Panel 3) : Saya tetap merasakan di luar sana resah gelisah apabila ISMA membawa slogan ini “Melayu Sepakat Islam Berdaulat” ini memang seolah-olah mempunyai agenda politik. Jadi bagaimana pandangan ustaz?

J: Isu agenda politik kita, sebenarnya ISMA tidak mempunyai agenda politik dengan erti kata kita mahukan sesuatu. Apa yang kita sebutkan di sini, agenda yang kita utarakan di sini adalah agenda umat Melayu, agenda orang Melayu, bukan agenda ISMA. Jadi itu bukan agenda politik ISMA tapi agenda orang Melayu keseluruhannya.

Kita menyeru orang Melayu supaya bangkit kembali kepada jati diri mereka, memainkan peranan mereka yang asal, memimpin Islam di rantau ini. Jadi itu bukan agenda tersembunyi ISMA, itu agenda yang sepatutnya dipikul oleh umat keseluruhannya, orang Melayu khususnya. Itulah agendanya, jadi ini bukan secret agenda ISMA.

Soalan 10

S (Pengerusi Majlis) : Maknanya kita mengemukakan suatu yang nyata kepada masyarakat dan ini bukanlah suatu yang tersembunyi yang seolah-olah macam ada udang di sebalik batu ataupun ada agenda-agenda lain selepas ini. Maknanya dari awal lagi ISMA bahawa ini adalah agenda bangsa yang perlu diketengahkan yang mana tidak ada agenda terselindung dan mana-mana NGO, parti ataupun masyarakat yang sepakat dengan agenda ini maka mereka boleh bersama dengan ISMA untuk memperjuangkannya.

J: Bahkan kita yakin pada suatu masa nanti, apabila keadaan atau suasana politik berubah, semua pihak akan kembali kepada hakikatnya kerana ini adalah hakikat semula jadi yang berasaskan pada fitrah, berasaskan pada landasan sejarah yang saya sebutkan tadi. Cuma saya nak sebutkan sikit di sini ialah apa yang dinamakan politik dalam konteks perjuangan ISMA. ISMA tidak terlibat dalam politik kepartian tetapi itu bukan bermakna ISMA tidak faham apa yang berlaku di dalam realiti. ISMA bukan tidak faham percaturan yang berlaku. ISMA faham semua itu, tetapi mengambil pendirian yang memihak kepada kepentingan umum, bukan kepentingan blok-blok atau kumpulan ini ataupun kumpulan itu.

Jadi kita tidak terikat dengan blok-blok politik. Kita menyatakan pendirian, pandangan berasaskan kepentingan umat keseluruhan. Kalau itu dikatakan politik, maka politiklah. Tapi bagi kita, itu adalah daripada intipati Islam itu sendiri dan tidak bercanggah dengan konsep ISMA sebagai non-partisan.

Soalan 11

S (Pengerusi Majlis) : Dan Isma yakin bahawa agenda ini akan dapat mengembalikan kecemerlangan Islam di Malaysia ini tanpa apa bangsa pun yang berada di dalam negara kita? Kalau kita lihat kepada yang ustaz cakapkan tadi, ustaz melihat kepada bagaimana hendak mendaulatkan Islam melalui pendekatan yang ustaz gagaskan melalui Ikatan muslimin. Kita refer balik kepada sejarah yang pernah berlaku pada zaman Rasulullah s.a.w iaitu macamana ustaz kata tadi, bangsa Quraisy adalah pemimpin. Bagaimana dalam konteks ini dari segi syariah yang menggagaskan bangsa Melayu ini mesti memimpin dan sesuai dengan kehendak Islam. Maksud saya di sini supaya masyarakat jelas bahawa ini mesti ada satu tuntutan syariah juga bahawa bangsa Melayu mempertahankannya dan mendaulatkan bangsanya untuk menegakkan Islam.

J: Kalau kita balik kepada firman Allah S.W.T. dengan jelas Dia kata

9. Dia lah Yang telah mengutus RasulNya (Muhammad s.a.w) Dengan membawa hidayah petunjuk dan ugama Yang benar (ugama Islam), supaya ia memenangkannya dan meninggikannya atas Segala agama

(surah As-Saff : Ayat 9)

Allah S.W.T. yang utuskan rasul-Nya dengan petunjuk dan agama yang benar, untuk Dia menzahirkannya, menjadikan agama Islam ini mengatasi segala agama yang lain. Itu mesej yang cukup jelas. Kedatangan Islam ialah untuk menjadi penyudah kepada agama lain, penyudah kepada ajaran-ajaran syariat sebelum ini. Jadi bila datang Islam, maka Islamlah yang sepatutnya yang menjadi peneraju, Islamlah yang memimpin. Jadi Islam ini dia memimpin macam mana? Islam tidak boleh pimpin dia sendiri, dia hanyalah kalimah-kalimah dalam Quran dan hadith.

Tapi untuk menjadikan Islam itu pemimpin, dia mestilah dianuti oleh satu kumpulan umat, satu bangsa. Islam memimpin dengan cara dia dianuti dan didokongi oleh satu umat, satu bangsa yang beriman kepada Islam. Dengan cara itu barulah Islam itu boleh ditegakkan. Ini semula jadi. Ini mafhum yang sangat simple, yang sangat asas kalau kita faham tabiat agama Islam itu sendiri. Islam tidak datang dan tidak tertegak sendiri, bahkan dia tertegak melalui terbentuknya satu umat yang beriman dengan Islam, yang berjuang dengan Islam dan sanggup berkorban untuk Islam sendiri. Lihat jaminan Allah S.W.T. dalam Quran :

9. Sesungguhnya Kamilah Yang menurunkan Al-Quran, dan Kamilah Yang memelihara dan menjaganya.

(Surah Al-Hijr : Ayat 9)

Jadi, dalam al-Quran, dalam Islam sendiri, ada anti body, tidak sama dengan ideologi-ideologi lain. Seorang ulama` sosial mengatakan bahawa semua ideologi yang dibawa oleh manusia terdapat di dalamnya bakteria yang akan memusnahkan diri sendiri macam tubuh kita. Tubuh kita ini sampai satu tahap, kita mati. Kita akan dimakan ulat. Tapi tidak untuk Islam. Islam akan berterusan. Islam ada anti body sampai akhir zaman, dia tidak akan musnah. Tidak akan ada suatu benda yang boleh merosakkannya sebab dia dipelihara oleh Allah S.W.T. Sebab itu kita lihat pada akhir zaman, Kristian bukan lagi menjadi agama yang diamalkan oleh manusia hatta orang Kristian sendiri. Kristian hanya diamalkan oleh paderi. Budha hanya diamalkan oleh Tok Raja dan Tok Sami dan begitu juga agama lain, mereka hanya diamalkan oleh satu kumpulan yang dipanggil Rijaludin (orang agama).

Dalam Islam tiada istilah orang agama. Islam adalah agama yang diamalkan oleh semua umatnya. Tetapi agama lain tidak boleh diamalkan tanpa orang agama. Sebab itu, sebenarnya agama-agama lain sudah habis tempoh sah lakunya. Kalau kita pergi ke wat-wat Budha, Siam, Gereja, atau kalau pergi ke Eropah atau London atau ke mana-mana, semua gereja-gereja tidak lagi dimakmurkan dan sesetengahnya bertukar menjadi masjid. Dibeli dan dijadikan masjid. Jadi maknanya di situ, Islam adalah agama yang memimpin, Islam adalah agama yang tidak boleh diatasi oleh agama-agama lain. Jadi tidak ada lagi persaingan dari sudut itu.

Adapun mereka, Barat menggunakan kaedah kristianisasi. Isu kristianisasi yang dibawa, seolah-olah diperjuangkan di Malaysia, juga bertujuan untuk masing-masing memperjuangkan dan mempertahankan agama mereka. Sebenarnya dalam konteks kristianisasi ini, apa yang dimaksudkan dengan kristianisasi itu sendiri bukanlah untuk memasukkan orang ke dalam agama kristian, tetapi objektif mereka yang asas ialah untuk mengeluarkan orang daripada Islam. Cukup orang itu dah tidak jadi Islam ataupun tidak berpegang kepada Islam, sudah cukup, kemudian nak jadi apa-apapun, tidak ada agama ke, apa aku kisah!

Jadi sebenarnya kristianisasi ini bukan agenda agama, sebaliknya ia adalah satu usaha penjajahan dan mereka mahu terus menguasai negara kita dan masyarakat kita dengan berbagai-bagai cara dan agenda. Salah satunya ialah gerakan kristianisasi, iaitu untuk mengeluarkan orang Islam daripada agamanya supaya tidak lagi berpegang teguh kepada ajaran Islam. Apabila orang Islam tidak lagi berpegang teguh kepada agama mereka, maka mudahlah mereka dijajah dan dikuasai oleh kuasa-kuasa asing.


Soalan 12

S (Panel 1) : Ustaz, slogan “Melayu Sepakat Islam Berdaulat” dilihat sama dengan slogan menegakkan konsep ketuanan Melayu Islam yang mana ramai pihak termasuk kalangan Melayu sendiri melihat ia sudah tidak lagi relevan dalam konteks masyarakat majmuk negara ini khususnya. Mengapa ISMA terus menongkah arus?

J: Yang pertama sekali, saya mengakui dari satu sudut bahawa slogan ini menongkah arus ataupun seumpamanya. Ini kerana secara mudah difahami bahawa dunia ini didominasi dengan agenda asing, didominasi oleh pengaruh globalisasi. Jadi pemikiran masyarakat kita sudah diwarnai, dibentuk oleh agenda-agenda asing umpamanya liberalisasi, agenda normalisasi, pluralisma dan sebagainya, yang dibawa dan dipasarkan sehingga pemikiran masyarakat kita sudah hampir-hampir cair dan terhakis.

Seterusnya agenda asing ini disokong, didokong oleh NGO-NGO di dalam negara pula, mempromosikannya sehingga mereka dapat menghapuskan keperibadian dan jatidiri. Sebab itu kita melihat isu ini agak mendasar ataupun agak tidak selari dengan perkembangan semasa, sebab orang sibuk dengan isu politik, isu-isu semasa dan sebagainya. Tetapi kita menganggap bahawa perjuangan membangunkan dan mempertahankan jatidiri adalah medan pertempuran yang sebenar. Sebab musuh Islam sebenarnya menyerang keperibadian, musuh Islam mahu menghancurkan jatidiri dan keperibadian. Senjata mereka seluruhnya digunakan untuk merosakkan keperibadian dan jatidiri.

Jadi, pertempuran sebenar ialah pada mempertahankan jatidiri, apabila kita bangkit dengan perjuangan mempertahankan, membangunkan keperibadian dan jatidiri bermakna kita berdepan secara langsung dengan perancangan musuh yang tidak disedari oleh banyak orang. Maknanya globalisasi secara keseluruhannya menyerang keperibadian dan jatidiri, mereka mahu merosakkan jatidiri kita.

Mereka telah menguasai dari segi teknologi, angkasa, semua dikuasai oleh mereka. Ketenteraan dikuasai oleh mereka, laut, politik, ekonomi, semua dunia Islam telah dikuasai. Semua aspek telah dikuasai oleh mereka dan hanya tinggal lagi ialah keperibadian dan jati diri sahaja, ini benteng terakhir. Kalau keperibadian dan jati diri ini akhirnya runtuh, berjaya diruntuhkan oleh mereka, maka tidak ada apa lagi perjuangan yang boleh disebut, tidak akan ada lagi kebangkitan dan perjuangan yang boleh disebut.

Jadi, hari ini kalau kita hendak berjuang, maka sebenarnya kita berjuang di medan yang betul. Ini tidak menafikan peranan yang dimainkan oleh orang lain. Maknanya orang yang berjuang di bidang politik kita terima, bidang ilmu kita terima, bidang-bidang ekonomi dan sebagainya pun kita terima, kita sokong bahkan kita mengharap ia menyumbang kepada objektif yang sama.

Tetapi ISMA mengambil kedudukan ini, untuk pertembungan ini, sebab kita faham, kita yakin, bahawa walaupun kita ada banyak kerusi dalam parlimen umpamanya, tapi apabila pemikiran kita rosak, jati diri kita rosak, generasi akan datang kita rosak, maka kerusi tidak memberi makna apa-apa pun. Hari ini pun, bukan tidak banyak kerusi kita ada, bukan tak banyak tokoh kita ada, tapi apa yang menjadi kurang kepada kita ialah kefahaman, pegangan, jati diri kita, pegangan keperibadian kita yang asal.


Soalan 13

S (Panel 3) : Sepertimana yang telah dijelaskan ustaz pada awal tadi, bahawa fokus ISMA adalah untuk mempertingkatkan pertahanan jati diri, maka kalau kita lihat di sini tidakkah fokus itu harus diberi kepada masalah keruntuhan moral, masalah masyarakat Melayu itu sendiri, masyarakat Melayu mempunyai terlalu banyak masalah. Mungkin hal ini lebih relevan untuk ISMA selesaikan buat masa ini.

J: Isu-isu ataupun gejala sosial yang disebut-sebutkan menjadi masalah orang Melayu pada kita, kita menganggap bahawa itu adalah simptom, itu bukan masalah. Itu adalah simptom masalah. Daripada mana datangnya masalah ini? Simptom ini datang daripada apa yang saya sebutkan tadi, iaitu rosak dan musnahnya keperibadian itu sendiri. Apabila jati diri itu tidak ada, maka dia mudah dihinggapi virus dan mudah dihinggapi bakteria dan mudah dijangkiti penyakit. Sebab apa kita mudah dijangkiti penyakit? Sebab tidak ada kekuatan dalaman, kekuatan jati diri dan kekuatan keperibadian yang sepatutnya kita miliki. Jadi kita memilih untuk merawat penyakit, bukan merawat simptom penyakit, itu pendekatan kita.

Betul dan kita terima serta mengakui bahawa usaha merawat simptom-simptom pun penting. Semua NGO yang buat benda itu pun penting dan ISMA pun akan menyumbang untuk melakukan benda yang sama apabila kita ada kemampuan, kita ada kebolehan. Kita buat benda yang sama yang menyumbang ke arah mengurangkan simptom-simptom itu tetapi penyakit sebenar yang dihadapi, yang patut dirawat ialah masalah keperibadian dan jati diri. Kalau kita berjaya membangunkan semula keperibadian dan jati diri ini, secara automatik masalah-masalah sosial, gejala-gejala sosial, penyelewengan dan sebagainya tidak akan wujud dan tidak akan berlaku.

Soalan 14

S (Panel 3) : Kalau begitulah daripada apa yang ustaz nyatakan, kita dapat merasakan bahawa ISMA cukup yakin untuk melangkah dengan agenda ini. Bagaimana pula penerimaan agenda ini apabila dinyatakan secara terbuka ataupun mungkin sudahkah ISMA mengenalpasti siapakah mungkin yang berganding bahu bersama ISMA untuk memperjuangkan agenda ini.

J: Kalau kita perhatikan di situ, dalam slogan kita Melayu Sepakat Islam Berdaulat ini sebenarnya, dia akan menjadikan ISMA ini mesra Melayu dan ISMA mesra Islam dan selalu kita sebutkan ISMA akan mendamaikan hubungan antara Melayu dengan Islam. Jadi sebenarnya agenda ini adalah agenda yang layak mendapat sokongan, sesuai mendapat sokongan daripada sesiapa sahaja dan kita sendiri dengan pendirian kita begitu, kita tidak membina konfrontasi dengan mana-mana pihak. Maknanya orang kata orang Melayu, puak-puak Melayu tidak boleh pergi dengan ISMA. Tidak! Kita mesra Melayu. Ini puak-puak Islam tidak boleh pergi dengan ISMA. Tidak, golongan Islamis boleh pergi dengan ISMA, sebab ISMA juga membawa agenda Islam.

Jadi sebenarnya semua pihak sepatutnya boleh menerima dan bersama dengan agenda yang dibawa oleh ISMA. Jadi kita tidak nampak perkara ini akan menjadi bertentangan bahkan sebaliknya kita akan menyaksikan bahawa semua pihak akan berlumba-lumba untuk memenuhi ataupun untuk mengambil peranan dalam hal ini sebab tidak ada satu pun badan politik atau NGO yang boleh survive pada masa akan datang jika sekiranya dia mengabaikan aspek ini. Cakaplah mana pihak sekalipun, kalau dia tidak mengambil kira Islam, dia terkeluar. Kalau dia tidak mengambil kira Melayu, dia pun terkeluar (daripada persaingan).

Sebab itu bila kita bawa gabungan antara Melayu dengan Islam maka ia adalah suatu kekuatan yang akan menjadi sumber kepada sesiapa saja yang ingin berjuang. Maknanya, sesiapa yang peka dan faham perjuangannya yang sebenar, dia akan kembali kepada dasar kita. Sebab itu saya hendak balik sikit kepada soalan yang menongkah arus tadi, sebenarnya tidak! Pada hakikatnya nanti apabila jelas fikrah kita, apabila jelas pandangan kita, apabila kita dapat jelaskan pada masyarakat, maka akan berlaku satu perubahan besar, kerana semua orang akan merujuk kepada isu yang sama.

Sekarang ini tiada siapa berani kalau kita perhatikan dalam perkembangan semasa. Ada satu pihak yang mahu pergi jauh, sampai satu tahap dia sedarkan diri, dia patah balik semula. Kita akan perhatikan benda itu sebab isu yang kita bawa ini adalah isu paksi. Sebab itu ISMA cukup yakin, apabila kita betul-betul dapat bawa ataupun ketengahkan projek, agenda ini, maka kita akan menjadi badan yang menjadi paksi kepada isu perjuangan yang dibawa oleh mana-mana tokoh atau badan-badan lain.

Soalan 15

S (Panel 2) : Dalam konteks bangsa Melayu memerintah ataupun kukuh kedudukannya di Malaysia. Dia memerlukan kekuatan yang lebih, maknanya dari sudut ekonomi, dari sudut selain daripada politik. Sekarang ini Melayu Sepakat Islam Berdaulat lebih kepada penyatuan dan dari sudut politik. Tapi sekarang ini yang menguatkan negara Malaysia sendiri, menyumbang ke arah ekonomi, sumbangan tenaga kerja cendikiawan dan seumpamanya tidak semestinya orang Melayu, tidak kurang juga daripada bangsa lain. Jadi bagaimana nak letak agenda ISMA dengan bangsa lain ini.

J: Di sini sebenarnya, kita menemui formula ini setelah kita menganalisa dasar-dasar ataupun cara perjuangan yang telah dilalui oleh badan-badan lain sebelum daripada ini. Contohnya satu pihak yang mengatakan bahawa oleh kerana negara ini negara kita, politik sudah berada di tangan kita, jadi perjuangan kita hanya perlu tumpu kepada ekonomi sahaja. Lalu ditumpunya ekonomi. Pada akhirnya, kita lihat natijah terbalik kerana mereka pada asalnya tidak mengambil kira aspek keperibadian. Sebenarnya keperibadian inilah yang menjadi asas kepada semua projek, semua kejayaan di semua bidang.

Kalau kita hendak berjaya dalam politik kita kena ada keperibadian yang baik, nak berjaya dalam ekonomi kena ada keperibadian yang baik, nak berjaya dalam pendidikan kena ada keperibadian yang baik, tanpa keperibadian yang baik ini, semua projek tidak akan berjaya. Jadi ini satu formula yang sepatutnya badan-badan yang sedia ada di medan merujuk balik perjuangan mereka, memperbetulkan perjuangan mereka. Kita tidak boleh berjaya dalam perjuangan ini tanpa kita kembali kepada memperbetulkan keperibadian dan jati diri. Maknanya kita boleh bercakap tentang isu-isu itu semua tetapi kita tidak boleh memastikan kejayaan kalau kita tidak sebenar-benar kembali kepada apa yang saya sebutkan tadi.

Kita memang nak berkongsi dengan orang lain, tidak dinafikan itu tidak ada masalah, berkongsi dalam membangunkan negara dengan orang lain. Tetapi kalau kita kekal dalam keadaan yang kita ada, dengan imej yang kita ada, dengan kelemahan yang kita ada, kegagalan yang kita ada, sampai bila-bila pun kita tidak boleh. Bahkan kalau kita melihat kepada kemungkinan tahun 2020 umpamanya, kita masih risau dengan kedudukan orang Melayu. Adakah tahun 2020 akan meletakkan orang Melayu kepada statusnya yang betul?

Jadi soal nak mengiktiraf orang lain dan sebagainya itu soal mudah, soal simple, kita boleh iktiraf sesiapa yang memberi sumbangan, tidak ada masalah. Tapi soal paling penting pada kita ialah di mana kita? Virus yang ada dalam pemikiran orang Melayu ialah dia fikir lebih tentang orang lain, selalu fikir orang lain. Kita fikir untuk dia, dia fikir orang lain dahulu. Macam mana Cina? Macam mana India? Ini virus! Kita kena fikir diri kita dahulu, kita di mana? Kita dah sampai di mana? Bolehkah kita bangkit? Dan sebagainya?

Soalan 16

S (Panel 2) : Maksud ustaz tidak perlu memikirkan tentang bangsa lain atau bagaimana?

J: Orang lain dia fikir hal dia. Cina sudah cukup. Dia punya kebolehan untuk bangun dan dah bangun pun. India dah cukup kebolehan untuk dia bangun, tidak perlu orang Melayu untuk fikir nak bangunkan diri dia. Bimbangkan orang Cina, orang Cina dah maju. Orang India dah maju. Apabila kita ajak memikirkan tentang orang Melayu, kenapa orang Melayu fikir dan berkata, “macam mana orang Cina?” “Macam mana orang India?” Orang India dah tinggalkan kita sekian lama. Orang Cina dah tinggal kita sekian lama. Jadi, ini virus. Orang kata ibarat terlebih dos dalam pendidikan orang Melayu sendiri dalam menanamkan toleransi dan sebagainya.


Soalan 17

S (Panel 2) : Ustaz, saya hendak kembali kepada isu menongkah arus nampak lebih menarik disitu. Harakah Islam ataupun gerakan-gerakan Islam banyak pandangan mereka sendiri tentang Melayu Sepakat Islam Berdaulat ini. Jadi macam mana ISMA hendak membina jambatan agar semua gerakan Islam boleh bawa aliran sama ataupun macam mana pandangan ISMA hendak menjelaskan kepada mereka contohnya.

J: Dalam hal seperti ini, satu sahaja solusi sebenarnya, satu sahaja penyelesaiannya. Penyelesaian kita bukan kepada penjelasan, walaupun penjelasan itu penting. Tetapi penyelesaian yang sebenarnya ialah apabila kita dapat mengarus perdanakan agenda ini. Apabila kita dapat meletakkan agenda ini menjadi agenda yang kuat, apabila dia kuat dan dia dominan, orang akan ikut, orang akan terima. Tetapi kalau kita lemah, kita tidak kuat, orang tidak akan terima.

Soalan 18

S (Panel 2) : Maksud ustaz untuk mengarus perdanakan itu, pastinya memerlukan sokongan daripada pelbagai gerakan lain?

J: Kita tengok bukan soal badan-badan, malah ia soal individu. Orang yang tinggal dalam badan itu dia ada fikiran, dia ada keyakinan, dia boleh fikir dan boleh berubah, itu satu poin. Badan atau organisasi suatu yang kaku. Tetapi kita melihat kepada individu. Kalau dia faham diri dia Islam, dia sebagai seorang muslim, dia sebagai seorang Islam dan ini adalah agendanya yang semula jadi, dia pasti terima. Apabila kita jumpa dengan pihak-pihak secara individu, mereka tidak dapat menolak hakikat itu. Mereka tidak dapat menolak kebenaran apa yang kita bawa.

Yang kedua, kita tengok bahawa ada enam juta lagi generasi baru, pemuda yang tidak ada mazhab, tidak ada parti, tidak ada NGO. Jadi pasaran untuk membawa agenda ini, peluang untuk kita mendidik generasi baru, mendidik pemuda-pemuda ini untuk bersama kita adalah besar. Jadi, kita tidak berfikir dalam kerangka yang ada tetapi kita berfikir dalam kerangka yang lebih besar daripada itu. Sebenarnya, beberapa peratus sahaja yang bersama dengan harakah Islamiah daripada kalangan masyarakat kita, khususnya pemuda. Mungkin dua puluh peratus, mungkin kurang daripada itu. Bakinya tidak berada bersama dengan harakah Islamiah. Jadi kita jangan blok pemikiran kita, kata ini dah tidak boleh, semua orang dah ada pemikiran sendiri, tetapi kita lebih luas daripada itu.


Soalan 19

S (Pengerusi Majlis) : Agenda ini dilihat mirip kepada sesetengah pihak atau kelompok yang telah memperjuangkan yang lebih lama daripada kita. Jadi nampak macam mungkin ISMA akan diambil kesempatan untuk memperkukuhkan lagi agenda kelompok-kelompok tertentu atau parti-parti politik yang ada sekarang. Jadi bagaimana ISMA melihat perkara ini dan bagaimana ISMA memberi peranan supaya agenda, bukan sahaja Melayu tetapi Islam itu yang lebih penting dalam kita membawa kesatuan dalam kalangan kelompok-kelompok yang ada dalam negara kita.

Pandangan kita bahawa orang nasionalis yang ikhlas dengan nasionalisnya sudah tentu akan memberi manfaat kepada bangsa dan negara. Begitu juga orang Islam. Tentunya yang Islamis itu lebih patriotik daripada orang nasionalis, kalau nak dibandingkan. Nasionalis Melayu kalau dia nak berjuang untuk kepentingan Melayu, kedudukan Melayu, martabat Melayu, akan bercakap benda yang sama. Begitu juga orang Islamis pun akan bercakap benda yang sama walaupun dengan survival Islam, martabat Islam dan sebagainya. Akhirnya pada alam realiti akan menjurus pada kelompok masyarakat yang sama iaitu orang Melayu yang beragama Islam.

Jadi tidak timbul percanggahan kerana kedua-dua pihak ini akan mendokong perkara yang sama. Apa-apa yang disebut rasuah, penyelewengan, itu bukan perjuangan kebangsaan. Itu penyelewengan yang dilakukan oleh orang-orang yang duduk dalam mana-mana parti di mana-mana jabatan sekalipun. Itu orang-orang yang melakukan kesalahan, melakukan jenayah, salah guna kuasa dan sebagainya. Tetapi nasionalis, jika ikhlas dengan nasionalismenya dan bercakap kita kena bela orang Melayu, kena pertahankan orang Melayu, maka itu tidak bercanggah dengan Islam dan tentunya akan disokong oleh Islamis sebagai orang Islam. Tetapi kalau kita bercakap dalam konteks politik, itu yang menjadi masalah.

Jadi yang Islam bercakap dalam konteks politik, dia bukan bercakap dari segi dasar Islamnya, tapi bercakap dari segi konteks politiknya. Jadi kita kena bezakan antara pendirian-pendirian politik ataupun tingkah laku peribadi, salah laku-salah laku individu ataupun pendirian-pendirian politik satu-satu pihak. Bila kita bercakap tentang Melayu Islam, ini mesti dilihat dalam konsepnya yang murni, yang bukan dipengaruhi oleh unsur-unsur luaran yang semasa.

Soalan 20

S (Pengerusi Majlis) : Saya lebih suka kepada lebih spesifik supaya dapat dijelaskan sebab kita lihat hari ini, kita dapati pelbagai kelompok dari kalangan orang Melayu terutama dari segi parti politik. Kalau kita tengok secara besarnya mungkin kita telah berpecah kepada tiga kelompok yang besar, mungkin wujud kelompok yang kecil-kecil. Tapi ada sesetengah pihak masih memperkatakan tentang Melayu sahaja, ada pihak yang memperkatakan tentang Islam semata-mata, seolah-olah dia tidak boleh bersatu dalam konteks realiti kita hari ini. Jadi agenda ini nampak bagaimana saudara presiden dapat melihat benda ini boleh menyatukan ketidaksamaan dalam kelompok-kelompok ini. Bagaimana ISMA boleh berperanan dalam konteks ini?

J: Yang pertama sekali kita boleh berjaya jika semua pihak ini berjaya keluar daripada kerangka politik masing-masing. Apabila itu berlaku, mereka akan dapat lihat hakikat sebenar kemurnian apa yang kita bawa. Itu jika dia keluar daripada kerangka politik. Apa yang menghalang sekarang ialah kepentingan politik. Contoh kalau kita adakan muzakarah, adakah penemuan antara orang Melayu ini suatu yang bercanggah dengan Islam? Tidakkan! Dari segi pandangan Islam, adakah perbincangan muzakarah daripada kalangan orang Melayu ini, duduk berbincang sekali, bermuzakarah, adakah itu bercanggah dengan Islam? Tidak bercangggah dengan Islam!.

Tetapi apabila parti politik mengambil pendirian tidak mahu berbincang, itu bukan pendirian Islam, itu pendirian politik. Itu maksud saya kena bezakan antara dua benda tadi. Oleh kerana non-partisan, kita fikir secara murni, makna Melayu dengan Islam boleh disatukan. Melayu dengan Islam mempunyai kepentingan yang sama, masalah yang sama. Maknanya ISMA melihat, perkara ini boleh berlaku, tetapi kalau generasi yang ada ini, generasi yang lama tidak mahu berubah, tidak mahu menerima, tidak apa! Kita cadang kepada mereka untuk berbincang dalam kerangka kepentingan nasional ataupun kepentingan umum. Jadi kita tidak menuntut daripada mereka untuk melupakan badan masing-masing dan identiti masing-masing dan bersatu dalam satu identiti.

Itu satu yang kita pun rasa tidak realistik dan mustahil. Tetapi seharusnya semua pihak memahami kepentingan ummah, kepentingan agama, kepentingan bangsa. Semua orang mesti bersatu di atas asas itu, bersama bersepakat di atas asas itu. Apa-apa saja yang menyentuh kepentingan agama, kepentingan bangsa, kepentingan negara, kita kena bersama dan bersatu, tidak boleh bertolak ansur, mesti sepakat supaya kepentingan kita dapat dipertahankan. Tapi kalau kita terus terpengaruh dengan dikawal oleh kepentingan politik, maka akhirnya kepentingan umum umat akan tergadai, kepentingan umum bangsa akan tergadai, masa depan bangsa akan tergadai. Jadi kita perlu buat pilihan antara dua.

Soalan 21

S (Pengerusi Majlis) : Dalam konteks penyatuan Melayu ini, sejauh manakah ISMA melihat bahawa agenda yang dibawa ini akan dapat menyatukan kelompok-kelompok dalam negara kita terutamanya kelompok politik misalnya PAS, UMNO dan Pakatan Rakyat(PKR) itu sendiri ataupun Keadilan itu sendiri demi kepentingan bangsa dan agama Islam itu sendiri?

J: Saya melihat masalah kesatuan ataupun menerima kepelbagaian ini adalah suatu yang diterima dalam sistem Islam itu sendiri. Jadi, dalam kita bercakap tentang kesepakatan kita tidak menuntut mereka menjadi satu dalam satu badan kerana itu sudah menjadi fenomena, fenomena antarabangsa. Mazhab menerima kepelbagaian, dalam demokrasi menerima kepelbagaian dan Islam pun, kita menerima kepelbagaian. Maknanya kalau ada sistem Islam pun, negara Islam pun kita menerima kepelbagaian.

Jadi tidak ada masalah wujud berbagai-bagai parti, berbagai-bagai badan dalam konteks masyarakat Islam tetapi yang penting di sini ialah agenda, suatu yang mesti disepakati oleh semua pihak. Jadi ada batas, ada garis merah yang perlu dihormati. Kalau saya buat andaian, kalau bersetuju, bersepakat dalam satu agenda yang sama mengenai kepentingan agama, bangsa dan negara tentu sekali orang Melayu di dalam parti A akan bercakap cara dia dalam konteks mendaulatkan Islam, membela maruah bangsa dan sebagainya. Dan parti B pun akan bercakap dengan cara dia, membela dan sebagainya. Begitu juga parti C. Apabila ketiga-tiga parti ini berlumba-lumba untuk menjadi siapa yang hero, yang terbaik dalam membela agama dan bangsa, maka keuntungan pada akhirnya dalam konteks perjuangan bangsa adalah kepada Islam.

Tapi apabila parti-parti ataupun orang-orang politik membawa agenda lain, umpamanya agenda luar daripada kerangka Islam, umpama agenda liberalisasi atau pluralisasi dan sebagainya dibawa dalam perjuangan. Jadi akhirnya pertembungan di antara siapa lebih liberal, siapa lebih khidmat kepada orang lain, siapa yang lebih baik dengan Amerika, siapa yang lebih memberi manfaat kepada orang-orang, tauke-tauke tertentu dan sebagainya. Jadi ini yang merugikan perjuangan bangsa, perjuangan agama.

Apa yang kita mahu, kita tuntut ialah supaya mereka tidak kira di mana, saling terbuka, kita terbuka kalau nak berjuang dalam mana-mana parti, tidak ada masalah tapi hormati garis ini, hormati persepakatan yang kita perlu sepakat. Maknanya dalam bab agama, dalam bab bangsa dan dalam bab yang mempunyai kepentingan umum mesti disepakati dan saya cadangkan kepada semua badan ini menjadikan semua itu sebagai pola perjuangan.

Akhirnya, natijahnya akan membawa kepada kemaslahatan umum, kepentingan umum Islam. Jadi kita tak risau tentang kepelbagaian atau pun perbezaan parti, perbezaan badan-badan dan sebagainya. Jadi, kita tidak bercakap tentang satu badan yang masuk ke dalam badan yang lain. Itu rasanya tidak realistik.

Soalan 22

S (Pengerusi Majlis) : Maknaya di sini, parti-parti ini meletakkan kepentingan agenda ini lebih utama daripada agenda parti itu sendiri, ataupun agenda kerusi ataupun agenda peribadi masing-masing?

J: Agenda parti, mesti mengarah kepada itu, maknanya parti ini, agenda dia apa? Manifesto dia apa? Tujuan sama. Cuma…cara berbeza-beza. Di Barat umpamanya, parti-parti berbeza. Tapi, akhirnya mereka menjurus kepada satu ..satu kepentingan …kepentingan umum Amerika Syarikat, kepentingan umum Britain. Sebab itu dia tidak ada masalah pertukaran. Parti mana menang pun, akhirnya kepentingan Britain yang akan menang. Dalam konteks negara kita, politik kalah mati. Kalah mati, kalau saya nak hidup awak mesti mati, kalau awak nak hidup, saya mati.

Jadi, apabila masing-masing punya agenda dan kepentingan, isu kepentingan umum, perjuangan umum, matlamat umum dan kedudukan martabat agama, bangsa dan kestabilan negara ini dah menjadi perkara yang kedua, itu yang kita risau, yang kita takut, yang kita bimbang. Orang di Barat, di negara lain, rancak berdemokrasi, negara maju, kita rancak berpolitik, demokrasi dan negara nak hancur dan bangsa nak hancur, agama nak hancur, jadi politik apa yang kita pakai?

Soalan 23

S (Panel 2) : Ustaz.. adakah slogan “Melayu Sepakat Islam Berdaulat” ini untuk dapat dua pertiga orang Melayu di dalam parlimen? Adakah itu salah satu daripada matlamatnya?

J: Konsep kita lebih mendasar daripada itu, yang penting ialah kuasa bargain. Kita bercakap tentang kuasa bargain, kuasa tawar menawar orang Melayu. Jadi, untuk mengekalkan kuasa tawar-menawar orang Melayu, kemungkinan mesti mempunyai dua pertiga, itu secara umum. Tetapi untuk memberi fungsi yang berkesan, dia mestilah bersama dalam satu agenda, sebagaimana yang disebutkan tadi.

Jadi, kalau dua pertiga pun tak sama agenda, pemikiran lain-lain, cara lain-lain, perjuangan lain-lain dan tidak meletakkan satu persepakatan dari segi matlamat dan hala tuju. Itu yang menjadi masalah. Jadi masalah yang lebih penting daripada itu ialah persepakatan tadi, dan yang kedua, matlamat kita nak mengekalkan kuasa bargain, kuasa tawar menawar mesti berada pada tangan orang Melayu dan itu menjadi asas pendirian ISMA. Menjadi asas pendirian ISMA ialah mengekalkan kuasa tawar menawar orang Melayu dalam konteks politik hari ini. Itu pendirian politik, kalau ditanya pendirian politik, itulah asas dia.

Soalan 24

S (Panel 2) : Ustaz masih lagi dalam konteks definisi Melayu ya? kalau kita lihat di Sabah dan Sarawak, mereka di sana ni bukan Melayu, di dalam ic pun dia tidak tulis Melayu, jadi.. macam mana konteks bangsa di Sabah dan Sarawak ni dalam konteks perjuangan ISMA?

J: Kita dah bincang isu berkaitan dengan Sabah dan Sarawak dan alhamdulillah kita dapati sebenarnya dari segi status quo yang ada bumiputra Sabah dan Sarawak, menerima kepimpinan Melayu. Ini suatu yang sedia ada, jadi bila kita kata memperjuangkan kepimpinan Melayu, dan kedudukan politik, Melayu yang memimpin dan sebagainya, tidak ada perubahan dari segi struktur.

Soalan 25

S (Panel 2) : Apa maksud ustaz , Sabah dan Sarawak menerima ?

J: Hari ini walaupun Melayu muslim minoriti, kalau bilang keseluruhannya minoriti di Sabah dan Sarawak, tetapi yg menjadi pemimpin, yang memegang jawatan utama, dalam Sabah dan Sarawak ialah Islam dan orang Melayu. Jadi orang boleh menerima, maknanya masyarakat Bumiputera yang bukan Melayu, menerima kepimpinan Melayu. Jadi ini yang perlu dipertahankan dan kita tak mahu mainan politik dan sebagainya berlebihan, akhirnya memberi kelebihan kapada agama lain.

Bayangkan nanti berlaku pergerakan di peringkat bangsa-bangsa lain. Iban ke, apa semua, dan mereka nak lepaskan diri daripada kepimpinan Melayu, penguasaan Melayu dan sebagainya. Jadi, kalau itu digerakkan, dimainkan dan sebagainya, itu akan menjejaskan suasana yang ada, kedudukan yang ada, status quo yang ada, dan mainan politik yang seperti itu yang kita tidak mahu. Maknanya kita berpolitik untuk mengukuhkan kedudukan yang sedia ada itu. Jangan kita main politik, kita pergi menghasut kawan itu, usik kawan ini, akhir sekali kita yang rugi.

Oleh kerana kita berbalah parti, ini bukan parti kita, walaupun orang Melayu, ini parti kita, ini parti orang lain, kita nak parti kita itu kuasa balik, akhirnya kita pergi cucuk..cucuk..cucuk.. dan orang ini pun memberontak. Akhirnya apabila mereka ini memberontak, melawan dan tidak menerima konsep ini, akhirnya siapa yang rugi? Walaupun parti kita mungkin menang, atau pun boleh memerintah, tapi… hakikatnya Melayu akan rugi, Islam akan rugi.

Soalan 26

S (Panel 3) : Isu reaksi kaum Melayu ini mungkin saya pun termasuk yang mana yang ustaz cakap tadi over dos toleransi, tapi.. maksud saya dekat sini, sudahkah ISMA memikirkan apakah reaksi ataupun mungkin ISMA memikirkan sama, ataupun ISMA telah bersedia berhadapan dengan reaksi orang-orang bukan Melayu dan Islam (ustaz) ya.. tentunya mereka merasa terancam? jadi… itu maksud saya.

J: Mana pergi orang Melayu yang beragama Islam? Orang bukan Melayu beragama Islam?. Sebab itu ini penting, satu soalan yang sangat menarik, sebab apa? Sebab dia mengalihkan agenda slogan ini yang Islamik walaupun bunyinya Melayu Sepakat Islam Berdaulat, tapi dia adalah satu slogan yang Islamik, bukan slogan yang bersifat assobiah atau nasionalis. Itu penting sebab apa? Sebab apabila mana-mana bangsa saja yang faham Islam, Cina yang faham Islam, India yang faham Islam, dia akan menerima hakikat ini.Dia akan menerima kedudukan Melayu dan kestabilan Melayu itu memberi peranan dalam kedudukan Islam ataupun kedudukan agama Islam, kestabilan politik Islam? Atas asas Islam, bukan atas asas bangsa.

Orang Cina, contohnya Dr. Ridhuan Tee berbangsa Cina, beragama Islam, kenapa dia menyokong ketuanan Melayu? Bahasa dia guna pun kalimah ketuanan Melayu, sebab apa? Sebab dia melihat dari aspek Islam, bukan dia melihat dari aspek bangsa. Kalau dia melihat ini adalah ketuanan Melayu dari aspek assobiah bangsa sudah tentu dia tolak, sebab dia pun kuat assobiah bangsa dia. Dia kata dia sampai bila-bila takkan jadi Melayu punya, dia nak jadi orang Cina, tapi sebab apa dia sokong ketuanan Melayu? Sebab dia melihat dari aspek Islam. Jadi Melayu Sepakat Islam Berdaulat adalah satu slogan yang Islamik, bukan slogan assobiah, atau pun nasionalis Melayu, tidak! Ia adalah slogan yang Islamik.

Soalan 27

S (Pengerusi Majlis) : Itu soalan tadi saya nak sambung, itu dalam konteks bangsa lain yang beragama Islam, tapi dalam konteks bangsa lain yang tidak beragama Islam, bagaimanakah rasanya penerimaan mereka apabila slogan ini di ketengahkan dalam memperjuangkan agenda ISMA ini? .

J: Isu ni kalau tidak ada agenda-agenda lain yang dipermainkan oleh mana-mana pihak, sama ada daripada luar negeri ataupun dalam negeri, saya yakin orang bukan Islam, orang Cina, orang India boleh menerima budaya Melayu, boleh hidup dalam suasana kepimpinan orang Melayu dan sebagainya, tidak akan menjadi masalah.

Tapi, apa yang menjadi masalah hari ini, saya yakin ia adalah permainan dan agenda lain. Agenda yang dipermainkan oleh pihak-pihak berkepentingan yang mencucuk dan sebagainya, supaya mereka ini bangkit dan memainkan peranan mereka untuk berkhidmat kepada agenda yang lebih besar di sebaliknya.

Contohnya orang Cina di Kelantan, Terengganu, dah cakap Terengganu, dah cakap Kelantan, tak ada masalah apa pun kan? Maknanya dia boleh menerima, dan ada sahaja Cina nak kawin pun pakai baju Melayu. Tidak beragama Islam tapi dia boleh menerima budaya Melayu. Tapi apabila kita politikkan isu dan membangkitkan semangat di kalangan orang Cina, India dan sebagainya dan masuk campur agenda politik di sana, itu yang menjadi masalah.

Jadi, sekarang ni pertembungan bukan soal orang Cina, orang India. Orang India dan Cina aman damai, untuk dia nak hidup, dia nak cari makan, nak belajar, nak maju, nak senang tak ada masalah. Ini bukan isu kebanyakan orang yang bukan Islam. Yang menjadi isu ialah agenda politik yang berada di belakang itu, itu yang menjadi isu.

Jadi kita kena lihat dari segi aspek itu. Apa yang kita sebutkan tadi dari aspek itu. Jadi kalaulah ada agenda dimainkan dan menggunakan agenda itu, maka kita kena berdepan agenda itu. Jadi ini bukan masalah orang Cina dan disebut sini, penting! Penting bagi orang Cina dan India faham isu ini, supaya dia tidak terjebak dalam masalah itu, dan akan menjejaskan masa depan dia. Saya yakin akan menjejaskan masa depan mereka kerana orang Melayu buruk macam mana pun akhirnya akan balik kepada apa yang kita sebutkan, dia akan balik, dia akan bangun, dia akan pertahankan hak dia.

Tetapi waktu itu orang Cina akan perlu buat pilihan, nak bersama atau tidak, orang India pun perlu buat pilihan nak bersama ataupun tidak. Jadi, adalah menjadi kepentingan orang India dan orang Cina, untuk mengekalkan suasana keharmonian, suasana aman dan sebagainya dan tidak terdedah atau pun tidak terlibat dengan agenda-agenda politik dan sebagainya yang boleh menyebabkan masalah.

Soalan 28

S (Pengerusi Majlis) : Akhir sekali ustaz kita melihat ya, maknanya penyatuan yang sebenarnya di kalangan berbagai bangsa di negara kita ini ialah terletak kepada penyatuan yang dasar iaitu penyatuan orang Melayu itu sendiri, dan kalau kita lihat asas-asas yang ada, maknanya dari segi tradisinya, dari segi sikap, sifat orang Melayu itu memang asas-asas penyatuan itu sudah ada pada orang Melayu, kalau saya dapat nukilkan satu puisi yang di buat oleh Dato’ Osman Awang, cerita tentang bagaimana orang Melayu berkelahi cara Melayu, bertikam dengan pantun, menyanggah dengan senyum. Jadi apa, merendah bukan menyembah, marah pun tertawa, jadi ada asas kepada penyatuan orang Melayu itu untuk dia duduk, mari duduk dan sepakat. Jadi, ada kekuatan-kekuatannya yang telah kita lihat terbina dalam sifat dan sikap orang Melayu itu yang suka bermuafakat. Jadi ini nampak macam ada, tetapi, tidak dimanfaatkan sendiri oleh bangsa Melayu itu untuk dia bangun dan membina balik kekuatan jati diri dia. Jadi apa pandangan ustaz dalam konteks ini?.

J: Ya, bila kita melancarkan slogan ini, sebenarnya kita pun buat kajian, kita pun study, kita dapati bahawa masyarakat Melayu kita khususnya di sini mempunyai kelebihan yang banyak, mempunyai unsur penyatuan yang terlalu banyak, dari segi aqidahnya, dari segi agama, mazhab feqahnya kita panggil mazhab syafi’e, ahli sunnah wal jamaah, syiah tak ada, kecuali akhir-akhir inikan? Kemudian kita datang daripada satu rumpun, kita satu bangsa, budayanya hampir sama, cara hidupnya hampir sama, jadi sebenarnya unsur perpecahan di kalangan orang Melayu itu tidak banyak, unsur yang menyatukan itu lebih banyak, tetapi diabaikan. Yang kita berselisihnya ialah apa? Dari segi politik! Dari segi pendekatan politik sahaja! Yang puak-puak nasionalis nak sangat dia itu kenapa? Sampai sanggup bergaduh. Yang Islamis pula nak Islam dia tu sampai bergaduh, pasal apa? Jadi itu yang perlu dilihat semula.

Pada zaman globalisasi ini, yang nasionalis dan Islamis ini tak banyak manfaat, dah tak valid untuk berpisah, berbeza, untuk berdepan dengan globalisasi. Puak-puak globalisasi ini dia tak kisah, nasionalis ke, Islamis ke, dia bantai semua. Jadi kita perlu kekuatan, sebenarnya nasionalis, Islamis tidak bercanggah, dalam konteks Melayu ini. Jadi kita boleh bersatu, dan boleh bersama, kalau dia nak. Yang masalahnya yang nak buat mungkar, kekal nak buat mungkarnya, yang ada agenda politik, kekal dengan agenda politiknya, itu yang jadi masalah. Bukan masalah Melayu keseluruhan, ataupun masalah asas binaan masyarakat Melayu. Yang jadi masalahnya, tindak tanduk yang berasas kepada masalah-masalah keperibadian pihak-pihak yang terlibat ini. Jadi, kita yakin sebenarnya kalau kita boleh memperkuatkan unsur-unsur kesatuan ini, maknanya kita satu bangsa, satu keluarga, satu rumpun.

Itu sebelum Islam, sebelum bercakap tentang Islam, sepatutnya, adakah kita dengan terima Islam kita kena hancurkan hubungan bangsa, hubungan kerukunan yang sedia ada? Tidak! Bahkan, Islam datang menguatkan lagi hubungan kerukunan yang sedia ada atas asas bangsa, hubungan kasih sayang semula jadi. Emak sayang anak, sayang anak saudara, hubungan tolong menolong di kalangan anak saudara, bapa saudara, waris-waris dan sebagainya, itu semula jadi. Dia agama Islam ke, tak agama Islam ke, dia akan jadi semula jadi. Islam datang, mengukuhkan hubungan tersebut. Islam mengukuhkan hubungan itu. Ini masalah kita dikelirukan oleh agenda Barat, agenda humanisme Barat. Humanisme Baratlah yang menghapuskan semua benda. Kalau kita bercakap dari titik tolak Islam, Islam mengiktiraf hubungan kekeluargaan, kasihkan bangsa, hubungan serumpun dan sebagainya diiktiraf oleh Islam, tidak ada masalah apa pun, dan tidak pernah berlaku Islam menghapuskan benda ini,

Jadi bila kita bercakap kita Islam, maknanya hubungan saya dengan saudara ini Islam, kalau ini, bapa saudara saya, saya dah suka dah, lepas tu, tambah pulak dengan nilai Islam, lagi saya suka, lagi hubungan kita rapat, jadi kita ini hubungan satu rumpun dah rapat, hubungan satu agama pulak lagi merapatkan hubungan sepatutnya. Bukan menjadikan, awak orang Melayu, saya orang Islam, macam mana tu agak-agak. Jadi hubungan kita sama-sama satu bangsa, satu agama, kita pisahkan itu semua, andaian dalam kepala kita. Dan realiti tak patut berlaku liberal dalam kepala kita… kita fikirkan konfrontasi yang seperti itu, jadi ini yang perlu ditamatkan sepatutnya.

Orang Melayu dengan orang Islam, tidak ada isu Melayu dan isu Islam, tidak perlu berkonfrontasi. Jadi unsur penyatuan dalam masyarakat kita lebih banyak seperti mazhab, keturunan. Maknanya pegangan agama, hubungan waris anak beranak ini sangat rapat. Tidak ada percanggahan kecuali akhir-akhir ini ada isu syiah, jadi kita kena fokus, Melayu Sepakat Islam Berdaulat itu sebenarnya fokus kepada isu menyelesaikan masalah-masalah berkaitan dengan politik, sebab dalam politik ini kita bercanggah, dalam politik ini kita bergaduh dan berpecah. Jadi, kita kena sepakatkan di situ. Kita lebih yakin dengan unsur kesepakatan yang paling besar daripada unsur perpecahan, itu satu poin.

Poin yang kedua, masalah intergrasi nasional, bagi kita, golongan bukan Islam ataupun bukan Melayu, mesti menerima, kedudukan Melayu, keistimewaan orang Melayu dan sebagainya, sebagai asas intergrasi. Di Malaysia kita tidak ada satu ajaran tertentu, seperti di Indonesia, ada Panca Sila, semua orang kena anuti Panca Sila sebagai asas intergrasi. Di Malaysia tidak, intergrasi di Malaysia adalah intergrasi politik, ataupun disebut juga intergrasi paksaan, di mana semua bangsa boleh hidup dalam kerangka masing-masing. Cina bangunkan dia bangsa Cina, India bangunkan bangsa India, ada sekolah jenis kebangsaan Tamil, ada jenis kebangsaan Cina dan ada badan-badan yang menjaga kepentingan Cina dan ada badan-badan yang menjaga kepentingan India. Ini sebenarnya yang menjadi punca masalah dalam konteks mengendalikan isu intergrasi, apabila tidak ada ketegasan yang jelas dari awal, bahawa semua bangsa sepatutnya menghormati perlembagaan negara, kedudukan agama Islam, hak-hak Melayu, kedudukan bangsa Melayu. Dasar budaya nasional, apa dia? Bahasa kebangsaan apa? Itu telah ada dalam dasar, telah ada dalam perlembagaan, semua orang sepatutnya menghormati dan sistem mesti dijurus ke arah itu.

Cuba tengok pendidikan kita. Pendidikan sekolah kebangsaan mencairkan semua benda dan menyebabkan cair juga identiti orang Islam dan orang Melayu. Sedangkan Cina, India tak cair. Sebab dia ada sekolah jenis kebangsaan Cina, ada sekolah jenis kebangsaan Tamil dan ada persatuan perniagaan Cina, ada persatuan perniagaan India. Yang tak adanya kita! Kerana kita nak kait, nak rangkum orang lain, kita bertolak ansur dan orang lain terus kekal dengan dia punya budaya, dengan polarisasi yang ada. Jadi sekarang ini, masalah polarisasi wujud dan begitu menebal dan disokong pula dengan agenda Barat. Mereka dengan keadaan itu, nak menguasai negara, nak menguasai sistem, nak mengubah status quo, sehingga dasar konsep kenegaraan dan sebagainya boleh menjadi merubah dan meletakkan kesamarataan yang mutlak dan mengetepikan asas-asas asal yang telah diiktiraf dan dijamin oleh perlembagaan. Ini boleh berlaku walaupun jaminan mulut mengatakan ia tidak akan berlaku. Kita faham pergerakan di peringkat antarabangsa, dalam negeri, boleh menjurus ke arah perubahan status quo yang begitu.


Soalan 29

S (Panel 1) : Saya ada satu soalan pertanyaan, demikian maksudnya ISMA mempunyai agenda yang besar nak menyatukan bangsa Melayu dan mendaulatkan Islam. Cuma apakah agenda ISMA ini, dan adakah ISMA merasakan agenda ISMA itu satu perkara yang difahami oleh ramai masyarakat dan adakah dia perkara baru, bagaimana ustaz cakap tadi, semua tu sudah wujud, tapi mungkin sesetengah pihak tidak sedar yang menyebabkan bangsa Melayu larut, toleransi yang terlebih sehingga mereka tidak tahu, mereka perlu membela hak mereka sendiri, oleh itu, adakah masa yang sama kumpulan lain-lain tidak buat perkara ini, bagaimana pandangan ustaz?

J: Kita tak boleh menafikan peranan setiap orang, kita kena pandang positif hal ini. Kita NGO, kita kena terbuka dan melihat orang lain pun menyumbang. Asas itu kita kena jelas. Kalau kita mula bercakap orang lain tak menyumbang, itu masalah nanti. Kita bercakap, kita mengiktiraf semua yang memberi, menyumbang ke arah apa sahaja yang menguntungkan umat dan masyarakat ataupun negara, kita kena terima dan mengiktiraf. Tapi yang penting di sini, apa yang kita bawa ini adalah suatu yang kita bongkar daripada akar sejarah dan asal usul keperibadian kita, bukan suatu agenda yang asing, sebagaimana yang disebutkan tadi. Cuma kita perlu sedikit masa untuk membuang sampah sarap yang telah menyelubungi pemikiran orang Melayu dan cara nilai orang Melayu itu sendiri, mungkin berlaku banyak sangat sampah sarap dan dia tak sedar, ataupun dia lambat peka, lambat bangkit dan bangun.

Tetapi akhirnya tenaga mereka akan bangun. Ini kerana agenda ini adalah agenda yang datang daripada akar sejarah mereka. Daripada asas keperibadian mereka. Apabila kita bercakap tentang Melayu, Islam, itu sejarah dia, itu asal diri dia, betul tak? Cuma sekarang ini, dia lupa dengan berbagai-bagai slogan ulikan daripada berbagai-bagai pihak, tetapi apabila kita mampu menjelaskan nanti, kita dapat menjelaskan isu ini secara baik, kita yakin mereka akan bangun dan patah balik kepada agenda ini, jadi agenda ini adalah bukan satu yang asing daripadanya.

Soalan 30

S (Pengerusi Majlis) : Akhir sekali ustaz, sejauh manakah keyakinan ISMA, dalam membawa agenda ini untuk direalisasikan dalam masyarakat kita?. Kita cukup yakin, dan di sana ada petanda-petanda yang baik, yang boleh kita jadikan, apa kata…bukti, di mana sambutan, khususnya di kalangan orang muda kepada apa yang kita bawa ini, orang kata apa? Menggalakkan, begitu baik sekali, bahkan bila kita bertemu dengan pihak-pihak yang wujud dalam masyarakat ini, pihak-pihak yang berbagai-bagai, kita menerima sokongan dan dokongan daripada mereka secara individu personal, tetapi mungkin mereka secara organisasi tidak boleh bersama, kerana dia terikat dengan dasar, organisasi masing-masing dan kita hormati, tetapi secara individu mereka menyatakan sokongan.

J: Sebagai Melayu muslim, mereka menerima dan mengamal, mengiktiraf apa yang kita bawa ini adalah betul. Banyak fakta dan banyak bukti yang telah berlaku, kalau kita tanya pada orang yang berada dalam parti yang menentang pun, yang kita lihat menolak apa yang kita bawa, bila tanya dia, dia kata, apa yang ISMA bawa ini betul. Cuma dia tidak boleh nak sokong, sebab dia punya kedudukan dalm organisasi, jadi kita tidak risau tentang apa yang kita bawa sama ada akan dapat sambutan atau pun tidak.

Di samping ia adalah datang daripada akar sejarah, ia juga adalah merupakan`pola` politik dalam sejarah politik Malaysia ini. Pola perjuangan politik daripada zaman dahulu sampai hari ini dan akan datang. Orang tak akan boleh pisahkan antara Melayu dan Islam, kalau nak berjaya dalam politik mesti berada di persekitaran ini, ini paling penting sekali.

Comments (1)

Search anything

Search in the Quran
Search in the Quran:
in
Download Islamic Softwares FREE | Free Code/td>
www.SearchTruth.com